RAKAN SIBER

Wednesday, January 30, 2013

Meminjam Kegembiraan Menghapus Kedukaan

“Saya telah cuba berbagai zikir dan amalan…. Namun semuanya tidak berjaya memberikan saya ketenangan yang diharapkan…” Sahabat saya memulakan bicara, berat nafasnya, matanya pula redup dan pandangannya begitu lemah. Saya hanya mampu memberi empati pada ceritanya yang sarat dengan duka nestapa. Luahan terlancar daripada mulutnya, pertemuan itu menghidangkan banyak soalan dan persoalan walaupun yang kami pesan cumalah dua cawan teh tarik dengan buih yang mewah!

“Kenapakah begitu susah bagi Tuhan untuk menghadiahkah ketenangan buat saya?”

Perlahan tutur katanya ia seperti mahu menangis, tanda tanya itu seperti boya (tsuna meter) pengesan gempa di dalam hatinya, kali ini dia mula melihat ke daerah lebih tinggi mungkin cuba memancing saya ke dalam dialog lukanya.

“Beginilah…” Saya membetulkan duduk di kerusi kayu, meja kami bergoyang sedikit, petang itu agak cerah walaupun langit bercampur warna jerebu yang kelabu.

“ Sebenarnya zikir tidak cukup untuk memberikan ketenangan ke dalam jiwa…” Saya menunggu dia merespon, spontan pula bebola matanya yang lemah itu sedikit bersinar, ada kerut atas dahinya.
“ Zikir seperti memasukkan cahaya ke dalam hati, tetapi persoalan utamanya adalah bagaimanakah keadaan hati itu?”

“Adakah ia juga bercahaya ?”

“Atau adakah ia hitam pekat?”



“ Sama seperti kita lihat kepada pelita minyak yang menyala-nyala, namun cemeninya hitam pekat dengan jelaga, adakah kita memperolehi apa-apa faedah dari cahaya itu?” Saya datangkan analogi bersama soalan bertalu-talu, cuba mengajaknya berfikir bagi mengungkai garis halus di antara cahaya zikir dan cahaya hati. Dia menangkap dengan teliti setiap patah bicara dan merespon begitu positif . Saya menyambung,

“Inilah dua cahaya yang mempengaruhi sumber ketenangan dalam jiwa seseorang, tanpa kedua-duanya manusia akan kekal berada di dalam badai dan siri kegelisahan yang tidak berhorizon.”

“ Bagaimana kita menemuinya ?” Saya bertanya.

“ Tentu dengan fikir!” Dia menyahut dengan segar. Saya suka kepada senyumannya. 

“Fikir mengoptimakan fungsi akal bagi membentuk erti dan makna serta warna kepada zikir bahkan ia menjadi garis dan stroke bagi ‘potret’ itu. Dengannya kita dapat menggabung fungsi akal bersama emosi dan hati secara serentak ” Saya memperlahankan bicara, mencari pelabuhan buat berlabuhnya bicarawara kami petang itu , dia senyum memberi setuju, perbualan kami bergerimis dengan rebas perkongsian juga persahabatan.

Saya rangkumkan slot bicara itu dalam catatan ringkas tentang zikir dan fikir. Alhasil, kesemuanya nanti adalah mengenai persoalan hati !

Pertanyaan yang dikemukakan oleh sahabat tadi sebenarnya menghantui hampir semua orang. Kenapakah kita yang telah melakukan banyak amalan dan berzikir masih tidak tenang ? Kenapa kita terpaksa meratah pelbagai duka dan keluh kesah setiap hari? Kenapa kita setidak-tidaknya masih merasa perlu bergantung kepada aspirin hiburan buat halwa telinga, mata dan hati yang ada di radio dan tv?

Mari kita membuat eksplorasi ke dalam hati bagi menemui jawaban. Kita terokai sisi-sisi di dalam yang mempengaruhi samaada hati itu bercahaya atau gelap zulumat !

Hati yang bercahaya adalah hati yang diterangi dengan sifat-sifat terpuji. Sifat-sifat seperti sabar, redha, tawakkal, tawadhuk, berbaik sangka dan suka memaafkan adalah contoh cahaya kepada hati. Sifat yang berlawanan seperti pemarah, putus asa, menyerah diri kepada makhluk, sombong, bersangka buruk dan pendendam adalah gerutu gelap bagi dinding hati. Ia merupakan jelaga bagi hati bahkan menelan apa sahaja cahaya seperti black hole. Hati yang tidak terdidik dengan keupayaan akal melalui tafakkur dan tadabbur menjadikannya gelap dan bakal dirimbuni belukar kelam sifat-sifat mazmumah.

Ini diburukkan lagi dengan keadaan sekeliling, hiruk pikuk persekitaran dan rangsangan luaran yang membentuk lanskap hati. Hati juga merupakan wadah yang menyimpan pelbagai khazanah bersifat maknawi. Sebagai contoh, apabila sesorang mengherdik kita kemanakah pergi herdikan itu ? Secara saintifiknya herdikan itu terbit dari peti suara, bergetar di dalam gelombang dan ditangkap melalui paluan gegedang dalam telinga lalu ditafsirkan oleh bahagian otak, gelombang itu terserak dan kemudian terurai di udara. Ia datang dan berlalu pergi bersama angin. Begitu juga keadaannya apabila kita berhadapan dengan suasana gawat melampau, lantas membentuk trauma. 

Apakah gambaran itu? Ia hanyalah pantulan cahaya pada objek dan ditangkap oleh paparan pada retina dan ditafsir oleh otak. Dimanakah paparan gambar itu kemudian ? Ia telahpun berlalu pergi selepas selesai peristiwa itu bersama sirnanya sang cahaya. Semuanya telah berlalu pergi tetapi kenapa kesannya masih ada? Kenapakah herdikan itu masih bertalun-talun dan gambaran tadi masih meremangkan bulu roma ? Kesannya masih ada kerana kita menyimpannya di dalam hati dalam bentuk maknawi, bukan gelombang atau cahaya sebenar yang terus-terusan membedal dan menyakitkan kita, tetapi simpanan maknawi itu! 

Kita menghimpunkannya sedikit demi sedikit pada setiap hari ke dalam hati. Jiwa akan terseksa, peritnya dirasai setiap masa dalam setiap tarikan nafas bersama keluh serta rimas yang panjang. Dunia fizikal ini hakikatnya adalah gelanggang ujian tetapi kita akan merasakan kesakitannya apabila memorinya disimpan dalam lubuk hati.

Lalu, bagaimana kita mengharapkan ketenangan dari zikir yang dibacakan sedangkan hati sedang sarat menyimpan kesakitan? Zikir tidak berupaya menenangkan hati yang sarat dengan racun dan sampah sarap memori silam!

Akhlak Islamiah menganjurkan sesuatu yang sangat berharga ;

”Ingatlah dua dan lupakan dua, ingatlah kebaikan orang kepadamu dan kesalahanmu kepada orang lain serta lupakanlah kebaikanmu kepada orang lain dan ingat kesalahanmu kepada mereka.”

Pengajaran di atas merupakan panduan asas tentang hati . Ia bertujuan merungkai keluar penyakit yang dideritai oleh manusia. Melupakan kesalahan orang lain adalah proses membuang sifat benci dan dendam daripada hati. Perasaan benci dan dendam yang disimpan di dalam hati seperti mengemam racun dengan harapan orang yang dibenci itu akan mati. Tetapi siapakah yang menderita ? Jawabannya adalah diri sendiri ! Kenapa kita mengambil kesakitan itu sedangkan kita boleh melemparnya keluar . Mengingati kebaikan orang lain pula menjadikan kita seolah-olah berada ditengah-tengah tasik dingin kasih sayang dan kemesraan manusia terhadap kita . Gabungan ini membentuk lanskap hati dan mendamaikan jiwa. Berfikir dan bertindak dengan wajar tentang persoalan hati akan mendatangkan ketenangan bersama simbahan zikrullah secara serentak, akan menyuburkan jiwa bagi memperolehi kepuasan sejati. Ia sama seperti proses kejadian sebutir mutiara yang cantik. Ia terhasil dari pantulan cahaya pada kulit bahagian dalam tiram yang putih berkilau lalu membentuk sebutir mutiara yang putih berkilau . Dalam cengkerang tiram itu terlebih dahulu perlu melepak barulah cahayanya dapat membekas pada butir mutiara tersebut !

Proses memupuk cahaya hati boleh dilakukan dengan meminjam seluruh kebaikan manusia lain, juga memori terindah kita, lalu ia dimasukkan ke dasar hati bagi menolak keluar kedukaan dan kesusahan. Duduklah dengan tenang, pejamkan mata, rehatkanlah seluruh sendi dari hujung rambut perlahan-lahan turun sehingga ke telapak kaki, tariklah nafas perlahan-lahan serta dalam-dalam. Bayangkan kurnia, rahmat dan kasih sayang Allah yang pernah dikecapi, sebut dengan hati akan pujian, tasbih serta kebesaran Allah, lalu biarkan diri beradu di dalam daerah ketenangan itu dalam tempoh yang lama. Setelah terasa rehat di dalam, bukakan mata dan katakan pada diri sendiri seoalah-olah kita adalah seorang yang baru yang ingin menikmati saki-baki kepuasan yang dititipkan oleh Allah.

Ingat,Ketenangan adalah kemuncak di dalam sifat kehambaan maka ia perlu kepada zikir yang sebenar termasuk memelihara kesucian hati. Ia adalah proses yang berterusan.Allah berfirman, “Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha lagi diredhai, masuklah kamu ke dalam kelompok hambaKu dan masuklah dalam syurgaKu”

(Artikel ini pernah dikeluarkan dalam kolum Fikir-zikir dalam majalah ANIS...sahabat-sahabat sila dapankan majalah ANIS keluaran terbaru untuk berkongsi banyak tip dan panduan.

0 comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP