RAKAN SIBER

Friday, February 22, 2013

Memelihara Rumah Tangga=Memugar Cinta

Daripada rnr kehidupam m/s 205.

Rumah tangga sebenar adalah sebuah taman syurga. Di sana kasih sayang tumbuh dengan subur. Ikatan perkahwinan bukan diikat atas rantai tanggungjawab. Bukan kerana tanggungjawab sepasang suami isteri bersatu. Manusia disatukan oleh cinta. Inilah hakikat yang perlu dipelihara walaupun usia perkahwinan kian bertambah.

Perhubungan yang bertahan atas dasar tanggungjawab tidak membawa ke mana-mana melainkan meletakkan sepasang suami isteri berada di pinggiran, tanah di sebelah sana adalah perpisahan! Sekiranya rumah tangga adalah syurga, kita perlu kepada bidadari. Lihat gambaran yang diberikan Rasullullah SAW:

Daripada Anas bin Malik r.a, Rasulullah SAW bersabda: "Hendakkah aku beritahu tentang isteri kamu di syurga?" Kami berkata, "Bahkan wahai Rasulullah." Rasulullah bersabda: " Mereka sangat penyayang dan subur, walaupun ketika marah dan berbuat salah kepadanya atau marah suami kepadanya dia berkata, ' Ini adalah tanganku pada tanganmu, tidak aku memejam mata sehinggalah engkau redha kepadaku. " (Riwayat Imam at- Thabrani)

Sabda Rasullullah lagi:

Daripada Sa'ad bin Abi Waqqas r.a, Rasullullah SAW bersabda: " Daripada kebahagiaan anak Adam itu ada tiga perkara, dan kesengsaraan itu juga ada tiga. Kebahagiaan itu ialah: Isteri yang solehah, rumah yang baik dan kenderaan yang baik. Kesengsaraan itu ialah: Isteri yang jahat, rumah dan kenderaan yang keji." (Riwayat Ahmad)

Daripada Abi Umamah r.a, bersabda Rasullullah: Tiada yang lebih bermanfaat bagi seorang mukmin sesudah bertakwa kepada Allah lebih baik daripada memiliki seorang isteri yang solehah. Sekiranya kamu menyuruhnya dia mentaatimu, sekiranya melihat kepadanya kamu berasa gembira, sekiranya kamu memberi kepadanya, dia berbuat baik kepadamu, sekiranya kamu tidak bersamanya, dia memelihara dirinya dan hartamu." (Riwayat Ibn Majah, at-Thabrani dan Ibn Asakir)

Di dalam hadis yang lain, Rasullullah SAW mengungkapkan:


"Aku kasih daripada dunia ini, wanita (solehah), wangi-wangian dan dijadikan penyejuk mataku di dalam solat." (Riwayat an-Nasa'i daripada Anas r.a.)

Baca Seterusnya...

Wednesday, February 13, 2013

Orang Yang Hidup Untuk Memberi Akan Hidup Dilimpahi Pemberian Tuhan

Berikut adalah antara cerita seorang rakan yang membuat bancian tentang bantuan kepada golongan fakir miskin.

Tengah hari itu seorang budak lelaki yang masih dalam tahun enam bersekolah rendah kelihatan gelisah. Dia berjalan mundar-mandir sambil terjengah-jengah melihat keluar jendela arah lorong masuk ke rumahnya. Rumahnya pun hanyalah sebuah gerobok usang yang menempatkan mereka sekeluarga. Jam di dinding menunjukkan pukul 1.30 petang. Jelas sekali kegelisahan pada wajahnya. Dia sepatutnya telah berada di dalam kelas pada ketika itu.

Ketika ditanya mengapa dia masih di rumah,

"Sedang tunggu adik balik sekolah...."jawabnya ringkas.

Tidak lama kemudian adiknya pulang dengan tubuh dibasahi peluh. Tercungap-cungap dia berlari dan terus masuk ke dalam bilik. Abangnya pula mengekori di belakang sambil terdengar ngomelan kecil mereka berdua ketika sama-sama meluru masuk ke bilik tersebut. Tidak lama kemudian abang keluar tergesa-gesa walau bagaimanapun sempat juga dia bersalam mesra, sebelum berlalu dan pergi terkocoh-kocoh.


Baru rakan ini faham kenapa abang gelisah dan apa yang ditunggunya tadi. Ketika bersalaman itu dia lihat abang memakai baju sekolah comot dan berpeluh. Ia kelihatan senteng bersama seluar biru lusuh yang singkat. Baju dan seluar sekolah itu ialah pakaian yang tadi dipakai oleh adiknya. Mereka berkongsi pakaian, mereka berdua hanya punya sepasang baju untuk ke sekolah!

Kasihan....mereka tidak sempat pun untuk berfikir bagi kelihatan kemas, rapi dan menarik. Mereka hanya fikir perlu ke sekolah untuk belajar.

Apa yang kita dengar ini di luar daripada kebiasaan kita. Sesekali kita berkata masih ada lagi orang begini dalam masyarakat kita. Kita boleh memahami perkara ini dengan menyatakan bahawa hidup di bumi ini ibarat berkongsi tinggal di dalam sebuah rumah. Mereka yang punya kelebihan menghulur bantuan tanpa henti penuh berhemah.

Allah sebenarnya menjadikan seluruh kepelbagaian ini bagi memberi ruang setiap manusia mendapat kasih sayang-Nya. Orang miskin apabila mereka bersabar akan disayangi Allah, sementara orang yang berada pula berpeluang mendapat kasih sayang Allah apabila mereka memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Apatah lagi janji tawaran daripada Allah yang berlipat kali ganda bagi setiap pemberian yang dihulurkan dengan ikhlas. Orang ini berbahagia kerana mendapat kasih sayang Allah dan pada masa yang sama hartanya kemudian dilipatgandakan jumlahnya.

Kemewahan hidup hanyalah seperti kelekaan bermain dengan istana pasir.

Baca Seterusnya...

Wednesday, January 30, 2013

RAMADAN MEMBENTUK TAQWA HA HUNA – TAQWAL QULUB

Rindu Ramadan
Seruan terbaik adalah seruan ke arah taqwa. Kita mendengarnya saban waktu agar perkara tersebut mendarah daging dalam diri kita. Taqwa itu bererti, seorang insan melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Bila ini dilakukan maka sesorang itu melaksanakan amal taqwa. Dalam memperincikan persoalan taqwa yang merupakan KPI dari Allah bagi seorang insan melalui firmanNya: 

” Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu adalah yang paling taqwa...” Rasulullah memberi isyarat kepada sahabatnya dengan meletakkan tangan pada dadanya dan berkata:

”Taqwa itu di sini..” Jadi ia mengundang persoalan mendalam tentang taqwa kerana menurut Rasulullah taqwa adalah di hati seorang manusia.
Kita tahu bahawa fungsi hati dalam diri adalah merasa. Daripada rasa tersebutlah terbitnya tingkah laku seorang manusia. Baik atau buruk.

Taqwa di sini adalah taqwa sebenar: ia adalah keselarian di dalam hati, tentang rasa apa yang Allah mahu dengan apa yang kita mahu, selari pula dengan rasa apa yang kita suka dengan apa yang Allah suka, selari apa yang kita benci dengan apa yang Allah benci.

Tercetus sesuatu amal soleh itu dari lubuk hati, dari gejolak rasa :

Kita tidak melaksanakan sesuatu amal soleh kerana terpaksa atau merasakan alangkah baiknya kalau perintah ini tidak diperintahkan oleh Allah.

Kita meninggalkan maksiat kerana taqwa: Kita meninggalkan maksiat bukan kerana kita tidak berpeluang untuk melakukannya atau tidak terdedah kepada maksiat itu.
Kalau bukan kerana taqwa di sini mungkin apabila berpeluang buat maksiat atau ada kesempatan kita akan lakukan maksiat dan meninggal kebaikan itu.

Ada garis halus di antara amal taqwa dan taqwal qulub.

Amal taqwa adalah melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah dan meninggal segala larangan dan tegahannya. Ia mencakupi amalan fizikal seseorang.

Sebagai contoh; Apabila seorang itu bangun mendirikan solat, ia dikatakan sedang melakukan amal taqwa. Tubuhnya sedang berdiri, rukuk dan sujud ertinya tubuhnya sedang melaksankan apa yang diperintah oleh Allah.

Apabila seseorang itu meninggalkan zina bererti ia sedang melakukan amal taqwa kerana tubuhnya tidak melaksanakan apa yang ditegah oleh Allah.

Namun, Taqwal qulub adalah rasa sayang dalam hati hamba kepada perintah solat tersebut. Allah tidak mewajibkan sesuatu melainkan perkara tersebut disayangi olehNya. Si polan yang menghindari perbuatan zina itu rasa benci kepada perlakuan zina itu kerana zina dibenci oleh Allah sebab itu Allah melarangnya.
Mari bermuhasabah kelubuk hati sendiri, adakah rasa tersebut telah ada di dalam ?

Adakah rasa sayang pada perbuatan solat itu ada dilubuk hati kita dalam kegahirahan kita melaksanakan solat yang di perintah oleh Allah ?

Adakah rasa benci terhadap dosa zina telah wujud di dalam hati ketika menghindari zina ?
Justeru itu, Ramadhan yang di hadiahkan oleh Allah kepada seluruh manusia adalah ramuan terbaik melahirkan Taqwal qulub, apabila kita dapat benar-benar menghayati falsafah, pelaksanaan serta hikmahnya.

”Ya Allah permudahkanlah bagi kami untuk melalui jalanMu, kurniakanlah kami rasa taqwa yang damai selari dengan fitrah murni kami yang rindukan kebaikan dan derita kepada kemungkaran...ameen ya Rabbal alamin.”

Baca Seterusnya...

Harga Sebuah Hidayah

Hidayah itu mahal harganya
Bila menoleh ke sepanjang laluan hidup, kita kemudiannya tersedar betapa ada sesuatu di luar pengaruh kita dan ianya adalah sesuatu yang paling berharga. Ia datang dari simpanan khazanahNya: Hidayah....kita kongsi apa yang saya terima dalam peti masuk e-mail saya sebagai sejenak untuk bersyukur.


Oleh MUZLINA ABU BAKAR *


SETELAH lebih 10 tahun tidak berjumpa dengan Malek Noor, 53, ternyata jaguh bina badan Asia peringkat heavyweight sebanyak enam kali ini amat berbeza daripada dulu.

Kalau dulu, apabila berjumpa mulutnya becok tak henti-henti bercakap pelbagai topik yang melucukan. Tetapi pertemuan minggu lalu menampakkan sisi lain Malek.

Sifat lucu dan becoknya hilang tiba-tiba dan yang nyata Malek hari ini tidak sama dengan Malek ketika baru berlakon filem Ujang pada akhir tahun 1980-an.

Perbualan petang itu berkisar tentang aktivitinya hari ini. Selain menjalankan perniagaan membekal barangan fitness di bawah syarikatnya Sportec's Divemate Sdn. Bhd. Malek juga berlakon dan kini sedang menjalani penggambaran drama Damak dengan memegang watak Tok Guru.

Perbualan yang rancak petang itu, tiba-tiba menjadi hening seketika apabila Malek membuka rahsia hidupnya yang selama ini dipendam tanpa pengetahuan sesiapa.

"Dalam hidup saya hari ini, sebenarnya saya hanya mencari satu sahaja iaitu keredaan Allah. Walau apa juga yang saya lakukan untuk hidup, kejujuran adalah penting.

"Setiap waktu dan ketika saya sentiasa berdoa kepada Allah semoga menerima ibadat saya, ampunkan dosa saya dan semoga Allah tetapkan iman saya dan menjadikan saya manusia yang soleh," kata Malek dengan suara sebak.

Siapa sangka, seorang jaguh bina badan yang nampak gagah dan perkasa tiba-tiba menjadi seorang yang boleh dikatakan 'lembik' tiba-tiba.

Di satu sudut ruang coffee house di sebuah hotel di pinggir kota , Malek yang mulanya bersemangat tiba-tiba menangis menceritakan dosa-dosa yang telah dilakukan sebelum ini.

Dengan suara sebak dan mata berkaca, Malek Noor bercerita:

"Saya terlalu banyak buat dosa. Saya betul-betul insaf sekarang. Setiap saat dan ketika sentiasa berdoa semoga Allah mengampunkan dosa-dosa saya. "Dulu saya jahat. Saya tidak ingat mati tapi...kini saya betul-betul insaf. Kini setiap waktu walau sesibuk mana pun saya akan hadkan sekurang-kurangya 10 minit untuk menunaikan solat.

"Saya terlalu banyak buat dosa. Saya makan dan minum benda-benda haram. Ya Allah betapa besarnya dosa saya. Saya takut, saya taubat dan saya menyesal.

"Andai waktu boleh berputar, saya ingin kembali zaman kanak-kanak. menjalankan kewajipan sebagai seorang Muslim yang sejati," luahnya.  

Mungkin ramai yang tidak tahu, ketika zaman kanak-kanak lagi Malek merupakan anak yang susah hendak berpuasa. Kalau berpuasa pun cuma di depan keluarga. Di belakang, Malek curi-curi makan dan minum. Tetapi itu di zaman kanak-kanak, apa yang dibuat mungkin manis didengar.

Bukan itu sahaja, malah sejak berusia 12 tahun dan sehingga umur meningkat 46 tahun, sebenarnya Malek tidak pernah berpuasa, apa lagi menunaikan solat lima waktu sehari. "Saya lupa pada tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Saya tak sembahyang, saya tak berpuasa. Kesibukan saya merantau di Amerika dan Hong Kong selama lebih 30 tahun mengumpul harta kekayaan membuatkan saya lalai.

"Ya Allah betapa besarnya dosa saya. Saya tidak pernah mensyukuri nikmat yang Allah berikan. Apa yang ada dalam fikiran saya hanya mencari harta dan nama.

"Sehinggalah suatu hari pada tahun 2002 semuanya berlaku tanpa saya duga. Ketika itu saya dengan berseluar pendek berdiri di Penthouse saya berdepan dengan bangunan KLCC. * "Tiba-tiba saya terdengar azan sayup dari masjid berhampiran dan meresap ke jiwa saya. Saat itu saya jadi tak tentu arah. Saya masuk ke rumah dan berpusing-pusing entah berapa kali dan saya tak tahu apa yang saya cari.* * "Selepas berpusing-pusing macam orang gila, satu jam saya tak bertenaga. Saya menangis dan terus menangis. Tiba-tiba saya teringat sesuatu dan terus berwuduk kemudian menunaikan solat Maghrib. Esoknya saya ke Jalan Masjid India dan membeli pelbagai kitab mengenai Islam dan saya turut membeli sebuah al-Quran," cerita Malek.

Bagi Malek, walaupun keinsafan dan kesedaran itu datang ketika usianya 46 tahun, dia tetap bersyukur kerana tahu Allah masih sayangkannya. "Malam selepas saya bersolat taubat, saya bermimpi didatangi arwah ibu, Jariah Ahmad yang menaburkan bunga emas pada saya.

"Selepas peristiwa itu saya pergi semula ke Hong Kong tetapi bukan untuk menetap di sana . Sebaliknya saya uruskan pemindahan syer perniagaan KK Design dengan rakan kongsi sebab saya memang tidak mahu menetap di sana.

"Ketika itu saya sudah membuat keputusan, saya mahu menetap di Malaysia untuk mencari seorang Muslim yang soleh. Bukan itu sahaja, malah saya mahu menjejaki akar umbi budaya Melayu yang telah lama saya lupakan.

"Setelah semuanya selesai, sejak 2006 saya terus menetap di KL dan tidak lagi ke Hong Kong . Kini saya benar-benar merasakan hidup ini amat bahagia dan tenang."Dalam kotak fikiran saya, hanya mahu melakukan suruhan Allah dan berbakti kepada masyarakat. Saya tidak sanggup lagi hidup bergelumang dosa dan noda."Cukuplah apa yang saya dah lakukan selama ini. Saya benar-benar insaf. Sejak itulah semua piala yang saya menang sebagai Mr. Asia saya buang.

"Dulu rumah saya penuh dengan patung-patung, tapi...semua saya dah buang. Kini rumah saya hanya dihiasi ayat-ayat suci al-Quran. * "Saya amat bersyukur kepada Allah kerana sejak saya bertaubat, sudah tiga kali saya khatam membaca al-Quran. Bukan itu sahaja, malah sejak tahun 2006 saya sudah menunaikan puasa enam, syukur Alhamdulillah, " kata Malek.

Kini kata Malek, walau apapun yang dilakukan oleh kawan-kawannya beliau tetap bersabar. Malah ada kawan yang meminjam duitnya dalam jumlah yang begitu banyak dan tidak mahu membayar semula, dia tidak pedulikan semua itu.

"Sekarang saya benar-benar reda dengan apa yang berlaku. Sama ada dia mahu bayar atau tidak, saya halalkan kerana bagi saya semua itu hanya harta dunia.

"Kini hidup saya mencari keredaan Allah. Insya-Allah saya akan tunaikan umrah tidak lama lagi dan jika diizinkan saya juga mahu menunaikan haji tahun ini," Malek menyambung cerita. Menurut Malek, semua yang dilakukan kerana sedar Allah benar-benar sayangkannya dan menerima taubatnya. Bukan itu sahaja, malah mimpi berjumpa arwah ibunya yang memimpinnya masuk ke Masjidil Haram dan terus sampai di depan Kaabah benar-benar menggamit hati dan nalurinya untuk ke sana ."Selepas saya menunaikan rukun Islam yang kelima, jika ada jodoh saya mahu berumah tangga dan membina keluarga bahagia yang hidup berlandaskan Islam.

"Penghijrahan saya ini bukan sahaja memberi kesan kepada saya, malah adik beradik yang lain juga gembira. Sebab itu saya nasihatkan anak-anak saudara saya kalau buat jahat pun biarlah ada ruang untuk kita bertaubat di hati ini," kata Malek yang juga pernah membintangi filem Juara, Rimba Malam, Kelisa, Pendekar Mata Satu dan yang terakhir Sahabat pada tahun 1999.

Baca Seterusnya...

Berikan Bantuan, Terimalah Perkenan

Petang itu, dalam perjalan pulang dari tempat kerja di tengah-tengah kekalutan serta simpang siur dan gempita kereta yang rum-rum di jalan raya, saya melihat sepasang suami isteri sedang berjalan memipir di tepi jalan . Si suami berpeluh-peluh menuntun motosikalnya dengan seribu kepayahan sementara si isteri mengheret langkah di belakang sambil mencebek topi keledar menapak penuh sukar, dia sarat mengandung. Terlukis pada wajah mereka warna hitam keperitan seperti aspal, resah dan gusarkan tentang keselamatan diri juga tentunya segumpal rasa malu yang pahit. Alangkah kesat rasa di hati apabila melihat suasana begini dan lebih perit kerana tidak dapat menghulurkan bantuan yang sepatutnya. Fenomena sebegini seringkali kita saksikan, biasanya kita hanya memerhati dengan sayu kemudian beberapa kilometer di hadapan segalanya luput dari ingatan bersama dendangan lagu dari corong radio dan penghawa dingin kereta yang nyaman!


Kita terbiasa dengan melalui hidup tanpa membantu. Kita tidak pernah bangun pada hari yang baru dan beniat untuk membantu seseorang pada hari ini. Kita tidak pernah bertanya : “Siapa yang perlu aku berikan pertolongan pada hari ini ?”

Antara soalan yang sering dikemukan oleh Rasulullah kepada para sahabat selepas selesai solat subuh adalah : ” Siapa pada pagi ini telah menolong saudaranya ?”

Rasulullah contoh seorang murabbi yang berjaya membentuk minda di kalangan para sahabat : Hidup untuk membantu.

Sementara kita pula berasa selesa dengan persekitaran diri sendiri dan apabila kita berhajat kita akan bermohon ke hadrat Allah. Sedangkan Rasulullah memberitahu bahawa pertolongan Allah untuk kita bergantung kepada sejauh mana kita membantu saudara kita.

Saya teringat kepada seorang sahabat baik semasa menuntut di Kelantan suatu masa dahulu, dia sentiasa mempersiapkan di dalam raga motornya beberapa gelen minyak petrol. Apabila dia berjumpa dengan orang yang mengheret motosikal kerana kehabisan minyak dia akan memberikan bantuan dengan memberikan minyak petrol tersebut.

”Saya rasa sangat bahagia apabila melihat mereka gembira...” Ujarnya bila saya bertanya tentang sikapnya ini.

“ Kita akan melalui suatu perasaan hebat, ketenangan hakiki dan kepuasan bila melihat wajah orang yang ditolong itu. Ada cahaya dalam mata mereka ada sinar damai yang tidak tahu bagaimana untuk mengungkapkannya.” Bicaranya begitu menggetarkan terbau harum ketulusan budinya.

”Pernah beberapa kali, ada yang ingin membayar balik petrol itu menangis terharu apabila diberitahu bahawa saya hanya ingin membantu...” Sambungnya untuk berkongsi, nadanya begitu mendidik.

”Apalah sangat nilai seringgit dua yang hanya boleh membeli secawan teh tarik, sedangkan nilai melepaskan kesusahan itu tidak ternilai di sisi Allah...”

Dia menutup ceritanya, saya menikmati tarbiahnya dan menarik nafas panjang dengan selaut azam untuk cuba meneladani akhlak mulianya itu.

Alangkah mulianya hari itu sekiranya kita dapat menolong, melepaskan kesusahan dan menutup keaiban saudara muslim.

Mari kita sempurnakan hadis Rasulullah ini :
” Barangsiapa yang melepaskan satu kesusahan saudara muslimnya daripada kesusahan dunia Allah akan melepaskan baginya kesusahan di hari Akhirat, barangsiapa yang memudahkan urusan saudaranya Allah akan memudahkan urusan dunia dan akhiratnya, barangsiapa yang menutup satu keaiban saudaranya di dunia Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Allah membantu hambaNya selama mana hamba itu menolong saudaranya.” Hadis riwayat Muslim .

Salam kasih sayang.

Jom sayangi umat Rasulullah!

Baca Seterusnya...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP