RAKAN SIBER

Monday, May 25, 2009

Hazirah


Adinda Hazirah

(Buat seorang adik yang telah genap 20 tahun meninggalkan kami..)
Sejauh ini perjalanan waktu
Meninggalkan batu-batu perjalanan di belakang.
Minit letih menghitung
Saat kian lesu
Namun...
Memori terhadapmu tidak pernah jemu
senyum, tawa dan tangismu masih mengembun
sesegar subuh di hari terakhir mu
saat pergi meninggalkan kami terpinga-pinga
untuk menelan hakikat, bahawa

kita tidak akan dapat berkumpul bersama lagi.
Berseloka sepanjang waktu cuti
berkesah tentang itu dan ini
berkongsi derai ketawa memanjang.
Kita tidak akan dapat berkumpul bersama lagi,
Mengalun takbir di tabir malam-malam lebaran yang indah
Tika kita bersalaman dalam sedu air mata bersatu
kasih bertaut ibarat laut berdebur
ibarat awan gemawan
ibarat bayu dan bukit
ibarat warna pada kanvas.
Kita berkongsi segalanya
kadang-kadang pada hanya leleh air mata kita yang hangat…
Pilunya hakikat hidup ini kerana noktahnya adalah kematian.
Sakitnya sebuah perpisahan kerana cinta kita yang dalam itu.
Peritnya hukuman kerana rindu mengalir ke muara senja tiada penghujung
Tingkah tidak bersahut, semua terendam dalam memori bisu.
Segumpal duka bercerita tentang kisah singkat ini
Kenapa dulunya kita tidak ambil peduli tentang harga kesempatan
membazir saat bersama
membuang hari tanpa makna
melengah ke hari esok yang tak pasti.
Namun setelah segalanya pergi
kenapa tidak belajar menghargai
atas apa yang masih ada di dalam genggaman ini
kenapa dibiarkan.
Biar arwah adik mengingatkan
dalam jalan pendek sejuta memori itu...
sedarlah wahai diri
sedarlah wahai hati
hidup ini sebentar cuma
Tasbih waktunya begitu singkat
Kelak kita juga akan berangkat
Bersimpuh di hadapan Tuhan di raudhah damaikah?
Atau di kawah yang dahsyat !

5 comments:

zabidi mohamed June 1, 2009 at 3:40 PM  

salam ustaz,

seronok baca blog ustaz. tahniah. ana ni masih terhegeh-hegeh belajar buat blog. http://zabidiskrip.blogspot.com

jendelahati June 2, 2009 at 11:47 AM  

Salam ustaz,
Membaca puisi Ustaz melontarkan diri saya pada pengalaman 20 tahun lalu. Begitu pantas rupanya masa berlalu.
Menyebut namanya saya hingga kini sentiasa terbayang ingatan pada kelibatnya yang bersahaja namun penuh wibawa selaku seorang naqibah. Didikannya dalam berhikmah masih saya ingati sehingga hari ini. Semoga Allah cucuri rahmat kepada rohnya dan ditempatkan bersama golongan solehin. Amin...

zulramli June 3, 2009 at 3:27 PM  

salam: jendelahati yang budiman,
selaut ingatan kita padukan bersama doa agar didengar..wahai Tuhan perkenankanlah bisik hambamu ini..

zulramli June 4, 2009 at 3:41 PM  

Ustaz Zabidi,
terima kasih atas kunjungan...ana akan ke blog ustaz...Jangan lupa ajar buat skrip ye! Syukran

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP