RAKAN SIBER

Wednesday, December 9, 2009

DALAM REMANG AIDIL ADHA




Musim haji datang lagi dengan laungan talbiah yang menggoncang kalbu.Namun mari bermuhasabah... Sejauh manakah laungan talbiah dan takbir berupaya membangkitkan semangat juang, menjulang jihad di dalam dada umat. Tentu banyak lembu, kerbau, kambing juga unta bergelimpangan menjadi qorban di tahun ini. Tetapi sejauh mana pengajaran mengalir bersama darah yang tumpah ke bumi. Sebanyak mana iktibar menggelupur hebat di dalam hati seperti rontaan terakhir sembelihan korban. Apabila tiada pengajaran, bermaknanya kita hanya berjaya menambahkan protein dalam diet kita sepanjang minggu ini ! Itu sahaja, noktah .
Aidil Adha adalah ritual ibadah yang mengandungi pengajaran terhebat di dalam hidup bagi sepanjang tahun. Ia adalah proses yang sepatutnya melahirkan impak hebat.
Marilah hayati takbir kemenangan yang kita laungkan sepanjang musim raya tersebut. Kita pandang belakang untuk melihat hari-hari gemilang bila tarbiah bersatu dengan alam bersama manusia di zaman Rasulullah.

Kita bersama dalam gawat kota Madinah apabila di seberang sana khandak , khemah-khemah tentera bersekutu dengan nyanyian dan paluan genderang jahiliah berdengung – dengung. Segala hiasan yang menjadi kebanggaan setiap qabilah dibawa bersama , warna yang terpancar di wajah bengis mereka adalah keyakinan untuk menukul paku terakhir bagi keranda Muhammad dan mereka yang setia bersamanya lalu dikambus dalam kubur besar bagi menanam sejarah mereka. Jumlah kekuAtan yang mencecah 10,000 tentera sudah cukup menggambarkan keyakinan ini.
Rasulullah bersama dengan 3,000 para sahabat pula baru menyiapkan benteng terakhir bersifat alami iaitu parit yang besar. ‘Dengan tangan, dengan tangan !’ apabila cangkul dan tuil tidak mencukupi dan mereka bekerja melawan masa, mereka menggali parit menggunakan tangan. Keletihan bergayut di sendi mereka , tekanan dalaman tidak mampu digambarkan. Cacian dan ejekan kaum munafik adalah senandung sepanjang siang dan malam di dalam keadaan gawat itu. Lebih dahsyat kabilah Yahudi Bani Quraizah yang telah menandatangai perjanjian untuk membela Madinah dari ancaman luar mengoyakkan surat perjanjian, belot bagi menambah api dan gejolak tekanan ke tahap maksima! Segala ujian ini di manakah puncaknya ?
Pada malam serba dingin itu Rasulullah membangunkan Abu Huzaifah, membawa misi Rasulullah untuk meninjau keadaan tentera Ahzab di seberang sana parit. Abu Huzaifah merangkak menyeberangi parit dalam gigil kegelapan malam bersama desir angin yang berlari pantas di celah kanvas hitam pekat padang pasir…lantas kedua matanya menyaksikan bagaimana pertolongan Allah telah tiba dan ribut kencang itu mencabut keyakinan sehingga ke tangkai hati pakatan Ahzab. Tunggan langgang mereka bergegas meninggalkan Madinah setelah mengepung selama 45 hari sedang hasilnya nol ! Mereka seperti dihambat-hambat dari arah belakang, sedang yang menghambat mereka sebenarnya adalah ketakutan mereka sendiri !
Gambaran ini dikendung Abu Huzaifah untuk disampaikan kepada Rasulullah. Berita ini disambut oleh Rasulullah dengan laungan takbir ;

“ Allah Maha Besar .. Allah Maha Besar.. Tiada Tuhan melainkan Allah... Dialah Allah yang Maha Besar...Allah Maha Besar... Allah Maha Besar dan segala pujian adalah bagiNya ! ”
”Allah Maha Besar seagong-agongnya dan pujian pujian bagiNya dan maha Suci Allah unkapan pagi dan petang ...Tiada Tuhan selainNya kami menyembah seikhlas hati bagiNya agama, walaupun diengkari golongfan kafir...Tiada Tuhan Selain Allah yang Maha Esa ..Benarlah janjiNya ...Dan menolong hambaNya...dan memuliakan tenteraNya dan menghancurkan tentera Ahzab dengan tunggalNya...Tiada Tuhan melainkan Allah... Dialah Allah yang Maha Besar dan segala pujian adalah bagiNya ! ”

Laungan takbir ini didengari oleh para sahabat, mereka tahu pertolongan Alah telah tiba dan kemenangan telah dianugerahkan. Bingkas mereka bangun sahut bersahut takbir di antara mereka sehingga bergaul antara rasa dan air mata , syukur dan gembira. Semuanya berpintal dalam untaian takbir yang amat dalam di lubuk hati menjulang ke langit Madinah memahat sejarah melepasi episod sukar dengan pengakhiran bergaya !

Begitulah takbir Rasulullah dan para sahabat...sarat dengan erti dan makna yang menjulang semangat perjuangan membara, menjadikan mereka begitu hebat mengungguli setiap arena walaupun pada saat kekuatan fizikal yang sangat minimal !

Sempena Aidul Adha yang baru berlalu, sekali lagi kita bertanya ke dalam benak di dermaga kalbu...tumbuhkah rasa itu ?

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP