RAKAN SIBER

Monday, June 8, 2009

APABILA KEMARAHAN JADI PENGGERAK

Ketika saya seorang diri duduk menikmati sarapan pagi di sebuah restoran mamak, saya dapati meja di sebelah saya penuh dengan sekawan sahabat yang asyik berborak dengan nada tinggi. Butir bicara mereka begitu jelas, saya seperti mendengar radio dengan frequency modulation (FM) nyaring dan menggetarkan. Topik bicara mereka berlegar mengenai isu-isu semasa dan setiap seorang menyumbang pendapat serta meluahkan apa yang terbuku di dada masing-masing. Sambil mengunyah roti telur, kelihatan mereka lebih panas dengan sumber-sumber yang dikongsikan sesama mereka. Kemarahan mengambil ruang dalam bicara pedas mereka, kebencian kedengaran seperti letusan bom daripada setiap mereka bergilir-gilir. Dalam gempita itu saya termenung dan fikiran berangkat jauh ke sekitar tahun 90-an, saya kongsikan secebis catatan perjalanan seribu pengajaran,
Saya masih ingat perjalanan pada petang itu begitu sukar. Ketika itu suasana di Mindanao masih bergolak di antara pejuang-pejuang Moro dan pihak tentera Filipina. Saya bersama seorang sahabat warga Mindanao, saudara Abduh memilih menaiki Jeepney yang merupakan kenderaan awam popular di sana. Jeepney itu membelah rebas hujan di atas jalan raya berlopak membuatkan kami terhinggut-hinggut, kepala para penumpang hampir terhantuk sesama sendiri. Ketika menuruni cerun pula tangan terpaksa di pasak ke kiri kanan memegang apa saja yang boleh agar tidak terjerumus ke bawah tempat duduk. Dalam samar petang masing-masing duduk membisu melayan perasaan sendiri, bunyi deru angin di luar dan enjin Jeepney meraung-raung menjadi simfoni penuh serak!
Tiba-tiba Jeepney berhenti, brek derasnya memperosok kami yang berada di belakang. Para penumpang bertanya sesama sendiri sambil mencari jawaban kenapa berhenti. Rupanya ada sekatan jalan raya di hadapan, para tentera kerajaan Filipina dengan M-16 serta pakaian celorong celoreng mengarahkan kami keluar. Saya mengangkat kening kepada saudara Abduh, dia hanya mengisyaratkan agar tenang dengan kerlingannya yang bersahaja. Tentera mengarahkan kami semua turun dengan tangan di kepala menghadap Jeepney . Saya dapat merasakan suasana begitu tegang, jantung berdegup kencang, saya cuba tenangkan diri dengan bebarapa zikir dan bacaan ayat suci. Apabila tentera itu sampai kepada saya, M-16 diacukan ke belakang kepala , alangkah tingginya tekanan di dalam. Saya hanya menundukkan kepala akur, kedengaran mereka bercakap dalam bahasa Tagalog sesama sendiri dengan agak lama dan bertanya ke mana saya ingin pergi. Saat itu saudara Abduh segera mencelah dan menyebut nama sebuah Masjid di sebuah kampung . Beberapa minit kemudian mereka melepaskan kami pergi, saya menarik nafas yang dalam, petang itu saya rasakan sungguh panjang !
Apabila sampai ke musolla di pinggir tasik Marawi itu saya dapati keadaannya begitu daif buat di panggil sebuah masjid dengan hanya atap zink dan tiang tanpa dinding serta lantai papan yang jarang-jarang. Saya sempat berbual dengan beberapa orang di sana. Daripada perbualan itu saya tahu mereka adalah pejuang-pejuang yang mengangkat senjata sebagai gerila di dalam hutan. Di sebalik susuk tubuh, wajah yang kering dan semangat yang kental saya cuba menghayati denyut nadi dan semangat yang mengalir dalam jiwa mereka.
Ketika sedang berbual-bual itu, seseorang yang ada di situ tiba-tiba kelihatan sangat gelisah, dia jadi tak tentu arah perubahan sangat ketara pada wajah dengan peluh bersimbah serta tutur katanya putus-putus, ini merisaukan saya. Dia menggigil seperti seorang ’Mat Pit’ yang ketagih marijuana atau LSD. Beberapa saat berlalu, suasana kembali menjadi seperti sediakala. Dia kemudian menjelaskan mengenai keadaan dirinya sebentar tadi, kerana pada saat itu ada sebuah helikopter yang terbang agak rendah dan berlegar-legar di atas kepala kawasan masjid.
” Saya tidak boleh mendengar bunyi berdengung itu kerana kalau di dalam hutan sudah tentu kami akan menembaknya.” Ujarnya dalam bahasa Inggeris dalam dialek Sepanyol pekat penuh semangat. Helikopter itu mendidihkan semangatnya, bunyi berdengung dan bilah kipas itu meledak api dalam dadanya.
’’Peperangan telah jadi darah daging kami.” Itu ungkapannya berkali-kali, sahabatnya yang lain mengangguk-angguk mengiyakan. Saya tidak menyangkal semangat juang mereka yang tinggi kalau tidak masakan pihak Manila masih belum berjaya mengalahkan mereka.
Pada malam itu seperti yang diaturkan semua berkumpul di masjid, para jemaah solat di dalam samar-samar gelap malam, masjid itu hanya dilimpahi cahaya pelita minyak gas yang di letakkan di setiap penjuru. Sehabis solat maghrib saya diminta membacakan tahlil dan sedikit kuliah. Apa yang menyentuh hati adalah, apabila meminta agar mereka duduk rapat-rapat dan membawa perasaan dan hati agar diheningkan kepada kebesaran Allah, mereka semua patuh dengan penuh kerendahan. Saya memulakan dengan al fatihah lalu mereka mengikut beramai ramai dalam suara tinggi, beralun dan serentak. Apabila saya meninggikan suara untuk menyebut kalimah La ilaha illah.. suasana bertukar menjadi begitu syahdu, para jemaah duduk semakin merapat dan beramai-ramai mengucapkan tahlil dengan suara meninggi dengan alunan irama yang tersendiri, esakan dan tangisan jelas kedengaran. Pada malam itu kami bertahlil dengan lama, bercampur antara tahlil, suara, rasa serta airmata para pejuang Moro dan masjid itu jadi saksi.
Sehabis program itu mereka mengakui satu perkara. Sesuatu yang mereka terlepas pandang selama ini di dalam agenda perjuangan mereka. Ia adalah betapa asingnya mereka dengan amalan yang mendekatkan diri dengan Allah. Keadaan darurat itu menjadikan mereka semakin kasar. Berapi-api di luar tetapi beku di dalam!
Semangat berjuang berada di puncak awan tetapi rohani berada di dasar tasik kontang, kering dan gersang! Mereka dalam irama pilu juga mengakui bahawa sebenarnya mereka telah letih berperang, anak-anak pula kian jahil tentang agama kerana sibuk mengangkat senjata, membaca Al quran jauh sekali, mereka boleh bertakbir bersiponggang memecah semangat tetapi tidak tahu untuk takbir dalam solat, bila ditanya tentang masa hadapan anak bangsa, mereka tidak punya jawaban yang pasti kerana hidup bukan mereka tentukan, tetapi mereka seperti bola yang di sepak ke serata tempat tidak tahu lepas ini ke mana.
Bila rohani tiada pengisian sedangkan mereka terus berjuang, maka apakah pendorong di dalam bagi perjuangan mereka ?
Saya cuba mengutip jawaban untuk belajar dari mereka dan jawabannya adalah:
” Anak kami ditembak, ibu bapa kami dibunuh seperti binatang !” Alangkah peritnya hakikat ini bagi mereka, lautan simpati kita tidak mampu merawat kesakitan mereka itu. Tetapi sejujurnya apabila kita mencari jawaban tentang masa hadapan, apakah jawabannya apabila penggerak perjuangan itu hanyalah disandarkan kepada luahan dendam, kebencian dan kemarahan. Perjuangan nampak hebat tetapi asasnya amat goyah. Bagaimana kita boleh harapkan sesuatu yang hebat untuk jangka panjang? Soalan ini bukan perlukan jawaban tetapi sebuah perancangan dan tindakan konkrit lagi istiqomah!
Kemuncak acara malam itu adalah jamuan makan, kami dijamu dengan ikan Talapia segar dari tasik Marawi yang lebar serta kegelapan malam yang sarat bersama catatan perjalanan tentang manusia, perjuangan dan penggerak di dalam perjuangan. Malam pekat akhirnya berlabuh di tasik itu.
Mari kita membuat perbandingan agar boleh belajar sesuatu tentang perjuangan. Rasulullah adalah contoh seorang pejuang tulen. Dengan semangat juang tinggi ia berjaya merubah dunia, tetapi semangat juangnya itu terbina di atas asas kukuh apabila tapaknya adalah persoalan iman, sendi-sendinya adalah syara’ dan buahnya adalah akhlak. Sesebuah perjuangan yang bergantung kepada kemarahan dan kebencian akan menjadikan kita bersemangat tetapi tidak menjadikan kita semakin kukuh. Ia seperti api yang bergantung dan menumpang kepada kayu api yang kering ( objek yang sangat lemah) untuk dia hidup apabila kayu api tiada ( atau basah ) perjuangan jadi luntur yang tinggal hanya asap yang kian sirna.
Perjuangan yang hanya membakar emosi nampak hebat kerana berkumpul dengan menyeringai kemarahan dan menyemai kebencian tetapi dimanakah kesudahannya ? Kita mungkin juara untuk jangka pendek tetapi kita tewas untuk jangka panjang kerana apabila manusia dibina kebenciannya, sifat itu akan tumbuh dengan subur dan nanti dia akan sampai ke tahap ketagih kepada perkara negatif ( negaholic). Apabila ini berlaku ia akan membakar rentung kaedah positif yang sepatutnya: Soal iman tak dibicarakan, didikan serta tarbiah hati jauh sekali, syariat hanya jadi mainan ucapan dan akhlak Rasulullah jauh panggang dari api !
Natijahnya, kita sedang mempersiap sebuah generasi yang sangat lemah sebenarnya. Inilah yang sedang dideritai oleh umat Islam di segenap penjuru alam, kita terlepas pandang terhadap kaedah Rasulullah di dalam keghairahan kita memperjuangkan agama yang di bawa oleh Rasulullah.
Ketika bergelut mencari jawaban dari balik tabir realiti itu, saya tersedar diri masih terperangkap di antara siratan sirah Rasulullah, dalam memori di Mindanao dan sekawan sahabat tadi masih belum reda reda mengujing kemarahan.
”Mamak ! kira... ” Saya mengelui mamak untuk membuat bayaran.
Saya perlu pergi dulu...
Salam kasih sayang.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP