RAKAN SIBER

Wednesday, January 30, 2013

BICARA MALAM DI PFK Bicara malam di Petronas Fertilizer Kedah Gurun Kedah


Dalam getar jam 11 malam di tengah rimbun bunyi dan jeritan mesin
Pada gejolak api dari cemeni gergasi dan desir angin desa
Berhalaqah dalam majlis zikir buat muhasabah bagi rakan dan sahabat
yang bertugas shift malam...yang mengendalikan mesin dan perkakasan,
mereka yang soleh dalam uniform berwarna kuning.

Muqadimah adalah syukur tentang nikmat usia
Yang kian hari kian sedikit berbaki
.....Kian sampai ke noktah terakhir.
Cuma manusia-manusia terus alpa dalam ribut hidup seribu kalut.
Selengkar peringatan dan sedarlah akan pesan nabi kepada Ibn Umar;
“ Jadilah kamu di dunia ini seperti seorang dagang atau si pelintas jalan..., maka persiapkanlahlah diri mu sebagai ahli kubur !”
Tersentuh dengannya Ibn Umar menyambung, “Apabila kamu sedang berada di waktu petang jangan tangguhkan kebaikan sehingga ke pagi, apabila di waktu pagi jangan tangguh sehingga ke waktu petang...ambillah kesempatan sihat ini kerana nanti kamu akan terlantar sakit. Rebutlah peluang selagi hayat, kerana nanti kamu akan terkujur sebagai mayat !”
Hanya orang yang ingat tentang hakikat umur dan kesudahan akan memanfaatkan peluang, Merebut ganjaran, memperbanyak amal
Melabur buat hari yang panjang ...yang pasti !
Dalam nafas malam itu,
Kita sedar betapa di dalam membina hidup ini, teladannya adalah Rasululah. Itu pesan Ilahi agar kita tidak terkhilaf ...
Masakan Micheal H Hart dalam The 100nya tersalah apabila
Menobatkan Rasulullah sebagai manusai terhebat sepanjang zaman dalam membina tamadun dan kehidupan..
Namun tamadun yang dibangunkannya sangat sedaging antara rohani dan fizikal
Sangat sedarah antara spiritual dan material.
Sekira tidak, jadilah seperti apa yang dianalogikan oleh Stephen Covey dalam First thing firstnya;
Seperti orang yang mendaki anak tangga dengan segala kepandaian dan kemahiran
juga strategi dan kekuatan dia berjaya di mercu anak tangga.... digelar orang sebagai
sang juara. ! !
Namun dia baru tersedar satu perkara setelah berada di sana
Setelah sayup di puncak yang tinggi
Rupa-rupanya....
tangga yang didaki itu tidak bersandar pada dinding !
Malang apakah ini... di hujung episod pemburuan yang sangat memenatkan
Pelaburan apakah ini dalam pengejaran, keletihannya membunuh...
Begitu banyak korban masa,
Korban tenaga, korban airmata, korban terabainya orang-orang tercinta di sekeliling kita.
Kesakitan di atas nisan kejayaan....

Tiada jalan pintas sebenarnya
melainkan kembali kepada cara Tuhan
Kerana Dia yang mencipta dan mebuat pengaturan
Lihat kepada adiwira sebenar, alangkah hebatnya baginda, berjaya merubah manusia menjadi insan bermakna
Dari hidup saling berbunuhan
Daripada seorang pembunuh hatta sanggup membunuh anak sendiri
Daripada pemadat khamar
Daripada penzina
Dari penindas
Berubah menjadi insan terhebat pembina tamadun zaman berzaman
Yang terus memegang piala gemilang tidak mampu ditandingi ...

Dalam jiwa mereka hidup Allah lalu mereka hidup...bukan hidup-hidupan
Yang hanya meminggir dijalanan; ada tidak dirasakan mati tidak diperasan

Semoga hari esok menjanjikan kita kebaikan
Kerana kita menjanjikan diri untuk berubah demi membina kebaikan di atas jalan kebaikan pengikut sebaik-baik Rasul insan pilihan.

Terima kasih Ustaz Nazim Arifin dan sahabat-sahabat di PFK



Baca Seterusnya...

Meminjam Kegembiraan Menghapus Kedukaan

“Saya telah cuba berbagai zikir dan amalan…. Namun semuanya tidak berjaya memberikan saya ketenangan yang diharapkan…” Sahabat saya memulakan bicara, berat nafasnya, matanya pula redup dan pandangannya begitu lemah. Saya hanya mampu memberi empati pada ceritanya yang sarat dengan duka nestapa. Luahan terlancar daripada mulutnya, pertemuan itu menghidangkan banyak soalan dan persoalan walaupun yang kami pesan cumalah dua cawan teh tarik dengan buih yang mewah!

“Kenapakah begitu susah bagi Tuhan untuk menghadiahkah ketenangan buat saya?”

Perlahan tutur katanya ia seperti mahu menangis, tanda tanya itu seperti boya (tsuna meter) pengesan gempa di dalam hatinya, kali ini dia mula melihat ke daerah lebih tinggi mungkin cuba memancing saya ke dalam dialog lukanya.

“Beginilah…” Saya membetulkan duduk di kerusi kayu, meja kami bergoyang sedikit, petang itu agak cerah walaupun langit bercampur warna jerebu yang kelabu.

“ Sebenarnya zikir tidak cukup untuk memberikan ketenangan ke dalam jiwa…” Saya menunggu dia merespon, spontan pula bebola matanya yang lemah itu sedikit bersinar, ada kerut atas dahinya.
“ Zikir seperti memasukkan cahaya ke dalam hati, tetapi persoalan utamanya adalah bagaimanakah keadaan hati itu?”

“Adakah ia juga bercahaya ?”

“Atau adakah ia hitam pekat?”



“ Sama seperti kita lihat kepada pelita minyak yang menyala-nyala, namun cemeninya hitam pekat dengan jelaga, adakah kita memperolehi apa-apa faedah dari cahaya itu?” Saya datangkan analogi bersama soalan bertalu-talu, cuba mengajaknya berfikir bagi mengungkai garis halus di antara cahaya zikir dan cahaya hati. Dia menangkap dengan teliti setiap patah bicara dan merespon begitu positif . Saya menyambung,

“Inilah dua cahaya yang mempengaruhi sumber ketenangan dalam jiwa seseorang, tanpa kedua-duanya manusia akan kekal berada di dalam badai dan siri kegelisahan yang tidak berhorizon.”

“ Bagaimana kita menemuinya ?” Saya bertanya.

“ Tentu dengan fikir!” Dia menyahut dengan segar. Saya suka kepada senyumannya. 

“Fikir mengoptimakan fungsi akal bagi membentuk erti dan makna serta warna kepada zikir bahkan ia menjadi garis dan stroke bagi ‘potret’ itu. Dengannya kita dapat menggabung fungsi akal bersama emosi dan hati secara serentak ” Saya memperlahankan bicara, mencari pelabuhan buat berlabuhnya bicarawara kami petang itu , dia senyum memberi setuju, perbualan kami bergerimis dengan rebas perkongsian juga persahabatan.

Saya rangkumkan slot bicara itu dalam catatan ringkas tentang zikir dan fikir. Alhasil, kesemuanya nanti adalah mengenai persoalan hati !

Pertanyaan yang dikemukakan oleh sahabat tadi sebenarnya menghantui hampir semua orang. Kenapakah kita yang telah melakukan banyak amalan dan berzikir masih tidak tenang ? Kenapa kita terpaksa meratah pelbagai duka dan keluh kesah setiap hari? Kenapa kita setidak-tidaknya masih merasa perlu bergantung kepada aspirin hiburan buat halwa telinga, mata dan hati yang ada di radio dan tv?

Mari kita membuat eksplorasi ke dalam hati bagi menemui jawaban. Kita terokai sisi-sisi di dalam yang mempengaruhi samaada hati itu bercahaya atau gelap zulumat !

Hati yang bercahaya adalah hati yang diterangi dengan sifat-sifat terpuji. Sifat-sifat seperti sabar, redha, tawakkal, tawadhuk, berbaik sangka dan suka memaafkan adalah contoh cahaya kepada hati. Sifat yang berlawanan seperti pemarah, putus asa, menyerah diri kepada makhluk, sombong, bersangka buruk dan pendendam adalah gerutu gelap bagi dinding hati. Ia merupakan jelaga bagi hati bahkan menelan apa sahaja cahaya seperti black hole. Hati yang tidak terdidik dengan keupayaan akal melalui tafakkur dan tadabbur menjadikannya gelap dan bakal dirimbuni belukar kelam sifat-sifat mazmumah.

Ini diburukkan lagi dengan keadaan sekeliling, hiruk pikuk persekitaran dan rangsangan luaran yang membentuk lanskap hati. Hati juga merupakan wadah yang menyimpan pelbagai khazanah bersifat maknawi. Sebagai contoh, apabila sesorang mengherdik kita kemanakah pergi herdikan itu ? Secara saintifiknya herdikan itu terbit dari peti suara, bergetar di dalam gelombang dan ditangkap melalui paluan gegedang dalam telinga lalu ditafsirkan oleh bahagian otak, gelombang itu terserak dan kemudian terurai di udara. Ia datang dan berlalu pergi bersama angin. Begitu juga keadaannya apabila kita berhadapan dengan suasana gawat melampau, lantas membentuk trauma. 

Apakah gambaran itu? Ia hanyalah pantulan cahaya pada objek dan ditangkap oleh paparan pada retina dan ditafsir oleh otak. Dimanakah paparan gambar itu kemudian ? Ia telahpun berlalu pergi selepas selesai peristiwa itu bersama sirnanya sang cahaya. Semuanya telah berlalu pergi tetapi kenapa kesannya masih ada? Kenapakah herdikan itu masih bertalun-talun dan gambaran tadi masih meremangkan bulu roma ? Kesannya masih ada kerana kita menyimpannya di dalam hati dalam bentuk maknawi, bukan gelombang atau cahaya sebenar yang terus-terusan membedal dan menyakitkan kita, tetapi simpanan maknawi itu! 

Kita menghimpunkannya sedikit demi sedikit pada setiap hari ke dalam hati. Jiwa akan terseksa, peritnya dirasai setiap masa dalam setiap tarikan nafas bersama keluh serta rimas yang panjang. Dunia fizikal ini hakikatnya adalah gelanggang ujian tetapi kita akan merasakan kesakitannya apabila memorinya disimpan dalam lubuk hati.

Lalu, bagaimana kita mengharapkan ketenangan dari zikir yang dibacakan sedangkan hati sedang sarat menyimpan kesakitan? Zikir tidak berupaya menenangkan hati yang sarat dengan racun dan sampah sarap memori silam!

Akhlak Islamiah menganjurkan sesuatu yang sangat berharga ;

”Ingatlah dua dan lupakan dua, ingatlah kebaikan orang kepadamu dan kesalahanmu kepada orang lain serta lupakanlah kebaikanmu kepada orang lain dan ingat kesalahanmu kepada mereka.”

Pengajaran di atas merupakan panduan asas tentang hati . Ia bertujuan merungkai keluar penyakit yang dideritai oleh manusia. Melupakan kesalahan orang lain adalah proses membuang sifat benci dan dendam daripada hati. Perasaan benci dan dendam yang disimpan di dalam hati seperti mengemam racun dengan harapan orang yang dibenci itu akan mati. Tetapi siapakah yang menderita ? Jawabannya adalah diri sendiri ! Kenapa kita mengambil kesakitan itu sedangkan kita boleh melemparnya keluar . Mengingati kebaikan orang lain pula menjadikan kita seolah-olah berada ditengah-tengah tasik dingin kasih sayang dan kemesraan manusia terhadap kita . Gabungan ini membentuk lanskap hati dan mendamaikan jiwa. Berfikir dan bertindak dengan wajar tentang persoalan hati akan mendatangkan ketenangan bersama simbahan zikrullah secara serentak, akan menyuburkan jiwa bagi memperolehi kepuasan sejati. Ia sama seperti proses kejadian sebutir mutiara yang cantik. Ia terhasil dari pantulan cahaya pada kulit bahagian dalam tiram yang putih berkilau lalu membentuk sebutir mutiara yang putih berkilau . Dalam cengkerang tiram itu terlebih dahulu perlu melepak barulah cahayanya dapat membekas pada butir mutiara tersebut !

Proses memupuk cahaya hati boleh dilakukan dengan meminjam seluruh kebaikan manusia lain, juga memori terindah kita, lalu ia dimasukkan ke dasar hati bagi menolak keluar kedukaan dan kesusahan. Duduklah dengan tenang, pejamkan mata, rehatkanlah seluruh sendi dari hujung rambut perlahan-lahan turun sehingga ke telapak kaki, tariklah nafas perlahan-lahan serta dalam-dalam. Bayangkan kurnia, rahmat dan kasih sayang Allah yang pernah dikecapi, sebut dengan hati akan pujian, tasbih serta kebesaran Allah, lalu biarkan diri beradu di dalam daerah ketenangan itu dalam tempoh yang lama. Setelah terasa rehat di dalam, bukakan mata dan katakan pada diri sendiri seoalah-olah kita adalah seorang yang baru yang ingin menikmati saki-baki kepuasan yang dititipkan oleh Allah.

Ingat,Ketenangan adalah kemuncak di dalam sifat kehambaan maka ia perlu kepada zikir yang sebenar termasuk memelihara kesucian hati. Ia adalah proses yang berterusan.Allah berfirman, “Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha lagi diredhai, masuklah kamu ke dalam kelompok hambaKu dan masuklah dalam syurgaKu”

(Artikel ini pernah dikeluarkan dalam kolum Fikir-zikir dalam majalah ANIS...sahabat-sahabat sila dapankan majalah ANIS keluaran terbaru untuk berkongsi banyak tip dan panduan.

Baca Seterusnya...

Monday, January 7, 2013

Memacu Ke Lebuhraya Kehidupan

Ramai manusia tersesat atau lebih tragis ditimpa kemalangan di laluan hidupnya. Lebuh raya hidup bukan lagi menjadi laluan menuju matlamat sebaliknya bertukar menjadi medan kehancuran dan kemusnahan diri.

Pengguna lebuh raya hidup perlu kepada panduan agar sentiasa kekal selamat di samping memastikan tidak teralih arah ke matlamat yang salah.


Seperti lebuh raya sebenar yang mengandungi banyak R&R di sepanjang perjalanan serta pelbagai papantanda isyarat dan petunjuk, begitulah di lebuh raya kehidupan. Ia mengandungi R&R dan papan tanda isyarat dan tanda-tanda bagi memastikan kita selamat sampai ke destinasi.



Mari memanfaatkan papan tanda di sepanjang laluan dengan memahami dan mematuhinya dengan penuh sabar. Di sana tersembunyi apa yang diharapkan oleh si musafir; keselamatan dan ketenangan hakiki dalam menuju matlamat bahagia.


Dapatkannya di sini



Buku ini mengajak pembaca memecut ke hadapan dengan langkah positif dalam menuju keseimbangan secara proaktif dan tanpa bertangguh supaya tidak berlaku kepincangan dalam hidup. Di setiap R&R kita berhenti, bermuhasabah buat mendapat kelegaan untuk terus memacu ke lebuh raya kehidupan.



Baca Seterusnya...

Thursday, November 1, 2012

Korban

Selamat menjiwai ibadah korban.

Ketika ditanya kepada Nabi Ibrahim , kenapa dia diangkat sebagai 'khalilullah'. Nabi Ibrahim menjawab dia mendahulukan hak Allah berbanding hak makhluk. Benarkah pengakuan khalilullah ini?
Apabila dia diperintah untuk menyembelih anaknya sendiri dia segera akur; tiada benda yang boleh menghalangnya daripada menunaikan hak Allah. Dia sangat hampir kepada Allah....Allah terlebih hampir kepadanya. Begitulah sifir kita dengan Allah secara mafhum mukhalafah; Kita jauh dengan Allah ...Allah jauh daripada kita.

Korban mengajar kita semua agar sentiasa meletakkan hak Allah di atas segala-galanya. sesuai dengan ikar kita; "Sesungguhnya hidup dan matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam..."

Baca Seterusnya...

Friday, July 1, 2011

SEPAGI DI MU'TAH


Salam hormat dari bumi Jordan.
Musim panas dengan angin dingin adalah paluan kompang penuh asyik menyambut kabilah kecil kami.
Hari pertama di Mu'tah;
menziarahi pahlawan yang rebah dengan lima puluh libasan pedang Saidina ja'far Atthoyyar...kedua tangannya tercantas berpisah dari tubuh namun membiar panji kalimah Allah jatuh tidak sekali...
Serta sesorang yang terhadapnya, Rasulullah menangis lebih pilu dari anak perempuannya menangis apabila diberitahu tangtang gugurnya dia di bumi Mu'tah...
ditanya kenapa begini tangisan mu Ya Rasulullah...dalam tangisan yang belum reda Rasulullah berkata : "Seorang yang sangat rindu (العشيق) menangisi kekasihnya..."
Alangkah besar bilikmu wahai Zaid bin Harithah di dalam rongga dada Rasulullah SAW.
Juga ziarah seorang yang menjadi sauh keberanian; dalam syura selama dua hari di kalangan tentera muslim , dan dia yangterus bercerita tentang syurga bagi yang syahid; betapa tidak di bukit yang tinggi mereka melihat tentera musuh seramai 200 000 dua ratus ribu, sedangkan tentera islam hanya sejumlah tiga ribu orang...Terima kasih wahai Abdullah Rawahah engkau mengajar kepada dunia erti sebenar kekuatan..bukan pada jumlah tetapi pada hati yang dipenuhi iman dan rindukan syurga..Allahku Akbar
musafir di bumi anbia ini diteruskan......

Baca Seterusnya...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP