RAKAN SIBER

Sunday, November 21, 2010

Hati-hati jaga hati


-->
SEMUANYA SOAL HATI

Dalam mencari ketenangan manusia sanggup mendaki gunung tinggi, merentasi laut lepas atau mengembara ke kutub beku, sedangkan hakikat ketenangan itu tersembunyi di sebalik lipatan hati. Namun daerah hati itu sangat luas sehingga kita mungkin tersesat di dalam pencarian itu. Ada manusia menemuinya lalu beroleh ketenangan. Sebaliknya ramai tersesat di dalam pencarian, lalu hidup menghela keluh mendengus kesah. Bila kita mendepani ini, hidup jadi tidak indah serta padat dan sendat dengan krisis yang berangkai

. Cukuplah kita menggambarkannya kerana ia adalah syai’un makruf (telah diketahui ramai). Apa yang lebih penting bagaimana alur keluar bagi persoalan ini yang menjadi dambaan setiap hati.
Mari menghayati firman Allah,
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ (27) ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً (28) فَادْخُلِي فِي عِبَادِي (29) وَادْخُلِي جَنَّتِي (30)
”Wahai jiwa yang tenang pulanglah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha meredhai, masuklah kamu dalam kelompok hambaKu, masuklah kamu ke dalam syurgaKu.”
-Surah al Fajar

Seruan ini merupakan jemputan Allah bagi mukmin yang tenang jiwa saat ia mangadap Allah. Ia bermula dari detik kematian sehinggalah selesai melalui proses pemeriksaan akhir di mahkamah akhirat. Merekalah golongan yang diiktiraf sebagai hamba Allah sebenar serta layak dianugerahkan syurga sebagai balasan. Imam Fakhruddin Ar-razi menjelaskan bahwa, bentuk jiwa yang tenang itu ada pada tiga keadaan semasa hidupnya agar dapat melayakkan diri bagi menerima seruan tersebut. Jiwa yang tenanglah menjadi KPI ( kunci indeks keberhasilan) seseorang terhadap kualiti hidupnya! Hati adalah raja di dalam kerajaan diri. Untuk memastikan segala perkara lain baik, terlebih dahulu baikkan hati.

Ketenangan hati secara langsung mempengaruhi respon seseorang terhadap rangsangan dunia yang pelbagai. Dunia sentiasa menawarkan rangsangan berupa kenikmatan, hambatan melaksanakan tanggungjawab, kekangan merealisasikan impian, tarikan serta tolakan bagi melayan ekspektasi tinggi sekeliling dan termasuk juga siri kesakitan yang dihadirkan oleh ujian.

Orang yang jiwanya tenang boleh merubah segala rangsangan tersebut kepada respon yang positif. Sebaliknya jiwa yang kacau bertindak balas terhadap rangsangan dengan respon yang negatif. Pemilik ’jiwa kacau’, apabila menerima nikmat lupa bersyukur, nikmat tersebut direngguk dengan rasa terkilan dan jengkel di hati kerana melihat nikmat yang tidak dimilikinya atau milik orang lain. Syukurnya sempit dan rasa puasnya tawar. Apabila dia berhadapan dengan tanggungjawab pula penuh dengan rasa sebal di hati disamping bibir berdecip-decip menyalahkan orang lain serta sering culas. Apabila menginginkan sesuatu dia sanggup mengorbankan apa sahaja prinsip hidup termasuk perinsip agama demi mencapai apa yang dicita-citakannya. Apabila dia berhadapan dengan ujian dan mehnah dari Allah, tercabut segala kesabaran serta tergadai sifat redhanya, setiap saat dia rasa tertekan dan memandang ujian dengan penuh kebencian, jangan cakap pasal ada hikmah di balik semua ujian itu anda bakal diherdik !

Sebaliknya, orang yang memiliki jiwa tenang akan bersyukur dengan nikmat walaupun di mata orang lain nikmat tersebut kecil atau rendah nilainya. Dia sentiasa merasa kebaikan Tuhan sehingga tidak nampak kekurangan apa-apa pada nikmat itu. Dia dapat mengutamakan prinsip dalam memburu impian, tiada yang bakal terkorban dalam mengejar cita-citanya. Dia boleh menangani jangkaan orang lain terhadapnya sehingga dia mewah dengan kasih sayang dan memiliki empati yang kaya. Dia dapat berhadapan dengan siri ujian mendatang dengan penuh kesabaran tanpa perlu melibas sekeliling, melempias kemarahan atau tertanam dalam perut bumi kemurungan.

Bagaimanakah ketenangan seperti ini boleh beradu di dalam hati ?
Seseorang itu perlu memastikan terlebih dahulu tiga perkara untuk memperolehi ketenangan hakiki:

Pertama adalah yakin dan berpegang dengan prinsip kebenaran.

Kebenaran adalah perkara asas kepada perolehan ketenangan. Lawan kebenaran adalah kedustaan. Selagi seseorang itu berpegang dengan prinsip kebenaran dan rela mengorbankan apa sahaja kepentingan diri atas nama kebenaran ia berhak memilik ketenangan.
Sebaliknya hidup bergelumang kedustaan walaupun berjaya menipu seluruh penduduk dunia termasuk yang berada di MIR (Pusat kajian angkasa) dia tidak akan memperolehi ketenangan. Kedustaan bukan ibarat pasir dalam kasut yang merimaskan tetapi seperti kaca yang menghiris dari dalam.

Kerana itu amat penting memastikan apa sahaja yang ingin kita lakukan itu tepat dan benar menurut kehendak syarak. Apabila ianya bercanggah, gagahilah diri untuk menerimanya. Saat itu kita perlu korbankan kepentingan diri sendiri demi sebuah kebenaran. Bagi yang meyakini kebenaran dan bertindak selari dengan keyakinannya akan memperolehi ketenangan di dalam hati. Lihat ungkapan nabi Ibrahim,

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِي الْمَوْتَى قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِنْ قَالَ بَلَى وَلَكِنْ لِيَطْمَئِنَّ قَلْبِي [البقرة:260]

Dan apabila ibrahim berkata: wahai Tuhanku perlihatkan kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati Allah berfirman adakah engkau tidak yakin? Ibrahim berkata:bahkan aku yakin tetapi sebagai menenangkan hatiku…”

Benarlah sabda Rasulullah dalam hadis yang dikeluarkan oleh Imam at Tirmizi;

فإِن الصِّدْقَ طُمأْنينة والكذبَ رِيبَة.
أخرجه الترمذي

sesungguhnya kebenaran itu ketenangan dan dusta itu keraguan…”

Perkara kedua adalah hati yang aman.
Aman yang dimaksudkan adalah sejahtera daripada perasaan takut dan dukacita. Dua perasan ini apabila mengambil ruang di dalam hati manusia akan mencabut kesejahteraan di dalam, lalu bagaimana ketenangan boleh menjelma ? Allah berfirman,

{ أَلاَّ تَخَافُواْ وَلاَ تَحْزَنُواْ وَأَبْشِرُواْ بالجنة } [ فصلت : 30 ]

sesungguhnya jangan kamu takut dan jangan berdukacita dan berilah khabar gembira dengan syurga

Takut dan dukacita itu adalah terhadap urusan duniawi. Perasaan takut dan gundah ini selau menjadi sebab kenapa manusia sanggup mengorbankan perinsip kebenaran demi mereda rasa takut kepada makhluk dan dukacita terhadap urusan hidup. Untuk membuang rasa ini perlu kepada iman dan tawakkal yang sebenar. Dua perkara ini akan membuang rasa kebesaran terhadap makhluk serta memperbetulkan urusan kerisauan terhadap urusan hidup. Bukan hanya keamanan sesebuah negara itu penting tetapi bagi kerajaan diri, aman di dalam hati adalah syarat bagi lahirnya ketangan hakiki.

Perkara ketiga adalah berzikir kepada Allah
Zikir adalah penyebab paling puncak dalam soal ketenangan hati. Allah berfirman,
{ أَلاَ بِذِكْرِ الله تَطْمَئِنُّ القلوب } [ الرعد : 28 ]
Ketahuilah dengan mengingati Allah hati menjadi tenang

Zikir adalah kerja bibir, hati, termasuk anggota tubuh. Kenapa zikrullah begitu berkesan kepada hati ?
Jawapan kepada soalan penting ini ada pada hakikat kejadian manusia . Roh itu datang dari Allah, maka setiap perkara yang berkaitan dengan Allah akan memberikan kesan langsung kepada roh. Kerana itu sekiranya kita inginkan ketenangan sebenar maka tertib dua perkara di atas harus dipatuhi kemudian melakukan zikir dengan bersungguh-sungguh. Kita telah biasa mendengar perbahasan tentang zikir ini.

Perkara yang perlu ditekankan dalam soal zikir adalah;
  1. Berzikir dengan zikir yang banyak oleh lidah. Ramai beranggapan bahawa cukup dengan hati yang ingat maka kita telah dikatakan berzikir. Ini adalah kefahaman yang tidak menguntungkan bagi hati yang menginginkan ketenangan sebenar. Bibir seseorang itu perlu sentiasa basah dengan zikir-zikir yang banyak baru ianya membekas ke dalam hati. Zikir yang dibuat tetapi sedikit tidak cukup memberi tenaga yang membentuk hati seseorang. Kerana itu kita mendapati sifat orang soleh itu sentiasa tenggelam di dalam menggerakkan lidah serta bibir dengan zikir-zikir tertentu hampir pada setiap masa.
  2. Mengingati di hati apa yang dituturkan lidah. Setelah zikir di bibir yang berjaya didisiplinkan sehingga istiqomah perlu penghayatan pada makna dan pengertiannya. Penghayatan akan menjadikan setiap patah zikir benar-benar menuju terus ke hati. Ia lantas memberi kesan sehingga dengannya Allah mencampakkan cahaya ke dalam hati bersama kedamaian dan ketenangan yang tidak mampu di gambarkan oleh kata-kata hatta puisi sang sasterawan. Inilah yang dimaksudkan sebagai syurga yang disegerakan buat kekasih-kekasih Allah yang ingat kepadaNya sentiasa.

Ketenangan adalah penentu kesetabilan tentang bagaimana kita menghadapi hidup ini, justeru perlu diberikan perhatian paling wajar tentangnya. Ia menjadi penentu saat kita berangkat pergi menemui Allah di hari kematian kita. Hati ini jugalah yang kita pertaruhkan nasib buat keselamatan di negeri abadi seperti firman Allah dalam surah as-Syu’ara’,
يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ (88) إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (89)
Hari mana (akhirat) tidak berguna harta dan anak pinak melainkan mereka yang mendatangi Allah dengan hati yang sejahtera.
Kita dapati bahawa hidup, mati dan hari pembalasan berlegar dalam satu perkara:

Semuanya soal hati !

Salam ukhwah dan selamat meraih ketenangan abadi..

1 comments:

Faradilla Rashid November 30, 2010 at 3:48 PM  

Salam...

Mohon untuk berkongsi artikel ini bersama rakan yang lain... Terima kasih

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP