RAKAN SIBER

Showing posts with label Jendela Hati Ini. Show all posts
Showing posts with label Jendela Hati Ini. Show all posts

Wednesday, January 30, 2013

BICARA MALAM DI PFK Bicara malam di Petronas Fertilizer Kedah Gurun Kedah


Dalam getar jam 11 malam di tengah rimbun bunyi dan jeritan mesin
Pada gejolak api dari cemeni gergasi dan desir angin desa
Berhalaqah dalam majlis zikir buat muhasabah bagi rakan dan sahabat
yang bertugas shift malam...yang mengendalikan mesin dan perkakasan,
mereka yang soleh dalam uniform berwarna kuning.

Muqadimah adalah syukur tentang nikmat usia
Yang kian hari kian sedikit berbaki
.....Kian sampai ke noktah terakhir.
Cuma manusia-manusia terus alpa dalam ribut hidup seribu kalut.
Selengkar peringatan dan sedarlah akan pesan nabi kepada Ibn Umar;
“ Jadilah kamu di dunia ini seperti seorang dagang atau si pelintas jalan..., maka persiapkanlahlah diri mu sebagai ahli kubur !”
Tersentuh dengannya Ibn Umar menyambung, “Apabila kamu sedang berada di waktu petang jangan tangguhkan kebaikan sehingga ke pagi, apabila di waktu pagi jangan tangguh sehingga ke waktu petang...ambillah kesempatan sihat ini kerana nanti kamu akan terlantar sakit. Rebutlah peluang selagi hayat, kerana nanti kamu akan terkujur sebagai mayat !”
Hanya orang yang ingat tentang hakikat umur dan kesudahan akan memanfaatkan peluang, Merebut ganjaran, memperbanyak amal
Melabur buat hari yang panjang ...yang pasti !
Dalam nafas malam itu,
Kita sedar betapa di dalam membina hidup ini, teladannya adalah Rasululah. Itu pesan Ilahi agar kita tidak terkhilaf ...
Masakan Micheal H Hart dalam The 100nya tersalah apabila
Menobatkan Rasulullah sebagai manusai terhebat sepanjang zaman dalam membina tamadun dan kehidupan..
Namun tamadun yang dibangunkannya sangat sedaging antara rohani dan fizikal
Sangat sedarah antara spiritual dan material.
Sekira tidak, jadilah seperti apa yang dianalogikan oleh Stephen Covey dalam First thing firstnya;
Seperti orang yang mendaki anak tangga dengan segala kepandaian dan kemahiran
juga strategi dan kekuatan dia berjaya di mercu anak tangga.... digelar orang sebagai
sang juara. ! !
Namun dia baru tersedar satu perkara setelah berada di sana
Setelah sayup di puncak yang tinggi
Rupa-rupanya....
tangga yang didaki itu tidak bersandar pada dinding !
Malang apakah ini... di hujung episod pemburuan yang sangat memenatkan
Pelaburan apakah ini dalam pengejaran, keletihannya membunuh...
Begitu banyak korban masa,
Korban tenaga, korban airmata, korban terabainya orang-orang tercinta di sekeliling kita.
Kesakitan di atas nisan kejayaan....

Tiada jalan pintas sebenarnya
melainkan kembali kepada cara Tuhan
Kerana Dia yang mencipta dan mebuat pengaturan
Lihat kepada adiwira sebenar, alangkah hebatnya baginda, berjaya merubah manusia menjadi insan bermakna
Dari hidup saling berbunuhan
Daripada seorang pembunuh hatta sanggup membunuh anak sendiri
Daripada pemadat khamar
Daripada penzina
Dari penindas
Berubah menjadi insan terhebat pembina tamadun zaman berzaman
Yang terus memegang piala gemilang tidak mampu ditandingi ...

Dalam jiwa mereka hidup Allah lalu mereka hidup...bukan hidup-hidupan
Yang hanya meminggir dijalanan; ada tidak dirasakan mati tidak diperasan

Semoga hari esok menjanjikan kita kebaikan
Kerana kita menjanjikan diri untuk berubah demi membina kebaikan di atas jalan kebaikan pengikut sebaik-baik Rasul insan pilihan.

Terima kasih Ustaz Nazim Arifin dan sahabat-sahabat di PFK



Baca Seterusnya...

Friday, July 1, 2011

SEPAGI DI MU'TAH


Salam hormat dari bumi Jordan.
Musim panas dengan angin dingin adalah paluan kompang penuh asyik menyambut kabilah kecil kami.
Hari pertama di Mu'tah;
menziarahi pahlawan yang rebah dengan lima puluh libasan pedang Saidina ja'far Atthoyyar...kedua tangannya tercantas berpisah dari tubuh namun membiar panji kalimah Allah jatuh tidak sekali...
Serta sesorang yang terhadapnya, Rasulullah menangis lebih pilu dari anak perempuannya menangis apabila diberitahu tangtang gugurnya dia di bumi Mu'tah...
ditanya kenapa begini tangisan mu Ya Rasulullah...dalam tangisan yang belum reda Rasulullah berkata : "Seorang yang sangat rindu (العشيق) menangisi kekasihnya..."
Alangkah besar bilikmu wahai Zaid bin Harithah di dalam rongga dada Rasulullah SAW.
Juga ziarah seorang yang menjadi sauh keberanian; dalam syura selama dua hari di kalangan tentera muslim , dan dia yangterus bercerita tentang syurga bagi yang syahid; betapa tidak di bukit yang tinggi mereka melihat tentera musuh seramai 200 000 dua ratus ribu, sedangkan tentera islam hanya sejumlah tiga ribu orang...Terima kasih wahai Abdullah Rawahah engkau mengajar kepada dunia erti sebenar kekuatan..bukan pada jumlah tetapi pada hati yang dipenuhi iman dan rindukan syurga..Allahku Akbar
musafir di bumi anbia ini diteruskan......

Baca Seterusnya...

Tuesday, January 18, 2011

QASAD- MAQSUD


Di bawah bumbung masjid Saidina Abu Bakar Bangsar.
Merasai dan berkongsi rahsia niat dalam solat.

Bagi menggetar rasa menggapai khusyuk dalam erti firman Allah;

وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ

(sesungguhnya telah berjayalah orang beriman)...Mereka yang memelihara solat-solat mereka- Surah Al Mukminun. ayat 9

Untuk dapat kyusyuk perlu memelihara solat itu sejak dari syarat sehingga kepada rukun dan seluruh amalan berkaitan solat.

Bagaimana memantapkan Qasad (kerelaan untuk melakukan solat kerana Allah) dalam takbir agar bergetar seperti firman Allah;

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ
Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman itu apabila disebutkan nama Allah bergoncanmg hati-hati mereka...(surah Al Anfal ayat 2)


Sekiranya disebutkan kepadanya nama Allah telah bergoncang, bagaimana keadaannya apabila di dalam hati itu sendiri terpasak Qasad lillah...pasti bergoncang, perasaan yang selari dengan makna takbir itu sendiri!


Qasad bererti mengunci tujuan semata-mata kerana Allah....jika itu berlaku pasti ia akan menyampai kepada maqsud= keredhaan Allah.

Memelihara niat merupakan perkara utama bagi hati kerana khusyuk itu letaknya di hati. ia perlu bermula dengan pengenalan hati terhadap tujuan yang jelas iaitu 'Lillah' (kerana Allah).

Banyak contoh menerangkan betapa niat apabila dikunci kepada sesuatu akan capai kepada apa yang dikuncikan itu.

'Kepada Allah sampai kepada Allah... kepada selain Allah, tidak akan sampai kepada Allah.'

Latihan dalam solat akan membentuk; Seluruh perlakuan , hamba sehingga hidup dan mati jadi 'Lillah' (kerana Allah) seperti firman Allah

قُلْ إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي للَّهِ رَبِّ الْعَالَمِين
Katakanlah sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. (surah Al An'am 162)

Inilah tujuan memperkukuh niat menjelas qasad agar menepati matlamat kerananAllah lalu selari dengan maksud penciptaan insan,
untuk menghamba diri kepada Allah.

Wallahu a'lam.


Baca Seterusnya...

Sunday, December 26, 2010

SELAMAT TINGGAL buat 2010


( Tahun dua ribu sepuluh masihi selepas ini di sebut 2010 )



Dalam remang malam pada tepat jam dua belas ketika jam besar berdenting, berdiri di pusaramu menyedarkan betapa perpisahan ini adalah buat selama-lamanya. Ikatan perhubungan telah terlerai, segala-galanya telah berakhir bersamamu. Walau sekuat mana berusaha, kita tidak akan bertemu lagi sampai bila-bila. Lebih perit melihatmu lewat jendela masa, ditinggal pergi dalam warna kian suram… yang tinggal hanya mimpi dan kenangan.
Alangkah banyak yang engkau anugerahkan dalam pertemuan ringkas selama tiga ratus enam puluh lima hari itu. Banyak tawa dan kegembiraan atas pencapaian hebat yang terlakar, namun banyak juga menyaksikan bencana, kematian dan perpisahan berlaku. Begitu banyak deraian ketawa ria atau air mata teralir dalam tangisan dan sedu yang panjang.


2010: Dalam ruang dan kesempatan itu engkau telah menghadiahkan kami usia kian tua serta cangkir-cangkir kematangan, tidak kurang juga kesan luka dan kesakitan. Dalam meniti batas pengalaman bersamamu ada baiknya kita meninjau pesan Rasulullah SAW dalam sabdanya
“Orang yang bijaksana adalah mereka yang menghitung dirinya sendiri dan beramal bagi nasib sesudah matinya.” ~Riwayat at Tirmizi .
Saidina Omar ibn al Khattab RA berkata :
“ Hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung.” Saranan agar menoleh ke belakang adalah seruan agama supaya terbentuk sikap belajar daripada pengalaman sendiri masa lalu buat memetik pengajaran di masa hadapan.


2010: Menghimbau kembali detik bersamamu dahulu, banyak dosa yang terlakar. Betapa hati terpalit bintik-bintik hitam pada noda yang dibuat. Banyak kelalaian sengaja direka..alhasil diri tetap jauh dengan Tuhan walaupun selaut pengajaran telah diberikan, benarlah firman Allah dalam bicara kalamNya :
“ Dan sesungguhnya kami telah datangkan di dalam al quran dengan pelbagai perbandingan bagi manusia, namun manusia sangat banyak membantah”- Surah al kahfi.
-->

2010 : Banyak soalan asas tidak terjawab dalam tempuh sepanjang bersamamu ;
Sejauh mana menjaga hubungan dengan Allah menjadi perkara terpenting di dalam hidup? Jawapan kepada soalan itu bakal menjadikan Allah tidak dilupakan, apatah lagi seorang hamba itu sanggup mengabaikan perintahNya atau tergamak melakukan laranganNya.
Sejauh mana pula solat berkesan menjadi jambatan bagi mengerat hubungan antara Khalik dan makhluk? Ataukah masih pada takuk lama. Solat masih terasa seperti memikul beban sehingga sukar untuk dibangunkannya, lalu kemanisan solat berada jauh di ufuk kutub yang berlainan. Sedangkan solat bagi Rasulullah adalah penyejuk mata dan lubuk kerehatan hakiki. Seterusnya sejauh mana puasa menjadi benteng diri buat menghadapi hidup?
Sejauh mana zakat mensucikan harta dan haji melonjak semangat juang tertinggi dalam perhubungan dengan Allah juga sesama manusia? Adakah telah ada jawaban kukuh buat seluruh soalan dan persoalan penting ini ?

2010: Engkau juga menjadi saksi bisu tentang hubungan kami dengan Rasulullah SAW. Sejauh mana beliau menjadi layar teladan dalam semua aspek kehidupan ini serta mengambil ruang di dermaga hati?
Sejauh mana rasa kasih kepadanya memuncak beserta rindu seperti kekasih kepada kekasihnya ? Sedang sahabat dan Rasulullah tidak berhubung atas perhubungan pemimpin dan pengikut atau guru dan murid tetapi perhubungan mereka pada dasar kasih yang sangat mendalam.
Mereka sering meluahkan, “ Wahai Rasulullah kami amat menyayangimu lebih daripada kecintaan terhadap diri kami sendiri…”
Daripada rasa itu baru indah berbicara tentang mengikut sunnah dan membaris diri dalam saf perjuangannya!

2010 : Dalam perkenalan bersama dahulu itu, engkau juga melihat bagaimana rapuhnya perhubungan sesama insan. Al Hasil, pincanglah keseimbangan yang meranapkan bangunan kehidupan. Lihatlah kepada perhubungan dengan kedua ibubapa. Adakah mereka mendapat hak yang sepatutnya ?
Ataukah hidup pada penjuru mereka yang sedang merangkak pada usia tua begitu terasing dan terabai ! Rasulullah pernah menggambarkan, seandainya seorang ibu memanggil anaknya sedang ia berada di Thoif dan anaknya berada di Mekah lalu anaknya mendatanginya dalam keadaan merangkak sehingga terluka dan mengalir darah pada telapak tangan, siku dan lututnya… anak ini masih belum boleh dipanggil anak soleh ! Kalaulah begitu sukar sekali untuk menjadi anak soleh, betapa pula mereka yang membiarkan kedua ibu bapanya terluka, terbiar kesepian tanpa perhatian serta limpahan kasih sayang.
Bagaimana pula ikatan kasih yang terpupuk dalam sebuah rumahtangga ? Adakah setiap pasangan berjaya membuat yang terbaik kepada pasangannya sehingga setiap seorang daripadanya merasai kemanisan ‘baiti jannati’. Semakin eratkah ikatan rasa itu dan cinta mengalir ke muara syurga !
Bagaimana pula halnya anak-anak yang dahagakan perhatian ? Adakah belaian dari kedua ibu bapa mereka dapat dirasai sehingga ke tangkai jantung hati? Ataukah mereka yang celik dan memejam mata lewat hari-hari berlalu tanpa belaian, perhatian juga kasih sayang… kasihannya mereka.
Bagaimana pula nasib umat ? Adakah masih ada bicara persaudaraan dan hidup saling hormat menghormati ? Adakah di dalam dada ada rasa kasih kerana mereka juga ahli kiblat, manusia pilihan Allah bagi harga hidayah yang sangat mahal ?
Seandainya jawaban yang ditemui adalah hampa, kenapa semuanya tidak seperti 1400 tahun lampau. Setiap orang memandang tinggi erti persaudaraan dan mengakuinya bahawa itu adalah nikmat teragung dari Allah buat umat ini. Rasa hormat tertanam dan di dalam benak terpasak ukhwah lalu menjadi tumang umah gemilang. Sabaliknya kini adalah tumang menumangkan atas alasan yang boleh diambil di mana-mana.
Tiada lagi saudara yang berkasih, bertemu juga berpisah kerana Allah. Masing-masing punya alasan untuk menghalal darah saudara sendiri sedangkan umah kian terdesak ke jalan mati buat di sembelih dan dilapah beramai-ramai !
Seluruh siri soalan tadi dambakan jawaban, ia penentu kepada keseimbangan hidup seseorang.

2010 : Engkau mengajar menangguhkan taubat, melengahkan amal dan kemudian rasa selamba. Dakapan hangatmu itu begitu mengalpakan, engkau membius minda seolah-olah hidup ini selama-lamanya. Bersamamu, hari-hari begitu manis sehingga terlupa tentang hakikat bahawa hidup ini bakal menjumpai noktah terakhir, iaitu sebuah kematian… seperti engkau pada hari ini. Kelupaan inilah membentuk rantai kelupaan, begitu tegar untuk disedarkan!

2010 : Namun alangkah mesra belaianmu, menawarkan ruang buat si pemburu ilmu pada bilah siang dan malammu. Betapa saranan Rasulullah pada umatnya agar menjadi penguasa ilmu dunia dan akhirat terbuka luas terpulang kepada umatnya sama ada melapang atau menyempitkannya. Adakah umat ini teruja dengan kilauan ilmu atau hanya mengisi benak dengan hiburan sepanjang siang dan malam ?
Selama tempoh itu gerbang amal terbuka lebar seluas langit dan bumi kecuali bagi yang nyawanya telah sampai ke halkum. Kebaikan dapat dilihat di koridor masjid, di ruang tamu serta rumah, di bilik mesyuarat dan gedung-gedung perniagaan serta tempat rekreasi. Islam adalah agama yang kebaikannya perlu dibangunkan di mana-mana ! Hari-hari mendatang tetap tiba bersama bingkisan harapan agar setiap orang akan jadi lebih baik berbanding waktu dahulu. Pada anak-anak kian dewasa yang melewatimu dan waktu terus mengalir; Jaminan daripada Rasulullah bahawa Islam akan terus gemilang !

2010, kami permisi dahulu dalam rintik air mata terakhir. Bersemadilah kamu dengan aman… Izinkan kami menutur salam terakhir buatmu, kami simpati kepadamu juga diri sendiri atas segala-gala yang telah berlaku.

Nun, di hujung padang menghijau, dua ribu sebelas sedang menunggu…
-->

Baca Seterusnya...

Monday, December 20, 2010

Harga sehelai tisu

-->
Duduk memerhati di laluan keluar masjid an nabawi, ribuan jemaah daripada seluruh pelusuk dunia kelihatan asyik menikmati cangkir rohani yang menyegarkan. Ibadah adalah santapan rohani yang tiada taranya. Solat, bacaan quran, zikir, selawat dan ziarah maqam rasulullah, semua itu adalah banjiran rasa yang mendamai jiwa.

Dalam gelut rasa itu, tiba-tiba saya seperti tersedar satu perkara setelah tinggal di sana beberapa hari. Saya bertanya satu soalan dalam diri saya sendiri;

Berapa ramaikah selama berada di sana saya dan para jemaah lain saling bersalaman atau bersapaan?
Berapa ramaikah saya lihat para jemaah bertegur sapa, saling berbalas senyuman, menghulur tangan dan menerima salam?
Sejauh mana masjid An Nabawi mengadun rasa ukhwah yang dapat menyatukan umat islam seluruh dunia?

Sejauh mana semua bangsa tanpa batasan dapat bersalaman, bersapaan, berpelukan tanda persaudaraan atas nama Allah.
Sejauh mana kepelbagaian itu disatukan seperti sebuah orkestra yang mempunyai berbagai instrumen tetapi kemudiannya disatukan menjadi sebuah simfoni yang mengasyikkan. Bagaimana untuk merasai bahawa kita semua ini sebenarnya dikat dengan tali Allah, satu ikatan yang lebih kukuh dari ikatan saudara sedarah sedaging?

Memerhati dari Google maps ke arah masjid An Nabawi memanglah kelihatan jumlah umat Islam di situ begitu ramai, semuanya kelihatan tekun beribadah. Mereka datang dengan ikhlas dan pulang ke nagara masing-masing selepas beberapa hari di sana, adakah semuanya telah menemui sesuatu yang berharga di sana ? Ataukah kita tidak sedar bahawa kita sebenarnya telah kehilangan permata paling berharga sewaktu beramai-ramai di masjid an nabawi iaitu:
Ukhwah Islamiah atau kasih sayang semasa saudara Islam.

-->
Dalam menungan muhasabah tentang nasib umat, pada satu subuh ketika musim panas saat menunggu iqomah , saya lemas selesema. Dengan begitu sukar saya mengesat air dari hidung dengan hujung lengan baju kerana tidak membawa sapu tangan atau tisu.

Tiba-tiba, seseorang yang duduk di sebelah saya mungkin dari negara Turki menghulurkan sehelai tisu kepada saya. Beberapa saat saya terdiam , kaget merasai kebaikannya. Saya menyambut mesra tisu itu, mata saya merenung ke dalam ulas matanya... Saya menjumpai kasih dalam remang ukhwah di sana. Saya berulang kali mengucapkan syukran dan alangkah cantik tisu itu pada pandangan saya, alangkah manisnya saat itu! Sesuatu yang saya rasa kosong dalam sesak manusia di masjid an Nabawi itu setidaknya saya temui. Bukan tisu itu yang berharga tetapi kepedulian, perhatian dan persaudaran jauh lebih berat dengan timbangan yang tidak mampu dimetrikkan!

Saya kira fitrah ukhwah ini masih ada dalam dada umat tetapi malangnya tiada seorang mutawwif pun yang mengingatkan para jemaah dan penziarah kerana sibuk menyulam hujah tentang fadhilat bagi ibadah sunat. Tiada ulama atau ustaz yang bersungguh-sungguh menceritakan persoalan ukhwah ini kerana sibuk dengan keutamaan itu dan ini , lupa wajibnya ukhwah!
Adakah kita hanya ingin jadi golongan yang membenarkan hadis nabi :
عن عمير بن إسحاق؛ قال: "كنا نتحدث أن أول ما يرفع من الناس الإلفة".
رواه البخاري في "الأدب المفرد".

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam kitab Al Adabul Mufrad, dari Amir bin Ishaq: adalah kami berbicara sesungguhnya perkara pertama yang diangkat daripada manusia adalah kemesraan.

ROH MASJID

Jika melihat kepada sorotan lampau, Masjid An Nabawi bukan sekadar telah berubah fizikalnya. Kalau dulu di zaman Rasulullah SAW masjid ini adalah bangunan petak empat segi, dinding dari batu granit, atap pula hanya sebahagian bertutup dengan pelepah tamar, sebahagian lain langit biru adalah bumbungnya.
Apabila sujud, muka para jemaah akan tertomos atas pasir gebu. Alangkah dhoifnya fizikal masjid an Nabawi saat itu untuk dibandingkan dengan sebuah masjid agam yang terbina gagah pada hari ini. Seluruh bangunan masjid an nabawi pada hari ini terbina daripada konkrit pejal disalut marbel berkilat seperti cermin muka. Qubah indah terletak dengan warna keemasan memukau pandangan.

Di dalam ruang masjid boleh sujud di atas karpet buatan tangan serta penghawa dingin berhembus mengoles kulit penuh nyaman. Tong-tong membekal air zam-zam sentiasa tersedia sama seperti kedai Seven-Eleven, dua puluh empat jam.

Perubahan ini tentu tiada masalah, bahkan para jemaah tentu berasa syukur dengan kemudahan yang tersedia untuk melaksanakan ibadah dengan baik.

Tetapi masjid agam ini nampaknya tidak berjaya mewakili fungsi masjid an nabawi pada zaman rasulullah. Dahulu masjid batu empat segi bujur ini merupakan tempat Islam membina asas . Garis horizon sirna di antara langit ke tujuh dan bumi kerana di situ tempat wahyu mencurah turun. Di situ tempat kuliah Rasulullah dan halaqah para sahabat serta ahli suffah. Di sana juga tempat menyusun strategi peperangan bersama sahabat-sahabat besar RA sehinggalah kepada masalah peribadi para sahabat yang tangani oleh Rasulullah.

Yang lebih penting di masjid itu adalah, ia merupakan perhumaan subur buat membuahkan ukhwah islamiah dan kasih sayang di kalangan sahabat. Di sana mereka dipersaudarakan di atas nama Allah. Suatu ikatan kuat yang manusia tidak boleh campur tangan untuk merungkainya. Satu ikatan sangat kental sehingga berjaya menjadikan para sahabat sebagai terbaik dikalangan terbaik. Saat itu fizikalnya dhoif tetapi roh masjid itu hidup bertenaga.

Berbanding hari ini fizikal masjidnya hidup, rohnya sakarut maut!

Baca Seterusnya...

Sunday, November 21, 2010

Hati-hati jaga hati


-->
SEMUANYA SOAL HATI

Dalam mencari ketenangan manusia sanggup mendaki gunung tinggi, merentasi laut lepas atau mengembara ke kutub beku, sedangkan hakikat ketenangan itu tersembunyi di sebalik lipatan hati. Namun daerah hati itu sangat luas sehingga kita mungkin tersesat di dalam pencarian itu. Ada manusia menemuinya lalu beroleh ketenangan. Sebaliknya ramai tersesat di dalam pencarian, lalu hidup menghela keluh mendengus kesah. Bila kita mendepani ini, hidup jadi tidak indah serta padat dan sendat dengan krisis yang berangkai

. Cukuplah kita menggambarkannya kerana ia adalah syai’un makruf (telah diketahui ramai). Apa yang lebih penting bagaimana alur keluar bagi persoalan ini yang menjadi dambaan setiap hati.
Mari menghayati firman Allah,
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ (27) ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً (28) فَادْخُلِي فِي عِبَادِي (29) وَادْخُلِي جَنَّتِي (30)
”Wahai jiwa yang tenang pulanglah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha meredhai, masuklah kamu dalam kelompok hambaKu, masuklah kamu ke dalam syurgaKu.”
-Surah al Fajar

Seruan ini merupakan jemputan Allah bagi mukmin yang tenang jiwa saat ia mangadap Allah. Ia bermula dari detik kematian sehinggalah selesai melalui proses pemeriksaan akhir di mahkamah akhirat. Merekalah golongan yang diiktiraf sebagai hamba Allah sebenar serta layak dianugerahkan syurga sebagai balasan. Imam Fakhruddin Ar-razi menjelaskan bahwa, bentuk jiwa yang tenang itu ada pada tiga keadaan semasa hidupnya agar dapat melayakkan diri bagi menerima seruan tersebut. Jiwa yang tenanglah menjadi KPI ( kunci indeks keberhasilan) seseorang terhadap kualiti hidupnya! Hati adalah raja di dalam kerajaan diri. Untuk memastikan segala perkara lain baik, terlebih dahulu baikkan hati.

Ketenangan hati secara langsung mempengaruhi respon seseorang terhadap rangsangan dunia yang pelbagai. Dunia sentiasa menawarkan rangsangan berupa kenikmatan, hambatan melaksanakan tanggungjawab, kekangan merealisasikan impian, tarikan serta tolakan bagi melayan ekspektasi tinggi sekeliling dan termasuk juga siri kesakitan yang dihadirkan oleh ujian.

Orang yang jiwanya tenang boleh merubah segala rangsangan tersebut kepada respon yang positif. Sebaliknya jiwa yang kacau bertindak balas terhadap rangsangan dengan respon yang negatif. Pemilik ’jiwa kacau’, apabila menerima nikmat lupa bersyukur, nikmat tersebut direngguk dengan rasa terkilan dan jengkel di hati kerana melihat nikmat yang tidak dimilikinya atau milik orang lain. Syukurnya sempit dan rasa puasnya tawar. Apabila dia berhadapan dengan tanggungjawab pula penuh dengan rasa sebal di hati disamping bibir berdecip-decip menyalahkan orang lain serta sering culas. Apabila menginginkan sesuatu dia sanggup mengorbankan apa sahaja prinsip hidup termasuk perinsip agama demi mencapai apa yang dicita-citakannya. Apabila dia berhadapan dengan ujian dan mehnah dari Allah, tercabut segala kesabaran serta tergadai sifat redhanya, setiap saat dia rasa tertekan dan memandang ujian dengan penuh kebencian, jangan cakap pasal ada hikmah di balik semua ujian itu anda bakal diherdik !

Sebaliknya, orang yang memiliki jiwa tenang akan bersyukur dengan nikmat walaupun di mata orang lain nikmat tersebut kecil atau rendah nilainya. Dia sentiasa merasa kebaikan Tuhan sehingga tidak nampak kekurangan apa-apa pada nikmat itu. Dia dapat mengutamakan prinsip dalam memburu impian, tiada yang bakal terkorban dalam mengejar cita-citanya. Dia boleh menangani jangkaan orang lain terhadapnya sehingga dia mewah dengan kasih sayang dan memiliki empati yang kaya. Dia dapat berhadapan dengan siri ujian mendatang dengan penuh kesabaran tanpa perlu melibas sekeliling, melempias kemarahan atau tertanam dalam perut bumi kemurungan.

Bagaimanakah ketenangan seperti ini boleh beradu di dalam hati ?
Seseorang itu perlu memastikan terlebih dahulu tiga perkara untuk memperolehi ketenangan hakiki:

Pertama adalah yakin dan berpegang dengan prinsip kebenaran.

Kebenaran adalah perkara asas kepada perolehan ketenangan. Lawan kebenaran adalah kedustaan. Selagi seseorang itu berpegang dengan prinsip kebenaran dan rela mengorbankan apa sahaja kepentingan diri atas nama kebenaran ia berhak memilik ketenangan.
Sebaliknya hidup bergelumang kedustaan walaupun berjaya menipu seluruh penduduk dunia termasuk yang berada di MIR (Pusat kajian angkasa) dia tidak akan memperolehi ketenangan. Kedustaan bukan ibarat pasir dalam kasut yang merimaskan tetapi seperti kaca yang menghiris dari dalam.

Kerana itu amat penting memastikan apa sahaja yang ingin kita lakukan itu tepat dan benar menurut kehendak syarak. Apabila ianya bercanggah, gagahilah diri untuk menerimanya. Saat itu kita perlu korbankan kepentingan diri sendiri demi sebuah kebenaran. Bagi yang meyakini kebenaran dan bertindak selari dengan keyakinannya akan memperolehi ketenangan di dalam hati. Lihat ungkapan nabi Ibrahim,

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِي الْمَوْتَى قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِنْ قَالَ بَلَى وَلَكِنْ لِيَطْمَئِنَّ قَلْبِي [البقرة:260]

Dan apabila ibrahim berkata: wahai Tuhanku perlihatkan kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati Allah berfirman adakah engkau tidak yakin? Ibrahim berkata:bahkan aku yakin tetapi sebagai menenangkan hatiku…”

Benarlah sabda Rasulullah dalam hadis yang dikeluarkan oleh Imam at Tirmizi;

فإِن الصِّدْقَ طُمأْنينة والكذبَ رِيبَة.
أخرجه الترمذي

sesungguhnya kebenaran itu ketenangan dan dusta itu keraguan…”

Perkara kedua adalah hati yang aman.
Aman yang dimaksudkan adalah sejahtera daripada perasaan takut dan dukacita. Dua perasan ini apabila mengambil ruang di dalam hati manusia akan mencabut kesejahteraan di dalam, lalu bagaimana ketenangan boleh menjelma ? Allah berfirman,

{ أَلاَّ تَخَافُواْ وَلاَ تَحْزَنُواْ وَأَبْشِرُواْ بالجنة } [ فصلت : 30 ]

sesungguhnya jangan kamu takut dan jangan berdukacita dan berilah khabar gembira dengan syurga

Takut dan dukacita itu adalah terhadap urusan duniawi. Perasaan takut dan gundah ini selau menjadi sebab kenapa manusia sanggup mengorbankan perinsip kebenaran demi mereda rasa takut kepada makhluk dan dukacita terhadap urusan hidup. Untuk membuang rasa ini perlu kepada iman dan tawakkal yang sebenar. Dua perkara ini akan membuang rasa kebesaran terhadap makhluk serta memperbetulkan urusan kerisauan terhadap urusan hidup. Bukan hanya keamanan sesebuah negara itu penting tetapi bagi kerajaan diri, aman di dalam hati adalah syarat bagi lahirnya ketangan hakiki.

Perkara ketiga adalah berzikir kepada Allah
Zikir adalah penyebab paling puncak dalam soal ketenangan hati. Allah berfirman,
{ أَلاَ بِذِكْرِ الله تَطْمَئِنُّ القلوب } [ الرعد : 28 ]
Ketahuilah dengan mengingati Allah hati menjadi tenang

Zikir adalah kerja bibir, hati, termasuk anggota tubuh. Kenapa zikrullah begitu berkesan kepada hati ?
Jawapan kepada soalan penting ini ada pada hakikat kejadian manusia . Roh itu datang dari Allah, maka setiap perkara yang berkaitan dengan Allah akan memberikan kesan langsung kepada roh. Kerana itu sekiranya kita inginkan ketenangan sebenar maka tertib dua perkara di atas harus dipatuhi kemudian melakukan zikir dengan bersungguh-sungguh. Kita telah biasa mendengar perbahasan tentang zikir ini.

Perkara yang perlu ditekankan dalam soal zikir adalah;
  1. Berzikir dengan zikir yang banyak oleh lidah. Ramai beranggapan bahawa cukup dengan hati yang ingat maka kita telah dikatakan berzikir. Ini adalah kefahaman yang tidak menguntungkan bagi hati yang menginginkan ketenangan sebenar. Bibir seseorang itu perlu sentiasa basah dengan zikir-zikir yang banyak baru ianya membekas ke dalam hati. Zikir yang dibuat tetapi sedikit tidak cukup memberi tenaga yang membentuk hati seseorang. Kerana itu kita mendapati sifat orang soleh itu sentiasa tenggelam di dalam menggerakkan lidah serta bibir dengan zikir-zikir tertentu hampir pada setiap masa.
  2. Mengingati di hati apa yang dituturkan lidah. Setelah zikir di bibir yang berjaya didisiplinkan sehingga istiqomah perlu penghayatan pada makna dan pengertiannya. Penghayatan akan menjadikan setiap patah zikir benar-benar menuju terus ke hati. Ia lantas memberi kesan sehingga dengannya Allah mencampakkan cahaya ke dalam hati bersama kedamaian dan ketenangan yang tidak mampu di gambarkan oleh kata-kata hatta puisi sang sasterawan. Inilah yang dimaksudkan sebagai syurga yang disegerakan buat kekasih-kekasih Allah yang ingat kepadaNya sentiasa.

Ketenangan adalah penentu kesetabilan tentang bagaimana kita menghadapi hidup ini, justeru perlu diberikan perhatian paling wajar tentangnya. Ia menjadi penentu saat kita berangkat pergi menemui Allah di hari kematian kita. Hati ini jugalah yang kita pertaruhkan nasib buat keselamatan di negeri abadi seperti firman Allah dalam surah as-Syu’ara’,
يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ (88) إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (89)
Hari mana (akhirat) tidak berguna harta dan anak pinak melainkan mereka yang mendatangi Allah dengan hati yang sejahtera.
Kita dapati bahawa hidup, mati dan hari pembalasan berlegar dalam satu perkara:

Semuanya soal hati !

Salam ukhwah dan selamat meraih ketenangan abadi..

Baca Seterusnya...

Wednesday, October 20, 2010

Haji yang Haji


Salam buat sahabat dan rakan yang menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Ibadah yang memerlukan pengorbanan dan semangat juang tinggi ini merupakan pelengkap kepada tiang agama Islam yang indah. Ertinya, sesudah ibadah ini berjaya dilaksanakan, seseorang itu ibarat telah memiliki sebuah bangunan kukuh yang bakal menyaksikan kemanfaatan di dalamnya. Haji bukan noktah membina amal juga bukan podium mengangkat gelar. Ia adalah sebuah penyempurnaan untuk membina kesempuranaan yang lain lagi. Alangkah bertuah para tetamu Allah dalam laungan talbiah, menelusuri jalan yang pernah dilalui oleh para hamba Allah yang hebat. Di sana laluan mereka, di manakah jejak perjuangan mereka yang perlu kita langsungkan?
Di sana ada semangat Ibrahim AS, Ismail A dan Siti Hajar buat diteroka. Ada rintik tangis kerana rindu pada Allah dan paparan kepatuhan serta ketaatan yang menjulang tinggi buat dituruti oleh para hujjaj. Semoga mereka pergi di dalam rahmat, dipermudah segala urusan lalu pulang membawa hajjan mabruran....ameen.

Baca Seterusnya...

Friday, October 1, 2010

MUHASABAH SYUKUR


SYAKIR VS SYAKUR
( Musuh ketat bagi terbaik adalah baik)

Sayang, saya bukan sayang kamu..... tetapi tersangat menyayangimu!
Itulah antara ungkapan cinta dalam irama romantis yang selalu ditutur oleh pasangan lewat SMS. Mereka karam dalam lautan kasih sayang. Hati mereka begitu sensitif dan dapat menjengkal jarak sebesar ngarai di antara sayang dengan tersangat sayang. ’Tasik sayang’ itu sedikit untuk dibandingkan dengan ’samudera tersangat sayang’ yang mendinginkan hati daripada gejolak cinta.
Begitulah keramat bahasa, ia sebagai medium meluah apa maksud sebenar serta apa pengertian yang paling tepat dari lubuk hati. Namun siapa bakal memahami ?
Yang akan mengerti adalah hati yang sama-sama merasa dan peka.
Bukan kisah cinta yang ingin diutarakan di sini, tetapi meruntun kehalusan hati di dalam memahami bahasa Ilahi dalam nafas cinta kepada Allah melalui kalam-kalam Qurani. Semoga dengannya kita mampu melihat perkara seni dalam garis halus keindahan firmanNya. Buat memahami makna tersurat dan menghayati erti tersirat;
Marilah menangis di dalam membaca ayat Allah,
“ Dan sedikit sekali hambaKu yang benar- benar bersyukur ( syakur).” –as Saba’ 13
Daripada ayat ini marilah bermuhasabah untuk melihat di golongan manakah kita? Adakah kita ini tergolong di dalam kelompok manusia yang sedikit, ataukah tergolong dalam kelompok manusia ramai? Di sana ada golongan manusia yang bersyukur dan
manusia yang tidak bersyukur.
Apakah yang menyedarkan kita tentang hubungan dengan Allah melalui ayat ini? Allah menyatakan bahawa golongan sedikit itu adalah ’as-syakur’.
Orang yang bersyukur disebut sebagai ‘syakir’, tetapi seorang hamba yang benar-benar bersyukur disebut ‘syakur’. Jarak perbezaan di antara keduanya begitu jauh sekali !
As- syakur adalah mereka yang mendirikan hak-hak syukur, sehingga dia sibuk merasai syukur di dalam hati, pada lidah dan segenap anggotanya pada setiap masa. Ibn Abbas menyatakan as-syakur adalah mereka yang bersyukur di atas seluruh keadaan hidupnya. Sesetengah mufassir menggambarkan as-syakur sebagai mereka yang tenggelam di dalam ’syukur kerana boleh bersyukur’. Imam al Badhowi menjelaskan perkara ini dengan menyatakan bahawa sesungguhnya taufiq Allah menjadikan seseorang itu bersyukur atas sesuatu nikmat. Ini membawanya kepada syukur kerana boleh bersyukur, ini adalah satu nikmat lain pula lantas menjadikanya bersyukur lagi sehingga tiada kesudahan bagi rasa syukur tersebut. Alangkah dalam pengertian bagi firman Allah buat mereka yang ingin bermuhasabah.
Seperti ayat-ayat cinta di permulaan tadi, orang yang dimabuki cinta dapat menjengkal ngarai begitu menjurang di antara ’syakir’dan ’syakur’. Ia juga seperti ukuran penanda paling bawah dengan penanda bahagian atas di zon selamat ! Melepasi paras terbawah zon syukur itu membawa seseorang kepada kufur nikmat. Wali’azublillah.
Sifat paling asas bagi seorang hamba adalah syukur. Sifat ini menyedarkan betapa kita tenggelam di dalam limpahan nikmat Ilahi pada setiap detik, lalu akan lahirlah rasa ingin berterima kasih dan bersyukur kepada Allah, Tuhan Yang Maha Pemberi.
Namun, golongan manusia ramai adalah mereka yang syukurnya tidak sampai kepada syakur, luahan rasa syukur itu tidak setimpal berbanding dengan apa yang diterima daripada Allah. Syukur jadi hambar, rasa terima kasih kepada Allah begitu tawar sekali. Al hasil, ia tidak mendorong apa-apa kepada Allah. Seseorang yang buta hatinya daripada bersyukur yang sebenar membawanya menyimpang jauh terhadap akhlak dengan Allah.
Kalaulah begitu penting sifat syukur ini, marilah kita bermuhasabah. Adakah kita telah bersyukur dengan sebenar-benarnya ? Di sudut lebih luas, sememangnya kita akur akan Firman Allah,
“Sekiranya kamu ingin menghitung nikmat Allah, kamu tidak berupaya menghitungnya…”
Namun, adakah luahan rasa hati, ucapan dan perilaku syukur kita setimbang dengan bilangan nikmat Allah yang dikecapi ? Marilah kita bertanya ke dalam diri sendiri dan biarkan geruh nafas paling dalam menjawabnya…
Dalam firman ini Allah menjelaskan bahawa golongan sedikit adalah mereka yang benar-benar bersyukur ( Syakur ) bukan mereka yang bersyukur (Syakir) . Golongan yang bersyukur itu sebenarnya ramai apatah lagi golongan kufur jauh lebih ramai, tetapi golongan sedikit yang disebutkan oleh Allah adalah mereka yang benar-benar bersyukur .
Persoalannya, Adakah kita tergolong dalam golongan syakur ini ? Mari lihat di dalam dialog Rasulullah apabila ditanyakan kepadanya kenapa beliau begitu tekun beribadah di waktu malam sehingga bengkak betis serta tumitnya, jawaban baginda adalah, ”…Tidakkah boleh aku ingin menjadi seorang hamba yang benar-benar bersyukur ( abdan syakuran) - hadis riwayat Imam Bukhari dari Mughirah bin Syu’bah.
Ada nikmat disebut nikmat maddiah atau nikmat kebendaan. Ia seperti nikmat hidup, sihat, nikmat harta benda, nikmat hidup berkeluarga, punya zuriat, punya wang dan kesenangan. Sejauh mana kita bersyukur setiap kali mengecap nikmat-nikmat ini ? Kemudian ada nikmat yang lebih berharga, ia disebut nikmat maknawiyah. Di dalamnya terkandung nikmat hidayah, taufiq dan i’nayah. setelah kita menyenaraikan ketegori nikmat sejauh mana kita menghargai nikmat –nikmat itu lantas berterima kasih kepada Al- Mun’im. Dengannya kita menjadi seorang muslim, punya keimanan di dada serta berupaya melakukan ketaatan dan meninggalkan tegahan. ? Hakikat syukur adalah merasai bahawa setiap pemberian itu adalah pemberian daripada Allah .
Selari dengan ajaran Islam yang berasaskan ‘itqan’, setiap amal perlu dibuat terbaik. Islam tidak menyuruh kita beramal hanya sekadar amal itu perlu dibuat, tetapi menuntut agar ianya dibuat dengan bersunguh-sungguh. Kalau begitulah sifirnya, untuk buat amal terbaik maka ia mesti punya sumber tenaga yang menggerak dari dalam ke luar. Sifat asas yang menyimpan tenaga penggerak itu mesti terbaik ! Inilah rahsia kehebatan Ibadah Rasulullah, ia bersumber daripada sifat syukur yang sangat mendalam….’Syakur’
Kenapa pula amal ibadah kita tidak seperti itu ? Jawabannya adalah kerana sifat syukur kita tidak sebesar syukur Rasulullah, hanya syakir. Syukur itu ibarat enjin yang menggerakkan kereta ibadah. Jangan mengimpikan memecut BMW 7 series kalaulah enjinnya hanyalah berkapasiti 500 cc!
Pokok pangkalnya terletak kepada sejauh mana besarnya sifat syukur di dalam diri seseorang. Bagaimana mungkin mendapat air yang jernih di kuala sekiranya air di hulu keruh ? Syakur akan membuahkan amal terbaik !
Inilah yang terkandung di dalam doa seorang lelaki di sisi Saidina Umar RA:
”Ya Allah jadikanlah aku di dalam golongan yang sedikit”.
Saidina Umar RA bertanya : ”Jenis doa apakah yang kamu bacakan ini?”
Jawab lelaki ini: ”Aku mendengar ayat Allah yang memberi tahu ; Dan sedikit sekali hambaKu yang benar-benar bersyukur. Aku berdoa agar tergolong dalam golongan sedikit ini. Saidina Umar RA berkata: ”Semua manusia lebih tahu daripada Umar”
Perjalanan memburu redhaNya memerlukan tenaga, semoga kita menyedari bahawa syukur yang benar-benar ( As Syakur) adalah tenaga itu dan kita kian hampir denganNya:
”Ya Allah Tuhan Yang Maha Pemberi nikmat, semoga di antara kita.... tiada antara.”

Salam ukhwah dan kasih sayang.

Baca Seterusnya...

Monday, September 20, 2010

Amalan agar jauh daripada bahaya

Perkembangan-perkembangan yang berlaku mutakhir ini sangat merisaukan. dalam dunia ini hakikatnya ramai mewarisi Qobil, mengambil jalan mudah untuk capai matlamat. berlakulah persengeketaan sesama manusia sehingga kepada pembunuhan ngeri.


Marilah sentiasa berwaspada kerana setiap seorang daripada kita adalah aset yang sangat berharga buat agama. Buat segala persedian wajar untuk keselamatan diri dan keluarga...disamping itu mari kita amalankan doa ini: yang merupakan peninggalan daripada Rasulullah:



وعن عثمان بن عفان - رضي الله عنه - قَالَ : قَالَ رسولُ الله - صلى الله عليه وسلم - : (( مَا مِنْ عَبْدٍ يَقُولُ في صَبَاحِ كُلِّ يَوْمٍ وَمَسَاءِ كُلِّ لَيْلَةٍ : بِسْمِ اللهِ الَّذِي لا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرْضِ وَلاَ في السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ العَلِيمُ ، ثَلاثَ مَرَّاتٍ ، إِلاَّ لَمْ يَضُرَّهُ شَيْءٌ )) . رواه أَبُو داود والترمذي ، وقال : (( حديث حسن صحيح )) .


Daripada Usman AffanRA, bersabda Rasulullah SAW:


Tiadalah daripada seorang hamba yang mengatakan pada waktu pagi dan petang setiap hari , "Dengan nama Allah tiada suatu pun yang dapat memberi mudharat bersama namaNya di bumi dan langit dan Dialah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui..."sebanyak tiga kali dia tidak akan mendapat mudharat.


-hadis Riwayat Abu Daud dan At Turmuzi


Mari amalkan doa ini dan ajarkan anak-anak agar sama-sama beroleh manfaat ameen.


salam ukhwah.

Baca Seterusnya...

Salam Eid...kembalikah hamba ini ?



Salam eidul Fitri buat seluruh sahabat yang budiman.

Eid bererti kembali, kerana dahulu orang Arab biasa keluar untuk melakukan kembara untuk tujuan perdagangan. Apabila mereka kembali setelah menempuh perjalanan padang pasir yang sangat sukar termasuk segala ancaman diperjalanan seperti dari lanun padang pasir sehinggalah kepada penyakit serta berada ditempat orang dalam tempoh yang lama...ini semua menjadikan apabila qabilah-qabilah dagang ini pulang suasana kegembiraan adalah sesuatu yang tidak dapat digambarkan. Di sana terhimpun rasa syukur, gembira dan puas diatas kejayaan sepanjang keluar mengembara. Lalu dari suasana ini kalimah eid dari sejak zaman lampau dikalangan orang Arab menjadi kalimah untuk sesuatu yang paling istimewa.

Apabila menyorot tentang eidul fitri sebenarnya gabungan rasa dari peninggalan qabilah Arab lampau itu masih wujud. Pada hari eidul fitri kita disyariatkan agar lahir rasa syukur, gembira dan puas kerana melaksanakan perintah Allah sepanjang bulan Ramadan. Kita mnedekati allah dlama pengalaman penuh kegembiraan. Allahlah sumber kegembiraan sejati hidup ini sebenarnya.

Semoga Roh eidul fitri terus hidup buat menjadi bekal sehinga ke Ramadan akan datang, menjadikan kita hamba yang bersyukur, bergembira dengan syariat Ilahi serta puas hidup untuk berbakti kepada insan lain.

Sekali lagi salam Syawal , mohon maaf atas segala salah dan silap...semoga ukhwah dan kasih sayang di kalangan umat kian bertambah...sekali kita bersahabat, syurga adalah muaranya!

Baca Seterusnya...

Thursday, September 2, 2010

Buah Ramadan yang manis


Begitu pantas masa berlalu ramadan pada baki yang kian sedikit. benar kata syair : "Masa yang pantas berlalu itu sungguh mengajaibkan,tetapi kelalain manusia pada masa yang pantas itu jauh lebih mengajaibkan..."
begitulah kita di dalam melayan tawaran besar dari Allah di bulan ini. Kita memandangnya dengan sepi sehingga akhirnya ia berlalu pergi dan adakah kita bakal menemuinya lagi... bukan kita yang menjawab...tetapi ajal!
Marilah dipenghujung ini kita melihat adakah proses yang dilalui membuahkan hasil yang manis?
Ia dapat dilihat kepada rasa hati tentang:
1. Hubungan dengan Allah- Rasa kian manis berbuat taat dan rasa rimas serta benci kepada perkara maksiat.
2. Hubungan dengan kedua ibubapa kian erat-atas doa yang kita panjatkan sentiasa disepanjang bulan ini.
3. Hubungan silaturrahim dengan semua saudara muslim kian bertaut- kerana doa disepanjang malam semasa tarawikh adalah buat mereka.

Kemanisan pada rasa ini menjadi kayu ukur keberkesanan ibadah dan mujahadah kita di sepanjang bulan Ramadan. Lihatlah, sekira yang berlaku adalah rasa yang terus hambar dengan Allah, cacat hati dengan kedua ibubapa serta tidak bertambah ukhwah sesama muslim diatas alasan duniawi yang tidak kunjung habis...maka apakah selain Ramadan yasng boleh merawat hati-hati kita?
Salam di penghujung Ramadan semoga kita direzekikan Ibadah dan tunduk di Lailatul Qadar.

Salam kasih sayang.

Baca Seterusnya...

Tuesday, August 17, 2010

RAMADAN PENYELAMAT TERAKHIR


saya kongsi artikel saya dalam majalah anis tahun sudah sempena Ramadan...buat diri sendiri dan rakan-rakan....semoga ada manfaatnya:

-->
Ramadhan – pelampung ajaib
“Tolongggg!!!”
Kedengaran suara gempita para penumpang berbaur dengan dentum petir, di atas laut yang bergelora di tengah pekat malam hujan turun dengan lebat, kapal mewah seberat 90000 tan yang menghentam terumbu karang di tengah lautan itu pecah, berputar deras seperti mesin basuh dan membedal segalanya.
“Aduh…Sakitnya!!!”
Bunyi jerit kesakitan di mana-mana, rontaan mencari nafas begitu sukar , gelutan menyabung nyawa adalah segala-galanya kini, bunyi desir ribut berdengung serta ombak yang pecah terhempas dan serpihan objek pecah dari kabin beradun membentuk pusar hitam pekat dalam seribu gelora.
Penumpang termasuk anak-anak kapal bertarung dalam pusar itu hanya berfikir untuk menyelamatkan diri sendiri. Nun, di dalam peti besi di bilik-bilik mewah yang telah musnah tersimpan barang barang berharga, namun tiada siapapun terlintas untuk ambil peduli.
Dalam keadaan getir ini mereka menggapai apa saja yang boleh untuk terus kekal terapung. Itulah satu-satunya jaminan keselamatan yang ada. Setiap mereka memikirkan tentang pelampung keselamatan yang boleh menyelamatkan mereka pada saat gawat ini. Alangkah mahal harga sebuah pelampung keselamatan bagi mereka kini, mungkin lebih mahal dari intan permata yang terkunci di dalam peti-peti besi itu!
Bagaimana nasib mereka kemudian? Di dada lautan segalanya terserah...
Kita sebentar tadi terjun dalam gawat penuh gelora, sebuah drama penuh cemas kisah antara hidup dan mati, kisah kapal yang pecah di tengah lautan dan perjuangan untuk menyelamatkan nyawa masing-masing.
Walau hanya dalam beberapa saat, kita dapat membayangkan betapa dahsyat dan gawatnya keadaan itu.
Namun satu hakikat yang perlu kita sedar adalah, setiap kita bakal berhadapan dengan satu keadaan gawat yang lebih dahsyat dari apa yang telah digambarkan tadi. Ia adalah kegoncangan hari kiamat dan saat kita dihimpunkan di padang Mahsyar untuk dihitung segala amal yang telah dilakukan ketika di dunia.
Allah menggambarkan keadaan yang gawat itu melaui beberapa ayat di antaranya;
”Wahai manusia ! Bertaqwalah kepada Tuhanmu; sungguh kegoncangan hari kiamat adalah suatu kejadian yang sangat dahsyat.
Ingatlah pada hari itu kamu melihat kegawatannya, semua perempuan yang menyusui melepaskan apa yang disusui dan setiap perempuan yang hamil akan keguguran kandungannya dan kamu melihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk tetapi mereka menyaksikan azab Allah yang sangat keras.”
Surah Al Haj 1-2
Kegawatan hari tersebut adalah kerana setiap manusia akan berhadapan dengan mahkamah Allah . Seluruh amalan mereka akan dihitung, manusia akan diperlihatkan apa sahaja yang telah dilakukannya samaada baik atau buruk.
Pada saat itu manusia akan berasa gembira seandainya ia menyaksikan kembali setiap kebaikan yang pernah dilakukannya ketika dimuka bumi dahulu. Namun ketakutan mengambil ruang apabila dipertontonkan kepadanya seluruh keburukan, dosa dan maksiat yang pernah dikerjakan dahulu. Setiapnya telah bersedia untuk menerima hukuman. Di dalam bebola mata pula telah tergambar betapa ngerinya neraka, tempat pembalasan yang menunggu bagi ahli maksiat dan pelaku dosa!
Dalam proses perhitungan , sekiranya seseorang itu melakukan dosa terhadap manusia, maka amal soleh yang dikerjakan dahulu terpaksa dijadikan kaffarah (penebus). Pahala dari amal baiknya terpaksa diserahkan kepada orang-orang yang ia lakukan dosa ke atasnya. Keadaan ini di gambarkan oleh Rasulullah dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
Rasulullah bertanya kepada para sahabat,
”Siapakah orang muflis?
Kami menjawab. “Orang muflis ialah orang yang tidak punya wang dan harta benda.” Rasulullah menjawab: ”Golongan Muflis dari umatku adalah mereka yang pulang pada hari kiamat membawa pahala solat, puasa, zakat . Dia datang, sedang dia memfitnah, menuduh dan menumpahkan darah. Akan diambil segala kebaikannya bagi menebus dosa. Sekiranya habis kebaikan sedangkan dosanya masih ada maka akan diambil dosa orang lain lantas dicampakkan ke wajahnya lalu ia dilontar ke dalam neraka Jahanam!” hadis Riwayat Muslim
Dalam sebuah syair Arab ada menukilkan:
“Setiap sesuatu yang hilang itu sukar tetapi seandainya seseorang itu luput amalannya pada hari kiamat itu terlebih sukar.”
Nukilan syair ini menggambarkan tentang nasib manusia bila mereka dibicarakan di Hari Pembalasan .
Ketika itu setiap orang tentunya berharap agar ia terselamat. Satu-satunya yang boleh menyelamatkan mereka pada hari itu adalah amal soleh yang dikerjakan ketika hidup dahulu. Dalam masa yang sama, keadaan yang paling menakutkan adalah luputnya pahala amalan kerana terpaksa menebus dosa-dosa yang pernah dilakukan.
Bolehlah dibuat analogi, memiliki ganjaran dari amal-amal soleh seperti memiliki barang-barang yang sangat berharga seperti penumpang di dalam sebuah kapal mewah, namun apabila saat bertukar gawat pada ketika itu apa yang diharapkan bukan lagi barang berharga tetapi pelampung keselamatan bagi menyelamatkan nyawa dalam keadaan getir.
Apakah pelampung keselamatan bagi manusia di hari Akhirat nanti ?
Di dalam sebuah hadis qudsi Allah ada menggambarkan:
”Setiap amalan itu menjadi kaffarah kepada seorang hamba melainkan amalan puasa. Puasa adalah untukKu dan Aku akan mengganjarinya.” Hadis Riwayat Imam Ahmad
Daripada hadis qudsi ini Allah menggambarkan bahawa keistimewaan tertinggi ibadah puasa kerana ia menjadi penyelamat terakhir bagi seorang hamba Allah. Seluruh amalan lain akan menjadi kaffarah tetapi tidak puasa!
Kerana itu kata Sufyan bin Uyainah, dalam begitu banyak kelebihan tentang puasa yang ditawarkan oleh Allah maka tawaran ini adalah yang terhebat.
Jika begitulah kedudukan puasa di bulan Ramadhan maka ianya perlu dilalui dengan penuh keinsafan tentang fadhilatnya, bersyukur kerana berpeluang menyambutnya serta melakukannya bertunjangkan iman dan bermatlamatkan taqwa.
Amat malang sekiranya peluang melaui ramadhan kali ini dilakukan secara sambil lewa dan dilalui tanpa memenuhi tuntutannya. Sia-sialah tawaran hebat ini dan terabailah penyelamat terakhir bagi manusia. Akhirnya puasa jadi tidak berharga dan tidak berupaya menyelamatkan, seperti di dalam hadis tentang manusia muflis yang digambarkan oleh Rasulullah tadi. Ia seperti menyediakan satu pelampung keselamatan yang bocor, nanti akan tenggelam dan lemas segala harapan.

salam ukhwah..

Baca Seterusnya...

Monday, June 28, 2010

Salam dari Madinah


Salam buat semua sahabat, dalam raudhah redha Ilahi kita mengemis simpati agar setiap kita kekal di atas hidayah... istaqim di atas taufiq sehingga saat bertemuNya.
Madinah dalam genggaman musim panas buat memburu dingin kasihNya.
Salah ukhwah dan kasih sayang.

Baca Seterusnya...

Monday, April 19, 2010

Selangkah ke haribaan Redha Ilahi.


Bagi sahabat yang tidak membaca ini di majalah ANIS dalam ruangan Fikir-Zikir saya kongsikan catatan saya itu, semoga ada manfaatnya....


-->
Anak kunci ketenangan jiwa adalah apabila berjaya meraih keredhaan Allah. Ia adalah destinasi terpuncak pemburuan manusia di dalam hidup. Ia sebagai jawapan kepada sebuah kehidupan bermakna. Namun, manusia sering tersalah jangkaan apabila merasakan bahawa kemewahan hiduplah sumber ketenangan jiwa. Manusia kemudiannya melaburkan seluruh masa, tenaga serta komitmen mereka untuk memburu kemewahan hidup demi meraih ketenangan dan kepuasan. Respon kepada rangsangan ini adalah, manusia terus tenggelam di dalam arus resah, bernafas gelisah dalam sekam hidup yang sangat merimaskan. Saat itu kita sedar bahawa kemewahan hidup yang sempit ini tidak berupaya memenuhi ruang hati yang lebih luas. Rongga itulah kegelisahan yang membedal kita dari dalam. Ruang itulah yang perlu diisi dengan Mardhotillah demi mencari jawapan tentang kedamaian hakiki. Mari kita meneroka daerah keredhaan Allah yang Maha Luas, ia bermula dari langkah kecil dengan menghargai sesuatu yang sangat berharga, bukan pada nilai duniawi, tetapi ingatan buat seluruh kita bahawa :

“ Keredhaan Allah itu terletak pada keredhaan kedua ibubapa.”

Dalam buku ‘U-Turn Ke Jalan Lurus’ ketika menceritakan mengenai kuasa fitrah, saya kongsikan kisah seorang pemilik dusun durian yang menembak seekor ibu monyet. Ketika monyet itu meraung kesakitan, sedang darah mencucur deras, kesakitan menyelinap segenap saraf dan sendi, pada luka yang dalam dari bekas peluru pula berbuih terbaur darah pekat bercampur lendir kesakitan yang tidak mampu dibayangkan. Saat itu ketika anak yang bergayut pada tengkuknya meraung ketakutan si ibu telah menarik anaknya dan diberikan susuan. Hanyir darah dan gempita kesakitan tidak dapat memisahkan kasih antara ibu dan anak.. Sungguh tragis, itu yang datang dalam sebak rasa saya bila mula-mula mendengar kisah ini.

Saya ingin kongsikan pula pengalaman seorang anggota bomba yang sering berhadapan dengan keadaan gawat lewat kemalangan ngeri dan bunyi geruh nafas akhir serta wajah-wajah kematian. Saya kongsikan cerita beliau;
Pada satu kemalangan dahsyat di lebuh raya yang melibatkan sebuah kereta, sepasang suami isteri dan seorang bayi. Kereta yang dinaiki mereka telah hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi jalan dengan hentaman maksima. Kereta remuk sepenuhnya. Di tempat duduk pemandu, si suami telah terkulai, badannya terlungkup pada stering dia mati dengan kecederaan teruk pada tubuh dan kepalanya.
Di sebelahnya pula si isteri sedang bergelut dengan kematian, tubuhnya tersepit di situ terkapit di antara tempat duduk dengan keluli pejal kemek seperti ragum maut yang menggigit rapat.


-->
Alangkah sukarnya saat itu, pada pipinya tertusuk-tusuk kaca cermin hadapan yang pecah, sedang kulit dahinya terkoyak sehingga menampakkan putih tulang tengkoraknya kesan tujahan keras dan hantukan kuat semasa titik hentaman berlaku. Tulang bahu kanannya pula patah , tulang itu tercungkil keluar mengoyakkan daging dan kulit bahunya, tangannya terkulai.
Pada saat ini ketika darah merah pekat mencucur keluar dari tubuhnya dan kesakitan tidak mampu dibayangkan dengan kata-kata, dengan isyarat longlai dia meminta pada bomba untuk diberikan padanya anaknya yang terselamat, bayi itu masih dalam bedungan sedang menangis kuat . Si Ibu dengan lelehan air mata bercampur darah, dalam tangisan pilu penuh sayu mendakap anaknya seakan tidak mahu berpisah dengan jantung hatinya . Dalam seribu kepayahan, si ibu pada saat itu menyingkap bajunya dan menyusukan anaknya. Dalam saki baki nafasnya itu ia memeluk anaknya, merangkul erat dan disuapkan lautan kasih sayang dalam aliran air susunya kepada mulut comel yang rakus menyusu.

Kasih ibu seputih susu sebening firdausi. Dalam nafas sukar itu dada si ibu berombak-ombak, nafasnya tersekat-sekat…sesaat kemudian dia memejamkan matanya yang menangis, roh berangkat pergi buat selama-lamanya. Meninggalkan anaknya bersama tangisan memanjang dalam episod kasih yang tidak kesampaian….
Drama ini menitipkan secebis kisah ajaib tentang kasih seorang ibu pada anaknya. Sekali lagi alangkah tragis kisah ini, ia begitu menyayat rasa. Dalam nafas yang dalam saya berfikir tentang harga kasih seorang ibu. Luasnya Rahmat Ilahi.
Begitulah seorang ibu, Allah memberikan mereka ‘rahim’ kerana mereka kaya dengan kasih sayang . Dalam belaian mereka kita bernafas, dalam kasih mereka kita bernadi dan dalam pengorbanan mereka kita ada pada hari ini.
Hukum alam mewartakan, ketika kita sedang berada di puncak putaran hidup, mereka pula meratah usia kian tua. Mereka tidak lagi bernafsu untuk makan atau hiburan lain sepertimana kita, kegembiraan begitu tercatu buat mereka pada usia begini.
Namun mereka punya memori indah dengan kita. Kita yang digomol sewaktu kecil sehingga dengannya kita tidak merasa kesunyian. Ketika demam mereka tidak tidur sepanjang malam berjaga. Ketika ketakutan mereka memeluk erat menenangkan kita sehingga boleh melelapkan mata. Ketika dalam proses membesar, kita meminta itu dan ini. Kita mungkin mendapat semua atau sebahagiannya, tetapi kita tidak pernah tahu cerita di sebalik semua itu mungkin ada kesukaran yang tak diceritakan .

( Saya pernah terjumpa seorang ibu yang menangis tersesak-esak di sebuah masjid kerana tidak punya wang yang cukup untuk membayar yuran yang diminta oleh anaknya sedang dia tidak punyai jumlah wang itu dan dia tidak memberitahukan ini kepada anaknya...) Itulah yang mereka ada, memori indah bersama kita.
Tetapi malangnya memori itu hanya di pihak mereka sedangkan kita tidak mengingatinya lagi kerana sedang sibuk dengan urusan dunia yang tak pernah habis-habis.

Di titik perselisihan inilah menjadikan mereka terabai. Mereka melalui hari-hari yang kosong tanpa ingatan anak-anak, melalui malam-malam sepi tanpa sinar belaian cahaya mata dan mereka berada di penjuru dunia yang terasing membilang saki baki hari dengan butir tasbih sunyi sebelum berangkat pergi ke daerah barzakh di alam lain buat selama-lamanya. Peritnya mereka di penghujung usia sedang warna hidup kita meriah sekali dengan derai tawa ria rakan-rakan dan limpahan kesenangan yang gemerlapan. Marilah dengan jujur bertanya,

bilakah kali terakhir kita menghubungi mereka?

Bilakah kali akhir kita mendoakan mereka setulus hati?

Bilakah kali akhir kita menuturkan sayang dan rindu pada mereka ?

Bilakah kali akhir kita ambil berat tentang masalah mereka ?

Bilakah kali akhir kita berjenaka dan mereka ketawa ?

Bilakah kali akhir mereka bercerita sedang kita mendengar dengan tekun dan mereka seperti tidak mahu mengakhirinya kerana pendengar itu sangat berminat untuk mendengar ?

Bilakah kali terakhir kita bersalaman untuk pulang, mereka memeluk dan di dalam hati mereka ada getar begitu sukar melepaskan kita pergi?

Carilah jawapan dalam selaut rasa, biarkan hati yang berbicara bukan sesiapa memaksa, semoga nanti kita menghargai sesuatu yang paling bernilai...hati seorang ibu dan perasaan seorang bapa!
(Apakata... selepas membaca artikal ini kita hubungi mereka dan tuturkan sayang dan rindu, ketika waktu masih mengizinkan untuk itu...)
Di sebalik semua ini adalah mencari redha mereka, di sana ada redha Ilahi dalam jambangan ketenangan yang hakiki.
Bagaimana mungkin redha Ilahi diraih sekiranya syarat mendapat redhaNya tidak dipenuhi? Bagaimana mungkin Allah menilai sayang kepadaNya sedangkan kepada insan yang sanggup mempertaruhkan nyawanya demi kitapun tidak kita endahkan? Bagaimana Allah akan memberi keredhaanNya dalam hidup ini sedangkan airmata seorang ibu tidak pernah kering mengalir, luka hatinya tidak pernah sembuh disayat sembilu?
Jawapan kepada semua persoalan itu adalah sebuah pemburuan yang menentukan perkara yang terpenting di dalam hidup ini; Sebuah keredhaan Allah sebuah ketenangan hakiki!

Salam kasih sayang.

Baca Seterusnya...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP