RAKAN SIBER

Wednesday, February 13, 2013

Orang Yang Hidup Untuk Memberi Akan Hidup Dilimpahi Pemberian Tuhan

Berikut adalah antara cerita seorang rakan yang membuat bancian tentang bantuan kepada golongan fakir miskin.

Tengah hari itu seorang budak lelaki yang masih dalam tahun enam bersekolah rendah kelihatan gelisah. Dia berjalan mundar-mandir sambil terjengah-jengah melihat keluar jendela arah lorong masuk ke rumahnya. Rumahnya pun hanyalah sebuah gerobok usang yang menempatkan mereka sekeluarga. Jam di dinding menunjukkan pukul 1.30 petang. Jelas sekali kegelisahan pada wajahnya. Dia sepatutnya telah berada di dalam kelas pada ketika itu.

Ketika ditanya mengapa dia masih di rumah,

"Sedang tunggu adik balik sekolah...."jawabnya ringkas.

Tidak lama kemudian adiknya pulang dengan tubuh dibasahi peluh. Tercungap-cungap dia berlari dan terus masuk ke dalam bilik. Abangnya pula mengekori di belakang sambil terdengar ngomelan kecil mereka berdua ketika sama-sama meluru masuk ke bilik tersebut. Tidak lama kemudian abang keluar tergesa-gesa walau bagaimanapun sempat juga dia bersalam mesra, sebelum berlalu dan pergi terkocoh-kocoh.


Baru rakan ini faham kenapa abang gelisah dan apa yang ditunggunya tadi. Ketika bersalaman itu dia lihat abang memakai baju sekolah comot dan berpeluh. Ia kelihatan senteng bersama seluar biru lusuh yang singkat. Baju dan seluar sekolah itu ialah pakaian yang tadi dipakai oleh adiknya. Mereka berkongsi pakaian, mereka berdua hanya punya sepasang baju untuk ke sekolah!

Kasihan....mereka tidak sempat pun untuk berfikir bagi kelihatan kemas, rapi dan menarik. Mereka hanya fikir perlu ke sekolah untuk belajar.

Apa yang kita dengar ini di luar daripada kebiasaan kita. Sesekali kita berkata masih ada lagi orang begini dalam masyarakat kita. Kita boleh memahami perkara ini dengan menyatakan bahawa hidup di bumi ini ibarat berkongsi tinggal di dalam sebuah rumah. Mereka yang punya kelebihan menghulur bantuan tanpa henti penuh berhemah.

Allah sebenarnya menjadikan seluruh kepelbagaian ini bagi memberi ruang setiap manusia mendapat kasih sayang-Nya. Orang miskin apabila mereka bersabar akan disayangi Allah, sementara orang yang berada pula berpeluang mendapat kasih sayang Allah apabila mereka memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Apatah lagi janji tawaran daripada Allah yang berlipat kali ganda bagi setiap pemberian yang dihulurkan dengan ikhlas. Orang ini berbahagia kerana mendapat kasih sayang Allah dan pada masa yang sama hartanya kemudian dilipatgandakan jumlahnya.

Kemewahan hidup hanyalah seperti kelekaan bermain dengan istana pasir.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP