RAKAN SIBER

Thursday, June 4, 2009

Si cerdik, si bodoh dan si bahalol

Malam itu suasana di bandaraya Kota Kinabalu begitu damai, rebas hujan menghadiahkan kedinginan tersendiri. Bandar yang dikepung lautan dan dipagari gunung sentiasa seperti sebuah lukisan yang cantik.
Saya bersama seorang kawan saudara Shahir di lobi sebuah Hotel. Bangunan indah itu tersergam di tepi laut, menunggu seseorang yang istimewa. Tidak lama menunggu tetamu itu pun tiba, beliau adalah Pak Habib (S.H Alattas) penulis politik tersohor tanah air. Kami bersalam mesra dan memilih duduk di ruang kafe lobi dengan pemandangan melewati dinding cermin. Luar sana samar-samar kelihatan di pelabuhan lampu kapal berkelip-kelip teroleng-oleng oleh gelora lembut laut.
“Dah berapa lama di KK?” soalan awal dari Pak Habib penuh mesra.
Saya menjawab dan kami bermula dengan bertukar soalan tentang perkara remeh, menjalin kemesraan seperti pertemuan-pertemuan biasa.
Dalam beberapa minit awal saya telah menerima pujian, rangsangan dan dorongan yang memberangsangkan dari Pak Habib, saya rasa lobi dan kafe itu berwarna indah.

Tiba-tiba Pak Habib menukarkan nada suaranya menjadi tinggi bercakap beberapa perkara dengan nasihat serius, tetapi intonasi itu yang merisaukan saya. Banyak sekali yang dihamburkan sehingga orang-orang yang lalu lalang di lobi memandang saya dengan simpati kerana menyangka yang saya sedang dimarahi dalam irama suaranya yang tinggi itu. Saya tidak dapat mengingat semua yang dikatakan tetapi ada mutiara yang suka saya kongsikan.
”Manusia ini ada tiga jenis.” Ujarnya membetul kedudukan dan tangannya mengisyaratkan tiga sedang pandangan matanya memaku kedalam mata saya.
” Pertama yang cerdik. Mereka ini belajar dari apa yang berlaku pada orang lain kemudian mencontohinya. Golongan ini tidak ramai kerana manusia selalunya tidak mahu berlajar dari kejayaan dan kegagalan orang lain !” Keras dan meninggi nadanya.
”Yang kedua yang bodoh, golongan ini menyalin kelemahan orang lain lalu menderitai kegagalan berulang-ulang.” Bebola matanya bersinar, urat lehernya menegang.
“Yang ketiga, golongan bahlol !!!” Suaranya begitu kuat sehingga receptionist kelihatan memanjang leher meninjau, ada bahang panas di kafe.
“Golongan ini walaupun telah terhantuk dengan kegagalan tetapi menyalahkan orang lain demi untuk menjaga maruah diri, kononnya ! Mereka tidak akan belajar sebaliknya melempias kelemahan kepada pihak lain !” Ujarnya berlarut-larut dengan contoh dan ambilan cerita di sana sini.
Sesekala saya menjeling jam di dinding hampir lima belas minit masa berlalu dengan nada tegang dan saya hairan apa yang menyinggung perasaannya sehingga dia bercakap kepada saya dalam nada begitu.
Mungkin memahami gelut dalaman saya, Pak habib menepuk bahu saya dan berkata;
” Saja je , nak uji anta...”. Ujarnya begitu mesra.Tentu sekali saya tersenyum gembira, setidaknya episod kegoncangan 3.5 pada skala richter telah berlalu. Kalau itu ujian luluskah saya? Saya tidak hiraukannya...
Kami habiskan malam hebat itu dengan cerita-cerita politik dan perkongsian pengalamannya yang sarat, sungguh menyeronokkan !
Berbalik kepada tiga golongan manusia yang disinggung tadi, memang amat benar.
Golongan pertama adalah golongan cerdik, mereka ini sentiasa melihat sekeliling dan mengambil iktibar dari apa yang berlaku. Setiap perkara dalam hidup ini telah tersedia hukum alam. Sesuatu itu ada sebab dan akibat. Orang yang melakukan kebaikan balasannya pasti kebaikan begitulah sebaliknya. Inilah yang kita lihat di sekeliling kita setiap hari. Malang bagi kita kerana tidak mahu belajar dari kejayaan orang lain begitu juga kegagalan mereka. Bila kita bercakap tentang putaran yang berlaku di sekeliling kita termasuk sejarah, kita biasa mendengar orang berkata History repeated itself.
Tetapi oleh kerana tidak peka dan tidak mahu belajar maka kita terperangkap dengan masalah yang berlaku kepada orang lain, bila kita tersedar ianya telah lewat kerana kita sedang menderitai kesan dan akibat daripadanya.Inilah golongan bodoh.
Tetapi lebih malang dari golongan ini adalah golongan bahlol yang apabila sesuatu padah di terima ia tidak dapat menerima hakikat bahawa ia telah salah. Demi untuk menyelamatkan maruahnya, ia sebaliknya berfikir untuk menyalahkan orang lain. Dia akan membina ’kubu alasan’ untuk melindungi dirinya, akhirnya ia buta tentang rahsia kelemahannya. Hidupnya berpusatkan kepada mempersiapkan siri alasan. Dia tidak akan serik dan sedar sebaliknya akan menanggung kegagalan demi kegagalan di sepanjang laluan hidupnya.
Justeru itu, jadilah orang cerdik yang mempersiapkan minda untuk belajar pada setiap hari, meneliti dengan mendalam apa yang sedang berlaku, kaitkan dengan sejarah lampau, lihat rahsia kejayaan orang berjaya, kaji kenapa ada yang gagal sejak dari permulaan di tengah dan dipuncak dan bermuhasabahlah sentiasa.
Benarlah junjungan besar rasulullah bersabda :
” Orang yang bijaksana ialah orang yang sentiasa melihat ke dalam dirinya sendiri...”
~ Hadis Riwayat At Tirmizhi

Salam Kasih Sayang,

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP