RAKAN SIBER

Thursday, June 4, 2009

Pancaindera Ke Lorong Rasa

Suatu pagi yang damai saya bersama ayah ke tepi Sungai Jelai untuk mengambil ikan Patin sangkar yang di tempah daripada Pak Man seorang pengusaha ternakan ikan sangkar yang terkenal di sekitar daerah Jerantut. Ketika beliau menyauk dan mengurus segalanya , saya mengambil kesempatan menuruni cerun dengan laluan curam melalui celah denai. Belukar sekelilingnya adalah fenomena alam yang sangat indah begitu mengasyikkan. Bayu desa berpuput menghembus lembut, ranting dan daun belukar meliuk lentuk mengikut tarian alam . Di tepi sungai pohon Ara dengan banir tegap menjuntai lebat menggugurkan buahnya buat makanan ikan-ikan kecil di dalam sungai. Tebing landainya bertaut erat dengan gigi air, sedang arus sungai Jelai begitu leka mengalirkan berjuta-juta gelen air di dadanya tak henti-henti.

Di sekitar laluan itu tumbuh meliar paku pakis (Diplazium esculentum). Saya mengambil kesempatan memetik pucuk pakis meliar buat sayur makan tengah hari bersama ikan Patin masak tempoyak , regu yang amat serasi !
Ketika sampai di gigi air, kaki saya terpijak lumpur pinggir sungai. Tika air berkocak, naik sama bau lumpur sungai dengan sejenis aroma yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Bau itu tiba-tiba mengingatkan saya sebahagian perjalanan masa lalu semasa kecil di tepi sungai Pahang, ia hampir menghimbau segala-galanya. Di hujung kenangan itu menyerbu masuk ke dalam hati segumpal rasa yang sukar ditafsirkan. Seketika singgah di perhentian memori rasa segar menyelinap, di sanubari terkocak air di tasik masa dulu-dulu yang permai.
”Zul.. !”
Tiba-tiba saya tersentak dengan panggilan ayah. Lamunan saya tadi mencair.
Saya menoleh, melihat ayah yang sedang melambai memberi isyarat untuk balik dengan beberapa kilogram ikan patin dalam raga. Selamat tinggal Sungai Jelai, pohon Ara, lumpur sungai dan segugus memori yang terapung dari dasar yang dalam...
Pengalaman yang saya alami tadi berlaku kepada semua orang. Ada ketikanya pancaindera menangkap sesuatu yang membangkit kenangan masa lalu kemudian mengheret rasa untuk sesuatu yang kita lupai selama ini. Melihat sesuatu pemandangan, mendengar sesuatu irama, menghidu aroma dan bau tertentu, menyentuh sesuatu permukaan atau merasai sesuatu rasa di lidah, semuanya berupaya menghimbau sesuatu, di hujungnya pula hadir perasaan tersendiri!
Begitulah fungsi tambahan pancaindera kita, bukan sekadar memberi maklumat bagi otak buat menafsirkannya, tetapi ia juga menjadi suis ke bilik kebal memori dan mengalirkan rasa dalam luahan emosi.
Justeru itu marilah menggunakan seluruh fungsi pancaindera dengan mengaitkan setiap suatu dengan kasih sayang Allah agar ilmu dan maklumat yang disimpan menjadi kukuh. Semoga apabila ia hadir dalam wajah memori suatu masa nanti, di sana ada rasa kasih sayang Allah di dalam hati, memori itu juga mendekatkan kita pada Allah.
Allah berfirman :
” Hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang...”

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP