RAKAN SIBER

Wednesday, March 17, 2010

MEMETIK SUIS KETENANGAN


Petang itu, dalam perjalan pulang dari tempat kerja di tengah-tengah kekalutan serta simpang siur dan gempita kereta yang rum-rum di jalan raya, saya melihat sepasang suami isteri sedang memipir berjalan di tepi jalanraya . Si suami berpeluh-peluh menuntun motosikalnya dengan seribu kepayahan sementara si isteri mengheret langkah di belakang sambil mencebek topi keledar menapak penuh sukar... dia sarat mengandung. Terlukis pada wajah mereka warna hitam perit seperti gelap aspal, resah dan gusarkan tentang keselamatan diri, juga tentunya segumpal rasa malu yang pahit. Alangkah kesat rasa di hati apabila melihat suasana begini dan lebih pedih kerana tidak dapat menghulurkan bantuan yang sepatutnya. Fenomena sebegini seringkali kita saksikan, biasanya kita hanya memerhati lewat jendela simpati kemudian beberapa kilometer di hadapan segala rasa sayu dan pilu itu luput dari ingatan bersama dendangan lagu dari corong radio dan penghawa dingin kereta yang nyaman!


Kita tidak rugi apa-apa kerana tidak menghulurkan bantuan, cuma terlepas satu peluang keemasan bagi meraih ketenangan dan kedamaian di dalam hati. Ketenangan itu ada di dasar lubuk hati tetapi suisnya berada di luar diri. Ia ada di mana-mana hanya menunggu untuk dipetik dan diusahakan. Ketenangan tidak akan terkocak di dalam sekiranya tiada sebarang usaha dilakukan. Ramai yang menginginkan ketenangan dengan bersunyi dan menjauhkan diri dari manusia lain. Dengan cara itu diharapkan ketenangan akan hadir dan kita akan mengecap keindahanya, sedangkan kanun Tuhan memperuntukkan bahawa kita perlu memetik-metik suis di luar dengan menghulurkan bantuan kepada manusia lain,hasilnya akan melimpah masuk ketenangan ke dalam samudera rasa dan damai . Kunci asas bagi mendapat ketenangan adalah dengan mengusahakan sesuatu perkara seikhlas mungkin di dalam daerah hubungan dengan Allah dan juga hubungan sesama insan. Semakin banyak memberi semakin banyak dianugerahi. Semakin lebat amalan semakin banjirlah ketenangan !
Ironinya, kita terbiasa melalui hidup tanpa membantu. Kita tidak pernah bangun pada hari yang baru dan beniat untuk membantu sesiapa pada hari ini. Kita tidak pernah bertanya: “Siapa yang perlu aku berikan pertolongan pada hari ini ?”
Antara soalan yang sering dikemukan oleh Rasulullah kepada para sahabat setelah selesai solat subuh adalah : ” Siapa pada pagi ini telah menolong saudaranya ?”
Rasulullah contoh seorang murabbi yang berjaya membentuk minda di kalangan para sahabat dengan cogankata: ’Hidup untuk memberi’ . Kata cerdik pandai, “Untuk sekadar hidup, dengan menerima untuk membina hidup dengan memberi!” Kerana itulah kita dapati lingkaran hidup para sahabat dinaungi ketenangan serta kestabilan diri yang cukup mengagumkan.
Sebagai contoh kita melihat bagaimana ketenangan Ummu Sulaim RA ketika berhadapan saat kematian anak kesayangannya, sedangkan suaminya Abu Talhah bermusafir ke luar daerah. Jenazah diuruskan dengan sempurna dan apabila suaminya pulang pada malam hari itu lantas bertanya , “Bagaimana keadaan anak kita?”
“ Dia berada di dalam jagaan Allah”, jawab Ummu Sulaim.
Malam itu dia melayan si suami seperti biasa sebaik mungkin dia tidak mahu berita sedih itu menjerut lemas suami yang sedang kepenatan pulang dari safar yang panjang. Keesokan harinya sebelum keluar solat subuh, si suami ingin melihat anaknya.
Ummu Sulaim berkata, “Wahai suamiku ada seorang jiran meminjamkan kita barangan dan sekarang ia datang dan menuntutnya kembali... apakah yang harus kita lakukan?”
”Pulangkanlah sahaja kerana barang itu bukan milik kita.” Jawab suaminya.
Saat itu, dengan penuh kerendahan Ummu Sulaim berkata, ”Wahai suamiku anak kita adalah milik Allah dan Allah telah menjemputnya semalam...dia telah pulang selama-lamya ke alam baqa.” Alangkah terkejut Abu Talhah menyaksikan ketenangan hati isterinya lalu mengadu hal kepada Rasulullah. Rasulullah berkata, ”Allah memberkati malam kamu berdua...” Kisah diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Bagaimana para sahabat begitu kuat menghadapi cabaran hidup ? Kegagahan jiwa didalam mendepani saat-saat sukar adalah kayu ukur bagi tahap ketenangan di dalam hati seseorang. Sekiranya sembilu hidup ini tidak berupaya mencalarkan sabar dan redha di dalam hati mereka tahulah kita betapa kuat jiwa mereka dan betapa kaya dalaman mereka. Mereka mengadun ramuan ubatan dari sumber hablunminallah dan hablunminannas dengan jaya.
Begitu banyak sumber ketenangan dari Allah yang ingin dititiskan ke dalam hati dan tersedia bagi mereka yang membantu saudaranya. Ia adalah anugerah agung dari Allah atas sekelumit bantuan yang kita berikan kepada manusia lain.
Saya teringat kepada seorang sahabat baik semasa menuntut di Kelantan suatu masa dahulu, dia sentiasa mempersiapkan dalam raga motornya beberapa gelen minyak petrol. Apabila dia berjumpa dengan orang yang mengheret motosikal kerana kehabisan minyak dia akan memberikan bantuan dengan memberikan minyak tersebut.
”Saya rasa sangat bahagia apabila melihat mereka gembira...” Ujarnya, bila saya bertanya tentang tabiatnya ini.
“ Kita akan melalui suatu perasaan hebat, ketenangan dan kepuasan bila melihat wajah orang yang ditolong itu. Ada cahaya dalam mata mereka, ada sinar damai yang tidak tahu bagaimana untuk mengungkapkannya.” Bicaranya begitu menggetarkan terbau harum ketulusan budi.
”Pernah beberapa kali, ada yang ingin membayar balik petrol itu menangis terharu apabila diberitahu bahawa saya hanya ingin membantu...” Sambungnya untuk berkongsi, nadanya begitu mendidik.
”Apalah sangat nilai seringgit dua yang hanya boleh membeli secawan teh tarik, sedangkan nilai melepaskan kesusahan itu tidak ternilai di sisi Allah...”
Dia menutup cerita, saya menikmati tarbiahnya dan menarik nafas panjang dengan selaut azam untuk cuba meneladani akhlak mulianya itu.
Alangkah mulia hari itu sekiranya kita dapat menolong, melepaskan kesusahan dan menutup keaiban saudara muslim. Rasulullah memberitahu bahawa pertolongan Allah untuk kita bergantung kepada sejauh mana kita membantu saudara kita. ”Barangsiapa yang melepaskan satu kesusahan saudara muslimnya daripada kesusahan dunia Allah akan melepaskan baginya kesusahan di hari Akhirat, barangsiapa yang memudahkan urusan saudaranya Allah akan memudahkan urusan dunia dan akhiratnya, barangsiapa yang menutup satu keaiban saudaranya di dunia Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Allah membantu hambaNya selama mana hamba itu menolong saudaranya.” Hadis riwayat Muslim .
Di sisi Allahlah ketenangan dan Islam adalah agama persaudaraan. Nabi bersabda, ”Demi Allah!...Tidak beriman.” Ungkapan keras ini diulangnya beberapa kali. Sahabat yang mendengar merasai gawatnya peringatan itu apabila iman menjadi taruhan, lantas disuakan soalan siapakah mereka yang tidak beriman itu ? Rasulullah menjawab...Mereka yang tidur kekenyangan sedangkan saudaranya kelaparan. Mari jengah ke luar jendela diri bagi meninjau apa yang dikesalkan oleh Rasulullah. Nescaya akan didapati, Sedang kita mengunyah dengan lazat hidangan makan malam ada saudara kita yang menggigil menahan kelaparan, telah berhari-hari mereka tidak menjamah makanan. Ada pula ibu yang mengalir air mata menahan sebak bergelombang melihat tubuh kering anak –anak yang tidak cukup makan, sedang tadi rakan-rakan di sekolah galak bercerita, tentang ibubapa mereka membawa ke restoran makanan segera, menguyah ayam goreng ranggup penuh berselera! Ketika kita sedang beradu di atas tilam empuk dan bunyi penghawa dingin beriak-riak manja mengulit malam indah, di luar rumah pula simfoni hujan lebat turun sungguh mengasyikkan, ada yang tidak boleh tidur kerana cucur atap rumah mereka bocor, air hujan tiris menitis dan mereka anak beranak berpelukan di satu penjuru dalam gelap malam berkongsi haba dan kepanasan. Bagaimanakah perasaan kita bila menjengah semua fenomena ini ?
Hakikatnya, Allah memberikan kepada seseorang itu sedikit kelebihan agar dapat diagihkannya kepada mereka yang kurang upaya . Sebagai gantian Allah memberikannya ketenangan bersama kelebihan tersebut. Tanpa anugerah itu, kelebihan yang sedang dikecapi mungkin menjadi mala petaka! Gagal kita memahami Sunatullah ini menjadikan kenikmatan hidup yang dikecapi bertukar menjadi akar hempedu bumi menelan ketenangan dan kepuasan hidup.
Justeru itu marilah melebarkan daerah pandangan keluar daripada daerah selesa dan memerhatikan ke wajah mereka yang doif. Pada mereka ada habuan buat kita dengan memberikan bantuan bagi memperolehi ketenangan selari dengan solat yang khusyuk dan rantaian zikir serta amalan yang memperkukuhkan hubungan dengan Allah.
Itulah suis induk bagi ketenangan hati !

salam kasih sayang


2 comments:

hasbullahROY April 13, 2010 at 1:15 PM  

salam,ustz.suis ktenangan Tuan sgt baik.mudah2an,jika diizinkan allah swt akan cuba ke arah itu..mbntu insan semuslim.smoga ada lagi coretan spt ini d kluaran akan dtang.TQ ust.

Anonymous,  May 25, 2010 at 8:54 PM  

Terima kasih...satu tulisan yg sgt menyentuh jiwa....

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP