RAKAN SIBER

Wednesday, January 30, 2013

RAMADAN MEMBENTUK TAQWA HA HUNA – TAQWAL QULUB

Rindu Ramadan
Seruan terbaik adalah seruan ke arah taqwa. Kita mendengarnya saban waktu agar perkara tersebut mendarah daging dalam diri kita. Taqwa itu bererti, seorang insan melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Bila ini dilakukan maka sesorang itu melaksanakan amal taqwa. Dalam memperincikan persoalan taqwa yang merupakan KPI dari Allah bagi seorang insan melalui firmanNya: 

” Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu adalah yang paling taqwa...” Rasulullah memberi isyarat kepada sahabatnya dengan meletakkan tangan pada dadanya dan berkata:

”Taqwa itu di sini..” Jadi ia mengundang persoalan mendalam tentang taqwa kerana menurut Rasulullah taqwa adalah di hati seorang manusia.
Kita tahu bahawa fungsi hati dalam diri adalah merasa. Daripada rasa tersebutlah terbitnya tingkah laku seorang manusia. Baik atau buruk.

Taqwa di sini adalah taqwa sebenar: ia adalah keselarian di dalam hati, tentang rasa apa yang Allah mahu dengan apa yang kita mahu, selari pula dengan rasa apa yang kita suka dengan apa yang Allah suka, selari apa yang kita benci dengan apa yang Allah benci.

Tercetus sesuatu amal soleh itu dari lubuk hati, dari gejolak rasa :

Kita tidak melaksanakan sesuatu amal soleh kerana terpaksa atau merasakan alangkah baiknya kalau perintah ini tidak diperintahkan oleh Allah.

Kita meninggalkan maksiat kerana taqwa: Kita meninggalkan maksiat bukan kerana kita tidak berpeluang untuk melakukannya atau tidak terdedah kepada maksiat itu.
Kalau bukan kerana taqwa di sini mungkin apabila berpeluang buat maksiat atau ada kesempatan kita akan lakukan maksiat dan meninggal kebaikan itu.

Ada garis halus di antara amal taqwa dan taqwal qulub.

Amal taqwa adalah melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah dan meninggal segala larangan dan tegahannya. Ia mencakupi amalan fizikal seseorang.

Sebagai contoh; Apabila seorang itu bangun mendirikan solat, ia dikatakan sedang melakukan amal taqwa. Tubuhnya sedang berdiri, rukuk dan sujud ertinya tubuhnya sedang melaksankan apa yang diperintah oleh Allah.

Apabila seseorang itu meninggalkan zina bererti ia sedang melakukan amal taqwa kerana tubuhnya tidak melaksanakan apa yang ditegah oleh Allah.

Namun, Taqwal qulub adalah rasa sayang dalam hati hamba kepada perintah solat tersebut. Allah tidak mewajibkan sesuatu melainkan perkara tersebut disayangi olehNya. Si polan yang menghindari perbuatan zina itu rasa benci kepada perlakuan zina itu kerana zina dibenci oleh Allah sebab itu Allah melarangnya.
Mari bermuhasabah kelubuk hati sendiri, adakah rasa tersebut telah ada di dalam ?

Adakah rasa sayang pada perbuatan solat itu ada dilubuk hati kita dalam kegahirahan kita melaksanakan solat yang di perintah oleh Allah ?

Adakah rasa benci terhadap dosa zina telah wujud di dalam hati ketika menghindari zina ?
Justeru itu, Ramadhan yang di hadiahkan oleh Allah kepada seluruh manusia adalah ramuan terbaik melahirkan Taqwal qulub, apabila kita dapat benar-benar menghayati falsafah, pelaksanaan serta hikmahnya.

”Ya Allah permudahkanlah bagi kami untuk melalui jalanMu, kurniakanlah kami rasa taqwa yang damai selari dengan fitrah murni kami yang rindukan kebaikan dan derita kepada kemungkaran...ameen ya Rabbal alamin.”

0 comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP