RAKAN SIBER

Thursday, April 23, 2009

pesta buku

Alhamdulillah tengahari yang cerah dapat makan tengahari dengan Nasri dan Zuraimi Galeri Ilmu di sebuah restoran di dalam kompleks belibelahThe Mall. Kunjungan orang ramai ke pesta buku hari ini di PWTC menunjukkan warga Malaysia yang cintakan ilmu. Ia memberi sinar tentang kualiti hidup insan dengan pengisian minda melalui bahan bacaan berharga. Agak malang apabila melihat kepada perkembangan semasa, khalayak sering didedahkan kepada media dengan bahan murahan yang tidak membina minda.

Kita yang duduk berjam-jam menonton tv dihidangkan dengan celoteh kosong sama seperti mengunyah makanan ringan, tidak berkhasiat dan kaya dengan garam, perisa tiruan dan warna beracun. Potensi ajaib akal dibazirkan begitu sahaja sejak dari kecil sehingga dewasa. Benar kata-kata seorang pengacara yang membincang fungsi internet dengan tamsilannya; " Alangkah ruginya memiliki sebuah Ferari tetapi hanya digunakan untuk membeli ikan di pasar borong!" Alangkah rugi memiliki keajaiban akal dengan potensi raksasa tetapi hanya digunakan untuk perkara kecil, remeh dan kelakar kosong yang dibuat-buat.Sejarah mengajar, tidak ada sebuah tamadun pun yang terbina tanpa membangunkan terlebih dahulu fungsi akal rakyatnya.

Bagi ummah gemilang yang dibangunkan oleh Rasulullah kalimat pertamanya adalah : "Iqra' / Bacalah ! " Kemudian daripadanya tercetuslah tamadun hebat, langit sebagai silingnya.Bagi para pengujung yang pulang mengheret beban bahan bacaan, syabas ! anda telah melabur untuk sesuatu yang betul kerana: "Manusia ialah apa yang dia fikir, dia fikir ialah apa yang dia baca !"

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP