muharam 1431H
SALAM MUHARAM
Masa terus berputar
Memunggah waktu, mengapung cerita
Dalam riak-riak hari kian samar,
berdiri teguh Muharam yang baharu
Namun kita kian tua dalam detik yang terus mengalir
Bandul jam dinding terus berayun
memamah hari semalam jadi kian lusuh,
ia jadi kelmarin, kian reput... jadi kelmarin dulu...
jadi minggu sudah... kemudian jadi bulan lepas
kemudian jadi tahun lalu..yang kian dilupakan.
Esok Muharam baharu akan tiba
Bersama suria harapan berkilau-kilau
Menjanjikan seribu kisah baharu
Atau mengulang semula cerita lama dengan tajuk baharu.
Manusia adalah makhluk tegar kata Allah;
”Sesungguhnya kami telah datangkan di dalam Al Quran ini bagi manusia dengan pelbagai contoh...dan adalah manusia makhluk yang paling banyak membantah.”
Dalam kelong masa, relong waktu
manusia terbius dalam marijuana duniawi
dalam kerlipan neon, dosa bermaharajalela...Tuhan dilupakan !
Muharam kali ini
Datang dalam qudumnya
Niat, azam, doa dan harapan dipuncakkan kepada Ilahi,
meniti pesan As Sheikh Abu Hassan As Syazilie;
“Tanda orang yang berjaya di penghujung adalah mereka yang kembali kepada Allah sejak dari permulaannya…”
Salam Muharam 1431H semoga kita kian sukses ditahun ini...ameen !
Sekali kita bersahabat syurga adalah muaranya...
Mari menyayangi umat Rasulullah
Kerana Rasulullah menuturkan; ”ummati...ummati...ummati...”
Kita dan mereka semua adalah umat Rasulullah !
Masukkan teks seterusnya di sini
0 comments:
Post a Comment