Harga sehelai tisu
-->
-->
Duduk memerhati di laluan keluar masjid an nabawi, ribuan jemaah daripada seluruh pelusuk dunia kelihatan asyik menikmati cangkir rohani yang menyegarkan. Ibadah adalah santapan rohani yang tiada taranya. Solat, bacaan quran, zikir, selawat dan ziarah maqam rasulullah, semua itu adalah banjiran rasa yang mendamai jiwa.
Dalam gelut rasa itu, tiba-tiba saya seperti tersedar satu perkara setelah tinggal di sana beberapa hari. Saya bertanya satu soalan dalam diri saya sendiri;
Berapa ramaikah selama berada di sana saya dan para jemaah lain saling bersalaman atau bersapaan?
Berapa ramaikah saya lihat para jemaah bertegur sapa, saling berbalas senyuman, menghulur tangan dan menerima salam?
Sejauh mana masjid An Nabawi mengadun rasa ukhwah yang dapat menyatukan umat islam seluruh dunia?
Sejauh mana semua bangsa tanpa batasan dapat bersalaman, bersapaan, berpelukan tanda persaudaraan atas nama Allah.
Sejauh mana kepelbagaian itu disatukan seperti sebuah orkestra yang mempunyai berbagai instrumen tetapi kemudiannya disatukan menjadi sebuah simfoni yang mengasyikkan. Bagaimana untuk merasai bahawa kita semua ini sebenarnya dikat dengan tali Allah, satu ikatan yang lebih kukuh dari ikatan saudara sedarah sedaging?
Memerhati dari Google maps ke arah masjid An Nabawi memanglah kelihatan jumlah umat Islam di situ begitu ramai, semuanya kelihatan tekun beribadah. Mereka datang dengan ikhlas dan pulang ke nagara masing-masing selepas beberapa hari di sana, adakah semuanya telah menemui sesuatu yang berharga di sana ? Ataukah kita tidak sedar bahawa kita sebenarnya telah kehilangan permata paling berharga sewaktu beramai-ramai di masjid an nabawi iaitu:
Ukhwah Islamiah atau kasih sayang semasa saudara Islam.
Dalam menungan muhasabah tentang nasib umat, pada satu subuh ketika musim panas saat menunggu iqomah , saya lemas selesema. Dengan begitu sukar saya mengesat air dari hidung dengan hujung lengan baju kerana tidak membawa sapu tangan atau tisu.
Tiba-tiba, seseorang yang duduk di sebelah saya mungkin dari negara Turki menghulurkan sehelai tisu kepada saya. Beberapa saat saya terdiam , kaget merasai kebaikannya. Saya menyambut mesra tisu itu, mata saya merenung ke dalam ulas matanya... Saya menjumpai kasih dalam remang ukhwah di sana. Saya berulang kali mengucapkan syukran dan alangkah cantik tisu itu pada pandangan saya, alangkah manisnya saat itu! Sesuatu yang saya rasa kosong dalam sesak manusia di masjid an Nabawi itu setidaknya saya temui. Bukan tisu itu yang berharga tetapi kepedulian, perhatian dan persaudaran jauh lebih berat dengan timbangan yang tidak mampu dimetrikkan!
Saya kira fitrah ukhwah ini masih ada dalam dada umat tetapi malangnya tiada seorang mutawwif pun yang mengingatkan para jemaah dan penziarah kerana sibuk menyulam hujah tentang fadhilat bagi ibadah sunat. Tiada ulama atau ustaz yang bersungguh-sungguh menceritakan persoalan ukhwah ini kerana sibuk dengan keutamaan itu dan ini , lupa wajibnya ukhwah!
Adakah kita hanya ingin jadi golongan yang membenarkan hadis nabi :
عن عمير بن إسحاق؛ قال: "كنا نتحدث أن أول ما يرفع من الناس الإلفة".
رواه البخاري في "الأدب المفرد".
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam kitab Al Adabul Mufrad, dari Amir bin Ishaq: adalah kami berbicara sesungguhnya perkara pertama yang diangkat daripada manusia adalah kemesraan.
ROH MASJID
Jika melihat kepada sorotan lampau, Masjid An Nabawi bukan sekadar telah berubah fizikalnya. Kalau dulu di zaman Rasulullah SAW masjid ini adalah bangunan petak empat segi, dinding dari batu granit, atap pula hanya sebahagian bertutup dengan pelepah tamar, sebahagian lain langit biru adalah bumbungnya.
Apabila sujud, muka para jemaah akan tertomos atas pasir gebu. Alangkah dhoifnya fizikal masjid an Nabawi saat itu untuk dibandingkan dengan sebuah masjid agam yang terbina gagah pada hari ini. Seluruh bangunan masjid an nabawi pada hari ini terbina daripada konkrit pejal disalut marbel berkilat seperti cermin muka. Qubah indah terletak dengan warna keemasan memukau pandangan.
Di dalam ruang masjid boleh sujud di atas karpet buatan tangan serta penghawa dingin berhembus mengoles kulit penuh nyaman. Tong-tong membekal air zam-zam sentiasa tersedia sama seperti kedai Seven-Eleven, dua puluh empat jam.
Perubahan ini tentu tiada masalah, bahkan para jemaah tentu berasa syukur dengan kemudahan yang tersedia untuk melaksanakan ibadah dengan baik.
Tetapi masjid agam ini nampaknya tidak berjaya mewakili fungsi masjid an nabawi pada zaman rasulullah. Dahulu masjid batu empat segi bujur ini merupakan tempat Islam membina asas . Garis horizon sirna di antara langit ke tujuh dan bumi kerana di situ tempat wahyu mencurah turun. Di situ tempat kuliah Rasulullah dan halaqah para sahabat serta ahli suffah. Di sana juga tempat menyusun strategi peperangan bersama sahabat-sahabat besar RA sehinggalah kepada masalah peribadi para sahabat yang tangani oleh Rasulullah.
Yang lebih penting di masjid itu adalah, ia merupakan perhumaan subur buat membuahkan ukhwah islamiah dan kasih sayang di kalangan sahabat. Di sana mereka dipersaudarakan di atas nama Allah. Suatu ikatan kuat yang manusia tidak boleh campur tangan untuk merungkainya. Satu ikatan sangat kental sehingga berjaya menjadikan para sahabat sebagai terbaik dikalangan terbaik. Saat itu fizikalnya dhoif tetapi roh masjid itu hidup bertenaga.
Berbanding hari ini fizikal masjidnya hidup, rohnya sakarut maut!
0 comments:
Post a Comment