RAKAN SIBER

Friday, June 12, 2009

Apabila Sakitnya Di Dalam


Ketika ingin mengeluarkan wang dari mesin ATM, saya terbaca satu iklan yang tertampal pada dinding berdekatan mesin ATM itu. Lebih kurang ia berbunyi begini :


Jangan melayan sebarang SMS yang anda terima yang meminta nombor akaun atau kad kredit anda. Sekiranya anda melayan atau membalas mesej tersebut mereka boleh mengakses ke dalam akaun anda!

Abaikan SMS tersebut.

Saya rasa berterima kasih kepada pihak bank yang mengingatkan perkara penting ini. Dari sudut lain saya teringat kepada pertemuan saya dengan seorang sahabat. Mari kita kongsi secebis kisah hidup ;



Petang itu kami berdua duduk menghadap tasik di Desa Park City, dua cawan kopi bersama roti bakar memberikan aroma memperisa pertemuan di petang yang damai itu.

”Saya ada hak untuk membalas penganiayaannya...”

Tegas bicaranya memulakan perbualan, dalam nadanya berbaur luka dan kesakitan yang dipendam. Matanya lemah merenung ke dalam mata saya, menagih perhatian dan sokongan.
Saya hanya diam memerhati wajahnya yang mendung. Sedikit saya merespon itu masih belum cukup baginya meredakan gejolak lava di dalamnya.

”Saya boleh mendoakan kehancurannya. Bukan saya yang membalas tetapi meminta agar Allah memberikannya balasan yang setimpal. Nabi Musa pernah meminta agar musuhnya dimusnahkan.” Panjang lebar penjelasannya.

”Saya sudah bertanya kepada beberapa orang ustaz dan mereka kata ok!” luahnya penuh yakin , bertali arus dengan sandaran dan reference penuh berautoriti. Saya mengangguk-angguk merespon, dengannya diharap dapatlah sedikit menawar bisa dari kesakitan yang telah dimaklumkan kepada saya lewat e-mail sebelum ini. Ia berkenaan rakan kongsinya yang pecah amanah, songlap duit dan lebih pedih memburukkan dirinya kepada orang lain. Dia merasa reputasinya telah benar-benar tercalar.

“Benar… itu hak kita sebagai orang yang teraniaya.” Saya mengiyakan hujahnya sebentar tadi, membetul duduk mengemas kuda-kuda.

”Tetapi sebenarnya kita ada beberapa pilihan dalam hidup ini.” Tutur saya, cuba membawa ia melayang keluar dari gelutan masalahnya. Dia mendengar dengan teliti bersandar seperti mempersiapkan pertahanan.
”Maksudnya ... saya kena sabar sahaja?” Tingkahnya memangkah, jelas dia tak berapa selesa.
Saya memamah roti bakar, di lidah terasa keenakan rasa kaya dan butter.

”Pilihan itu ada kat sini..” Saya mengisyaratkan kepala tanpa mempedulikan argument dia tadi. Dia pula menjamah roti bakar terdengar bunyi rangup, saya biarkan dia menikmati kelazatan roti bakar tersebut.
” Apa yang ada dalam minda kita, membentuk keputusan dan nanti bakal menentukan apa rasa kita.” Saya sedikit berfalsafah, dia fokus.

”So..dia tu macam mana ? Takkan nak biar sahaja...” Ujarnya mencelah, sedikit mencebik. Dia itu tentu si polan yang membikin dia bermasalah. Nampaknya dia ’mesra’ betul dengan si polan itu sehingga tak mahu berpisah daripadanya sekejap pun.

”Begini..” saya memulakan kembali bicara sambil menjeling pada minatnya.

” Orang yang berbuat tidak betul itu adalah tanda yang ia sedang menderitai sakit di dalam. Dia menanggung kesakitan lantas dia cuba pindahkannya kepada orang lain melalui umpat, caci, maki dan tohmah. Kesakitan rohani ini cuba di hantar seperti mengirim dan menerima sms.” Saya beranalogi memudahkan faham.
“Apabila dia berjaya mengirimkannya kepada orang lain dia akan berasa puas demi meringankan kesakitannya itu !”

”Masalahnya adalah kita yang bermurah hati menerimanya, lalu kita pun menderitai kesakitan itu. Sekarang ia telah berkembang dan apabila kita berniat membalas kembali maka kita sedang mengganda dua kesakitan itu, bila dia menerima kembali dan mengirim ia telah mengganda tiga sehingga tidak terbilang lagi jumlahnya!”
Inilah yang digambarkan oleh Allah tentang sifat orang munafiq :

Dan di dalam hati mereka ada penyakit lantas ditambah oleh Allah kesakitan …
”Kita yang membuat pilihan untuk menerima kesakitan itu!” Sekali lagi saya menunjuk isyarat kepala, dia mengangguk , cahaya di mukanya sedikit bersemangat.

”Jadi saya selama ini membuat pilihan yang salah ?” Ajunya menagih kepastian , saya rasa saya tak perlu menjawab.

”Bila kita melayan dengan asyik berfikir, ambil peduli sangat, termasuklah ambil berat agar dia kena hukuman, kita sebenarnya sedang receive penyakitnya.” saya cuba bercakap perlahan-lahan, satu persatu.
”Apa kita rasa dalam hati, sakit bukan ?” Tanya saya, dia mengangguk berkali-kali.

”Sedangkan sebelum ini rasa sakit itu tiada.”

Saya mengemas hujah disana sini bagi menjelaskan kepadanya punca kesakitan yang sedang ditanggungnya itu.

”Dan kita harus ingat bahawa kita hanya ada seratus peratus. Bila sebahagian besar peratus kita habiskan memikir tentang apa yang dia kata dan apa dia buat pada kita, peratusan untuk bertindak wajar semakin sempit dan akhirnya minda kita buta, jalan kita mati dan kita tidak nampak perkara lain selain dari dia!” Saranan saya bertalu-talu seiring dengan kopi kami yang kian surut.

”Sekarang jangan pedulikan dia , buktikan dengan berusaha lebih keras untuk berjaya kerana hasil dari usaha kita lebih tajam dari kata-katanya.” Saya memperlahankan nada mencari tempat parkir bagi perbualan kami.

”Nampaknya tak perlulah saya doakan apa-apa tentang dia... kan?” Pertanyaannya bernas, nampak ada cahaya di hujung terowong.

Sekali lagi saya tak perlu jawab soalannya kerana kemudian dari itu perbincangan kami begitu positif, dia telah 'berpisah' dengan si polan dan perbincangan kami berlegar mengenai hal-hal baru dan peluang dalam bisnes untuk lebih maju. Bicaranya begitu bertenaga sekali, mungkin khasiat kopi itu mengapung kembali semangat pahlawan dalam dirinya yang selama ini kusam.

Saya melihat sesuatu daripadanya, ia tentang musibah yang di datangkan oleh manusia lain kepada kita. Sebenarnya ia adalah kesakitan dalaman mereka yang mereka ingin agihkan kepada kita. Jadi jangan menerima atau mengambil kesakitan itu. Abaikan sama sekali apa-apa provokasi daripadanya dan fokus kepada keperluan kita yang telah dirancang sejak sekian lama.

Dalam kitab Minhajul Abidin, pada bicara Imam Al Ghazali mengenai jalan yang patut ditempuh untuk menghampirkan diri kepada Allah adalah dengan mengetahui halangan-halangan dan cara mengatasinya. Di antara halangan besar yang disebutkan adalah manusia yang ada di sekitar kita. Jalan keluar untuk itu adalah dengan ’uzlah’. Dalam kitab itu dititipkan nasihat agar, jangan tingkah laku manusia yang hasad disekeliling kita menjadi penghalang kepada usaha mendekat diri berbakti kepada Allah atau sesama makhluk. Uzlah dalam ertikata lebih praktikal menurutnya adalah tidak terkesan atas sebarang tindak balas mereka walaupun masih bergaul dengan mereka. Inilah persiapan minda memperkasa akal sebelum ianya menjadi picu untuk kita bersifat dengan sifat-sifat terpuji ( mahmudah) yang lain.

Justeru itu, persiapkanlah minda untuk beruzlah di dalam massa ! Janganlah sikap mereka itu menyibukkan kita kepada sesuatu yang lebih utama iaitu kejayaan kita sendiri. Sama seperti notis dari pihak bank mengenai sms asing yang meminta nombor akaun kita, jangan terima dan abaikan !! 

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP