RAKAN SIBER

Tuesday, November 24, 2009

SYAKIR VS SYAKUR : BAIK VS TERBAIK


Sifat paling asas bagi seorang hamba adalah bersyukur. Menyedari bahawa kita tenggelam di dalam samudera nikmat Ilahi di setiap detik, akan lahirlah rasa ingin berterima kasih dan bersyukur kepada Allah, Tuhan Yang Maha Pemberi. Namun, malang mengambil ruang apabila kebutaan mata hati menyebabkan luahan rasa syukur itu tidak setimpal berbanding dengan apa yang kita terima di dalam hidup. Rasa syukur begitu hambar, rasa terima kasih kepada Allah begitu tawar sekali…Al hasil, sama keadaannya seorang buta yang tidak nampak lorong, seseorang yang buta hatinya dari bersyukur, laluannya menyimpang jauh dari Allah.
Kalaulah begitu penting sifat syukur ini, marilah kita bermuhasabah. Adakah kita telah bersyukur dengan sebenar-benarnya ? Di sudut lebih luas, sememangnya kita akur akan Firman Allah, “Sekiranya kamu ingin menghitung nikmat Allah, kamu tidak berupaya menghitungnya…”
Namun, adakah luahan rasa hati, ucapan dan perilaku syukur kita setimbang dengan bilangan nikmat Allah yang dikecapi ? Marilah kita bertanya ke dalam diri sendiri dan biarkan geruh nafas yang paling dalam menjawabnya…
Orang yang bersyukur disebut sebagai ‘syakir’, tetapi seorang hamba yang benar-benar bersyukur disebut ‘syakur’. Jarak perbezaan di antara keduanya begitu jauh sekali ! Ia seperti ukuran penanda bawah dengan penanda bahagian atas di zon selamat ! Melepasi paras terbawah zon syukur itu membawa seseorang kepada kufur nikmat. Wali’azublillah.

Allah berfirman , “ Dan sedikit sekali hambaKu yang benar- benar bersyukur ( syakur).” Ayat ini menjelaskan bahawa golongan sedikit adalah mereka yang benar-benar bersyukur ( Syakur ) bukan mereka yang bersyukur (Syakir) . Golongan yang bersyukur itu sebenarnya ramai apatah lagi golongan kufur jauh lebih ramai, tetapi golongan sedikit yang disebutkan oleh Allah adalah mereka yang benar-benar bersyukur .
Persoalannya, Adakah kita tergolong dalam golongan syakur ini ? Mari lihat di dalam dialog Rasulullah apabila ditanyakan kepadanya kenapa beliau begitu tekun beribadah sehinggakan bengkak betis serta tumitnya, jawaban baginda adalah, ‘…tidakkah boleh aku ingin menjadi seorang hamba yang benar-benar bersyukur ( abdan syakuran) - hadis riwayat Imam Bukhari dari Mughirah bin Syu’bah.
Selari dengan ajaran Islam yang berasaskan ‘itqan’, setiap amal perlu dibuat terbaik. Islam tidak menyuruh kita beramal hanya sekadar amal itu perlu dibuat, tetapi menuntut agar ianya dibuat dengan bersunguh-sungguh. Kalau begitulah sifirnya, untuk buat amal terbaik maka ia mesti punya sumber tenaga yang menggerak dari dalam ke luar.Sifat asas yang menyimpan tenaga penggerak itu mesti terbaik ! Inilah rahsia kehebatan Ibadah Rasulullah, ia bersumber daripada sifat syukur yang sangat mendalam….Syakur.
Kenapa pula amal ibadah kita tidak seperti itu ? Jawabannya adalah kerana sifat syukur kita tidak sebesar syukur Rasulullah….. Syakir. Syukur itu ibarat enjin yang menggerakkan kereta ibadah. Jangan mengimpikan memecut BMW 7series kalaulah enjinnya hanyalah 500 cc! Pokok pangkalnya terletak kepada sejauh mana besarnya sifat syukur di dalam diri seseorang. Bagaimana mungkin mendapat air yang jernih di kuala sekiranya air di hulu keruh ? Syakur akan membuahkan amal terbaik !


# Saya ditanya oleh beberapa orang sahabat yang belum memiliki buku U-Turn Ke Jalan Lurus tentang gambaran umum buku itu. Di sini saya perturunkan satu kisah yang termuat di dalamnya, hanya sekadar untuk berkongsi…saya copy dari fail desktop saya yang asal sebelum dihantar untuk diedit oleh pihak penerbit, saya kongsikan cerita tentang syukur ini…

Mutiara 14

Sesetengah nikmat itu hanya datang sekali tetapi bersyukur kena selalu.

Kita berkisah tentang syukur.
Sepasangan suami isteri hidup bahagia. Tidak ada kurangnya bagi pasangan yang dilimpahi dengan kemewahan ini .
Cuma sedikit , mereka tidak punya anak walau telah lama berumah tangga. Sering mereka bercerita tentang betapa indahnya hidup sekiranya punya seorang anak penyujuk mata. Rasa ini bergolak hebat bila melihat kepada jiran sekeliling yang sentiasa riuh rendah dengan bunyi hilai ketawa anak-anak, kadang-kadang tangisan nyaring. Apa yang menarik tentang pasangan Mr. & Mrs. Perfect ini.

Susun atur dalaman rumah mereka yang rapi , kekemasan sentiasa pada tahap maksima dan semua benda mesti berjalan seperi yang dirancang dan dijadualkan.
Itulah rutin hidup mereka , semuanya berjalan seperti dalam catatan diari dalam kerapian tahap tinggi . Nota semakan kerja rumah tergantung pada peti ais, pada white board pula senarai semakan keberkesanan , perancangan pula dalam buku manajemen tersendiri. Dengan tekun semua ini diulang-ulang saban hari, minggu dan tahun.
Suatu hari yang indah si isteri bergegas memberitahu jiran tetangga berita gembira yang dikongsi bersama dengan sambutan syukur hampir seluruh kawasan kejiranan berhampiran. Dia bakal menimang cahayamata, itu menurut doktor. Kegembiraan jelas terpancar pada pasangan ini, ucapan tahniah mencurah-curah.
Begitu pantas masa berlalu, sampailah saat yang mendebarkan anak yang ditunggu akhirnya dilahirkan dengan selamat. Bayi lelaki comel ini benar-benar memberi sinar pelengkap kasih sayang dalam rumah itu.
Tiga tahun berlalu pantas anak lelaki ini membesar dengan sihat sesubur perhatian dan belaian dari ayah dan ibu.
Namun sesuatu yang tidak diduga selama ini oleh ibu berlaku. Anak lelaki ini punya perangai yang seratus peratus berbeza dengan sikap ibunya. Kalau ibunya sangat kemas anak lelaki ini akan mengeromot segalanya. Rumah yang selama ini teratur seringkali bertukar jadi seperti lepas perang , kena penangan anak ini. Keadaan tidak terkawal , anak ini mungkin telah dimanjakan berlebihan.
Si ibu merintih derita. apa yang berlaku ini bertentangan sama sekali dengan kanun dirinya. Semua mesti sempurna !
Sampai pada tahap ini si ibu selalu terlanjur cakap bahawa mempunyai anak sebenarnya satu kesilapan. Anak bukan penyejuk mata sebaliknya peragut ketenangan.
Bagi mendidik, apa yang ia buat adalah terpaksa menggunakan sedikit kekerasan, cubit, rotan dan meminta ia berikrar untuk tidak mengulanginya kembali. “Mama abang minta maaf… abang tak akan ulang lagi” itulah ungkapan yang diajar setiap kali kesalahan dibuat.
Satu lagi tabiat yang pelik bagi anak ini adalah dia akan mengoyak kertas yang dijumpainya dan dibiarkan bersepah marata-rata.
Cubitan dan kemarahan tidak berjaya mengubah anak ini, ia masih dengan tabiat menyepah-nyepah, kemudian rumah jadi bingit dengan leteran dan bahang kemarahan ibu. begitulah yang sering berlaku.
Pada suatu hari si ibu bergegas merapi rumah, kawan lama bakal datang melawat. Dia ke dapur memasak hidangan kepada tetamu yang bakal datang.
Bila ia membawa makanan untuk dihidangkan, alangkah terkejutnya apabila ia melihat ruang tamu bersepah, sofa tunggang langgang dan koyakan kertas bertabur di mana-mana.
“Abang.. mari sini!!”.
Jeritnya memanggil anaknya lebih kuat dari biasa. kemarahan mencecah syiling kesabaran dan membakar rentung ladang hemahnya.
Si anak ketakutan lalu lari meluru kearah pintu . Si ibu mengejar dari belakang. Nafasnya tertahan-tahan menahan marah . Kaki anak melangkah keluar dari rumah dengan larian deras . Sesaat ia telah berada di hadapan pagar. Tiba-tiba terdengar satu bunyi hentaman keras. Larian ibu terhenti. Wajah terasa basah terpercik sesuatu.
Dia terpaku…Alangkah terkejutnya, apabila pandangan dilontar terlihat anaknya menggelupur kesakitan berhampiran longkang besar tepi rumahnya. Basah di muka tadi rupanya adalah darah anaknya .
Dia tidak mempedulikan lagi pada kereta yang melanggar, dia meluru mendapatkan anak dan merangkulnya. Darah merah ada di mana-mana, dada anak berombak-ombak, tubuh kekejangan, terdengar bunyi rengekan menahan sembilu kesakitan yang amat.
Tanpa berlengah ia terus memandu keretanya, anak diletakkan ke atas ribanya, tubuhnya kini dibasahi darah merah segar anaknya, dia terus memecut laju ke hospital.
“Ya Allah … tolonglah selamatkan anakku ini”
Doanya dalam raungan kuat sambil memandu laju. Hon dibunyikan bertalu-talu minta laluan dari pemandu lain.
“Ya Allah… aku tahu aku gagal menjadi seorang ibu yang baik tetapi aku mohon sekali ini… Ya Allah selamatkan anakku ini”
air matanya menyucur dengan deras menitis, tumpah dan bergaul dengan darah merah anaknya.
Perjalan terasa begitu jauh dalam keadaan begini. Nafas anak tercungap-cungap. Dari mulut, hidung juga telinga darah terus mengalir begitu deras. Sianak bergelut dengan kesakitan, dada berombak kuat setiap kali dia membuka mulutnya darah mencucur keluar.
Anak seperti ingin menuturkan sesuatu, ibu menangis semahunya.
“Mama maafkan abang…”
Ungkapannya sukar... tersekat-sekat kerana kesakitan itu.
“…abang janji tak akan buat lagi”
Itulah ucapan yang selalu dituturkan apabila ibunya marah. Ibunya memegang mulut anak hatinya menangis , bukan ini yang ibu mahu dengarkan.
Sesampai di hospital anak dikejarkan ke bahagian kecemasan. Ibu menunggu diluar, dia membuat panggilan pada suami mengurus segala prosuder yang patut.
Dengan baju dipenuhi darah tanpa merasa malu pada orang sekeliling yang melihatnya ia menangis sekuat hati , rasa sesal mengasak kuat segenap ruang hatinya.
“Ya Allah berilah aku peluang kedua untuk menjadi seorang ibu yang baik, aku sedar akan kesalahanku..”
“Ya Allah selamatkan anakku hari ini…”
Doa tidak pernah putus dari bibir dengan permohonan setulus-tulusnya kepada tuhan.
Setelah lama menunggu doktor keluar. Bebola matanya merenung penuh pengharapan pada doktor menunggu jawaban,
“Puan maafkan…kami telah cuba melakukan yang terbaik.”
Patah bicara doctor satu-satu menyusun kalimah.
“ Anak puan... telah meninggal dunia.”
Hanya itu mampu dituturkan, walau selalu tetapi tetap sukar untuk menjelaskanya kepada ibu ini.
Dunia terasa seperti pasir jerlus yang menyedut dengan deras ke dalam, kepingan langit sekeping-sekeping menderai ubun-ubun kepalanya. Alangkah sakitnya hakikat ini. Dalam tangisan terderai ia meluru dan merangkul sekujur tubuh anaknya dengan mata tertutup rapat, kesakitan telah tiada bersama nafasnya yang berangkat pergi buat selama-lamanya.
“ Anak… kamu tidak mendapat apa yang sepatutnya ibu berikan di sepanjang perjalanan pendekmu ini…”
ibu mencium semahu-mahunya. Namun wajah itu hanya kaku, dingin sekali.

Jenazah kemudian diuruskan sehingga sempurna.
Malam itu apabila lampu tidur dimatikan dan kawasan kejiranan telah sunyi. Dalam gelap malam ibu keluar ke kawasan tong sampah di hadapan rumah, menyelongkar sampah semalam mencari koyakan kertas anaknya. Malam itu di ruangan tamu penuh koyakan kertas yang ditaburkan, dengan nada lemah sekali bersama lelehan air mata hangat ibu berkata,
“Alangkah indahnya andai ini yang ibu lihat di setiap hari di sepanjang hidup ini”
“Ibu rindu kepada mu... ibu rindu kepada nakal mu... ibu rindu pada koyakan kertas ini, tetapi kenapa ibu buta tentangnya selama ini ?”
Tangisan hanya saksi bisu dengan irama tersendiri, namum hakikat yang terpaksa di rengguk adalah semua itu tidak boleh diulang lagi. Anak comel itu tidak akan pulang lagi ke rumah sampai bila-bila....
Benar, setengah nikmat itu hanya datang sekali, kerana itu nikmati dan syukurilah , bersyukurlah sentiasa.
Amat malang, kerana kita selalu sedar dan menghargai sesuatu hanya setelah nikmat itu terlerai dari gengggaman.


Salam ukhwah.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP