RAKAN SIBER

Sunday, December 13, 2009

elegi 2009



( Tahun dua ribu sembilan masihi selepas ini di sebut 2009 ): Dalam remang malam pada tepat jam dua belas ketika jam besar berdenting, berdiri di pusaramu menyedarkan betapa perpisahan ini adalah buat selama-lamanya. Ikatan perhubungan telah terlerai, segala-galanya telah berakhir bersamamu. Walau sekuat mana berusaha, kita tidak akan bertemu lagi sampai bila-bila. Lebih perit melihatmu lewat jendela masa, ditinggal pergi dalam warna kian suram… yang tinggal hanya mimpi dan kenangan. Alangkah banyak yang engkau anugerahkan dalam pertemuan ringkas selama tiga ratus enam puluh lima hari itu. Banyak tawa dan kegembiraan atas pencapaian hebat yang terlakar, namun banyak juga menyaksikan bencana, kematian dan perpisahan berlaku. Begitu banyak deraian ketawa ria atau air mata teralir dalam tangisan dan sedu yang panjang.

2009: Dalam ruang dan kesempatan itu engkau telah menghadiahkan kami usia kian tua serta cangkir-cangkir kematangan, tidak kurang juga kesan luka dan kesakitan. Dalam meniti batas pengalaman bersamamu ada baiknya kita meninjau pesan Rasulullah SAW dalam sabdanya “Orang yang bijaksana adalah mereka yang menghitung dirinya sendiri dan beramal bagi nasib sesudah matinya.” ~Riwayat at Tirmizi . Saidina Omar ibn al Khattab RA berkata : “ Hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung.” Saranan agar menoleh ke belakang adalah seruan agama supaya terbentuk sikap belajar daripada pengalaman sendiri masa lalu buat memetik pengajaran di masa hadapan.
i
-->
2009: Menghimbau kembali detik bersamamu dahulu, banyak dosa yang terlakar. Betapa hati terpalit bintik-bintik hitam pada noda yang dibuat. Banyak kelalaian sengaja direka..alhasil diri tetap jauh dengan Tuhan walaupun selaut pengajaran telah diberikan, benarlah firman Allah dalam bicara kalamNya : “ Dan sesungguhnya kami telah datangkan di dalam al quran dengan pelbagai perbandingan bagi manusia, namun manusia sangat banyak membantah”- Surah al kahfi.

2009 : Banyak soalan asas tidak terjawab dalam tempuh sepanjang bersamamu ; Sejauh mana menjaga hubungan dengan Allah menjadi perkara terpenting di dalam hidup? Jawaban kepada soalan itu bakal menjadikan Allah tidak dilupakan, apatah lagi seorang hamba itu sanggup mengabaikan perintahNya atau tergamak melakukan laranganNya. Sejauh mana pula solat berkesan menjadi jambatan bagi mengerat hubungan antara Khalik dan makhluk? Ataukah masih pada takuk lama. Solat masih terasa seperti memikul beban sehingga sukar untuk dibangunkannya, lalu kemanisan solat berada jauh di ufuk kutub yang berlainan. Sedangkan solat bagi Rasulullah adalah penyejuk mata dan lubuk kerehatan hakiki. Seterusnya sejauh mana puasa menjadi benteng diri buat menghadapi hidup? Sejauh mana zakat mensucikan harta dan haji melonjak semangat juang tertinggi dalam perhubungan dengan Allah juga sesama manusia? Adakah telah ada jawaban kukuh buat seluruh soalan dan persoalan penting ini ?

2009: Engkau juga menjadi saksi bisu tentang hubungan kami dengan Rasulullah SAW. Sejauh mana beliau menjadi layar teladan dalam semua aspek kehidupan ini serta mengambil ruang di dermaga hati? Sejauh mana rasa kasih kepadanya memuncak beserta rindu seperti kekasih kepada kekasihnya ? Sedang sahabat dan Rasulullah tidak berhubung atas perhubungan pemimpin dan pengikut atau guru dan murid tetapi perhubungan mereka pada dasar kasih yang sangat mendalam. Mereka sering meluahkan, “ Wahai Rasulullah kami amat menyayangimu lebih daripada kecintaan terhadap diri kami sendiri…” Daripada rasa itu baru indah berbicara tentang mengikut sunnah dan membaris diri dalam saf perjuangannya!

2009 : Dalam perkenalan bersama dahulu itu, engkau juga melihat bagaimana rapuhnya perhubungan sesama insan. Al Hasil, pincanglah keseimbangan yang meranapkan bangunan kehidupan. Lihatlah kepada perhubungan dengan kedua ibubapa. Adakah mereka mendapat hak yang sepatutnya ? Ataukah hidup pada penjuru mereka yang sedang merangkak pada usia tua begitu terasing dan terabai ! Rasulullah pernah menggambarkan, seandainya seorang ibu memanggil anaknya sedang ia berada di Thoif dan anaknya berada di Mekah lalu anaknya mendatanginya dalam keadaan merangkak sehingga terluka dan mengalir darah pada telapak tangan, siku dan lututnya… anak ini masih belum boleh dipanggil anak soleh ! Kalaulah begitu sukar sekali untuk menjadi anak soleh, betapa pula mereka yang membiarkan kedua ibu bapanya terluka, terbiar kesepian tanpa perhatian serta limpahan kasih sayang.
Bagaimana pula ikatan kasih yang terpupuk dalam sebuah rumahtangga ? Adakah setiap pasangan berjaya membuat yang terbaik kepada pasangannya sehingga setiap seorang daripadanya merasai kemanisan ‘baiti jannati’. Semakin eratkah ikatan rasa itu dan cinta mengalir ke muara syurga !
Bagaimana pula halnya anak-anak yang dahagakan perhatian ? Adakah belaian dari kedua ibu bapa mereka dapat dirasai sehingga ke tangkai jantung hati? Ataukah mereka yang celik dan memejam mata lewat hari-hari berlalu tanpa belaian, perhatian juga kasih sayang… kasihannya mereka.
Bagaimana pula nasib umat ? Adakah masih ada bicara persaudaraan dan hidup saling hormat menghormati ? Adakah di dalam dada ada rasa kasih kerana mereka juga ahli kiblat, manusia pilihan Allah bagi harga hidayah yang sangat mahal ? Seandainya jawaban yang ditemui adalah hampa, kenapa semuanya tidak seperti 1400 tahun lampau. Setiap orang memandang tinggi erti persaudaraan dan mengakuinya bahawa itu adalah nikmat teragung dari Allah buat umat ini. Rasa hormat tertanam dan di dalam benak terpasak ukhwah lalu menjadi tumang umah gemilang. Sabaliknya kini adalah tumang menumangkan atas alasan yang boleh diambil di mana-mana. Tiada lagi saudara yang berkasih, bertemu juga berpisah kerana Allah. Masing-masing punya alasan untuk menghalal darah saudara sendiri sedangkan umah kian terdesak ke jalan mati buat di sembelih dan dilapah beramai-ramai !
Seluruh siri soalan tadi dambakan jawaban, ia penentu kepada keseimbangan hidup seseorang.

2009 : Engkau mengajar menangguhkan taubat, melengahkan amal dan kemudian rasa selamba. Dakapan hangatmu itu begitu mengalpakan, engkau membius minda seolah-olah hidup ini selama-lamanya. Bersamamu, hari-hari begitu manis sehingga terlupa tentang hakikat bahawa hidup ini bakal menjumpai noktah terakhir, iaitu sebuah kematian… seperti engkau pada hari ini. Kelupaan inilah membentuk rantai kelupaan, begitu tegar untuk disedarkan!

2009 : Namun alangkah mesra belaianmu, menawarkan ruang buat si pemburu ilmu pada bilah siang dan malammu. Betapa saranan Rasulullah pada umatnya agar menjadi penguasa ilmu dunia dan akhirat terbuka luas terpulang kepada umatnya sama ada melapang atau menyempitkannya. Adakah umat ini teruja dengan kilauan ilmu atau hanya mengisi benak dengan hiburan sepanjang siang dan malam ? Selama tempoh itu gerbang amal terbuka lebar seluas langit dan bumi kecuali bagi yang nyawanya telah sampai ke halkum. Kebaikan dapat dilihat di koridor masjid, di ruang tamu serta rumah, di bilik mesyuarat dan gedung-gedung perniagaan serta tempat rekreasi. Islam adalah agama yang kebaikannya perlu dibangunkan di mana-mana ! Hari-hari mendatang tetap tiba bersama bingkisan harapan agar setiap orang akan jadi lebih baik berbanding waktu dahulu. Pada anak-anak kian dewasa yang melewatimu dan waktu terus mengalir; Jaminan daripada Rasulullah bahawa Islam akan terus gemilang !

2009, kami permisi dahulu dalam rintik air mata terakhir. Bersemadilah kamu dengan aman… Izinkan kami menutur salam terakhir buatmu, kami simpati kepadamu juga diri sendiri atas segala-gala yang telah berlaku.
Nun, di hujung padang menghijau, dua ribu sepuluh sedang menunggu…
( Artikel ini boleh dibaca dalam majalah ANIS dalam ruang fakir – zikir. Sila dapatkan majalah ANIS untuk banyak tips dan panduan hidup yang sangat berguna…salam ukhwah )
i

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP