RAKAN SIBER

Sunday, November 22, 2009

TOHAROH ~ Tahsin As Solah


Dalam gigil hujan bernaung di bawah rimbun maghfirah Ilahi di masjid Saidina Abu Bakar Bangsar, beradu dalam detik penuh berkat –antara maghrib-isyak bersama tazkirah : Tahsin as Solah. Memburu janji Rasulullah, “Tiadalah satu kaum yang berhimpun di dalam rumah Allah lantas membacakan kitab Allah dan saling mempelajarinya melainkan akan turun kepada mereka ketenangan, mencucur rahmat, malaikat akan mendampingi mereka dan Allah akan mengingati mereka...”
Kita kongsikan bicaranya ;

Tajuk : Tahsin as Solah, Mengindahkan Solat bab Toharoh / bersuci.

1. Muqadimah- Perkara pertama yang akan disoal seorang manusia di akhirat nanti adalah solat. Solatlah penentu keselamatan kita di hari akhirat nanti.
1.1. Pengertian solat mengikut bahasa Arab : Doa. Harapan. Permohonan ; pengertian pada bahasa menepati fitrah semula jadi manusia. Hakikatnya, semua manusia ingin menyandarkan harapan mereka kepada kuasa yang teragung. Rasa ini adalah fitrah semula jadi seorang insan.Ia juga disebut ‘God spot’ dalam diri manusia.
1.2. Definisi solat pada syara’: Perbuatan dan perkataan yang dimulakan dengan takbir dan disudahi dengan salam dengan syarat-syarat yang tertentu.
1.3. Solat adalah untuk mencapai khusyuk. Khusuk adalah aktiviti hati, hati yang fokus ; merasai dan menghayati setiap perbuatan dan perlakuan dalam solat.
Sebagai contoh ; Apabila bibir mengucapkan kalimah ‘Allah Maha Besar’, tubuh qiam dan tangan diangkat dengan jari jemari terbuka sehingga atas paras bahu, hujung ibu jari mencecah hujung bawah telinga, kepala sedikit tertunduk sedang mata memerhati tempat sujud.. apakah penghayatan yang dirasai di dalam hati ? Gabungan perkataan dan perbuatan itu perlu fokus kepada penghayatan makna atas apa yang kita ucap dan buat, merasai dan menghayati kebesaran Allah dan merasai kehinaan diri.

2.Setiap syarat-syarat dan rukun-rukun solat mesti selari dengan tujuan asas iaitu khusyuk.

3.Toharah / bersuci : Syarat sah pertama solat. Bagaimana penyucian lahir melahirkan khusyuk. Membuang najis dari pakaian, anggota dan tempat solat serta mengangkat hadas adalah penyucian lahiriah yang membawa kepada kesedaran untuk mensucikan batin.
Rasulullah apabila menziarahi orang sakit mengucapkan ; “Tuhurun Inshallah…” “...Suci Inshaallah”. Bermaksud penyakit itu mensucikan si pesakit dari dosa-dosanya dan mendapat keredhaan Allah. Kita dapat melihat suci bukan hanya penyucian lahir, lebih penting adalah penyucian batin seorang manusia.
Syarat sah sembahyang ini membawa kesedaran untuk mensucikan hati dari kotoran dalaman. Didalam surah At Taubah ayat 108, Allah berfirman : “….Di dalamnya (masjid) ada para lelaki yang suka untuk mensucikan dirinya, Allah sangat kasih pada mereka yang mensucikan dirinya.”
Penyucian batin perlu difahami serentak bersama hadis Nabi : “ Anak kunci solat adalah bersuci…”
Dalam ilmu feqah, telah dijelas secara hukum maksud membuang najis dan mengangkat hadas selari dengan firmanNya ; “Dan agungkanlah Tuhanmu. Dan pakaianmu maka sucikanlah…” ~surah Al Mudatthir ayat 3-4. Marilah lihat dengan lebih mendalam dari sudut hikmah. Kalaulah kotoran lahir itu menjadi penghalang kepada mendekatkan diri dengan Allah maka kotoran dalaman / hati juga menjauhkan seseorang itu dari Allah. Disebabkan oleh kotoran hati itu, seorang hamba gagal mendekatkan dirinya dengan Allah.Sila lihat sejarah Iblis, siapakah Iblis itu dahulu ? Dia adalah makhluk Allah yang sangat alim lagi tekun melakukan ketaatan kepada Allah. Tetapi apakah yang terjadi kepadanya kemudian ? Ia mendapat laknat dan kutukan dari Allah…apakah puncanya ? Allah menyatakan bahawa Iblis adalah hambaNya yang sombong. Bukankah sombong itu adalah kotoran dalam hati ! Kita dapat memahami bahawa dengan kotoran hati itulah menjadi penghalang hubungan hamba dengan Allah, sepertimana ada najis yang mencegah kita dari mendekatkan diri dengan Allah dalam solat. Bahkan dengan kotoran dalaman itu menjadikan seseorang itu mendapat laknat ! wal’iazubillah.
Kalau begitu, amat penting seseorang itu membuat penyucian hati dan ini dihayati setiap kali berwudhuk. Dalam hadis Qudsi Allah berfirman ; “ Aku hairan bagi mereka yang bersuci dengan air tetapi tidak suci hatinya..” ( Kitab Al Mawaiz fil Ahadithil Qudsiah)
Penyucian dalamanlah sebenarnya yang membawa seseorang kepada khusyuk, Apabila ia berdiri untuk solat dan menuturkan Allah Maha Besar, ia boleh merasainya apabila hatinya bersih dari sifat sombong. Sekiranya sifat sombong masih bersarang di dalam hati, tidak mungkin ia dapat merasai kebesaran Allah tersebut. Kerana itulah amat perlu wudhuk dilakukan dengan penuh penghayatan sebelum seseorang itu berdiri untuk solat. Bukan hanya soal air mutlak itu yang dititik beratkan ketika berwudhuk tetapi perkara yang membawa kepada kesedaran dan penghayatan rohani. Lihat apa yang tercatata dibawah ini;
Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas : Disyariatkan istinja’ bagi menemui bidadari di syurga, membasuh kedua tapak tangannya bagi memakan hidangan syurga, apabila berkumur-kumur ia adalah untuk membaca ayat Allah yang sangat mulia, apabila memasukkan air ke dalam hidung rasakan bahawa hidung akan menghidu haruman syurga, apabila membasuh muka taruhkan harapan agar dapat menatap wajah Allah di syurga nanti, apabila membasuh tangan hingga ke siku yakini bahawa akan dipakaikan hiasan pada tangannya di syurga, apabila membasuh kepala rasakan bahawa ahli syurga akan dipakaikan mahkota indah dan apabila membasuh kaki harapkan agar kaki ini akan dapat memijak tanah syurga yang sangat indah. ( Kitab Hikmah Tasyri’ Islami oleh As Syeikh Ali Ahmad Al Jar )
Dengan syarat sah yang pertama ini, boleh membawa kepada aktiviti hati yang tunduk seterusnya melahirkan khusyuk sejurus solat itu dibangunkan…
“ Wahai Tuhan kami jadikanlah kami dari kalangan yang mendirikan solat juga zuriat kami, wahai Tuhan yang mengkabulkan doa….” Amen .

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP