RAKAN SIBER

Wednesday, January 30, 2013

Berikan Bantuan, Terimalah Perkenan

Petang itu, dalam perjalan pulang dari tempat kerja di tengah-tengah kekalutan serta simpang siur dan gempita kereta yang rum-rum di jalan raya, saya melihat sepasang suami isteri sedang berjalan memipir di tepi jalan . Si suami berpeluh-peluh menuntun motosikalnya dengan seribu kepayahan sementara si isteri mengheret langkah di belakang sambil mencebek topi keledar menapak penuh sukar, dia sarat mengandung. Terlukis pada wajah mereka warna hitam keperitan seperti aspal, resah dan gusarkan tentang keselamatan diri juga tentunya segumpal rasa malu yang pahit. Alangkah kesat rasa di hati apabila melihat suasana begini dan lebih perit kerana tidak dapat menghulurkan bantuan yang sepatutnya. Fenomena sebegini seringkali kita saksikan, biasanya kita hanya memerhati dengan sayu kemudian beberapa kilometer di hadapan segalanya luput dari ingatan bersama dendangan lagu dari corong radio dan penghawa dingin kereta yang nyaman!


Kita terbiasa dengan melalui hidup tanpa membantu. Kita tidak pernah bangun pada hari yang baru dan beniat untuk membantu seseorang pada hari ini. Kita tidak pernah bertanya : “Siapa yang perlu aku berikan pertolongan pada hari ini ?”

Antara soalan yang sering dikemukan oleh Rasulullah kepada para sahabat selepas selesai solat subuh adalah : ” Siapa pada pagi ini telah menolong saudaranya ?”

Rasulullah contoh seorang murabbi yang berjaya membentuk minda di kalangan para sahabat : Hidup untuk membantu.

Sementara kita pula berasa selesa dengan persekitaran diri sendiri dan apabila kita berhajat kita akan bermohon ke hadrat Allah. Sedangkan Rasulullah memberitahu bahawa pertolongan Allah untuk kita bergantung kepada sejauh mana kita membantu saudara kita.

Saya teringat kepada seorang sahabat baik semasa menuntut di Kelantan suatu masa dahulu, dia sentiasa mempersiapkan di dalam raga motornya beberapa gelen minyak petrol. Apabila dia berjumpa dengan orang yang mengheret motosikal kerana kehabisan minyak dia akan memberikan bantuan dengan memberikan minyak petrol tersebut.

”Saya rasa sangat bahagia apabila melihat mereka gembira...” Ujarnya bila saya bertanya tentang sikapnya ini.

“ Kita akan melalui suatu perasaan hebat, ketenangan hakiki dan kepuasan bila melihat wajah orang yang ditolong itu. Ada cahaya dalam mata mereka ada sinar damai yang tidak tahu bagaimana untuk mengungkapkannya.” Bicaranya begitu menggetarkan terbau harum ketulusan budinya.

”Pernah beberapa kali, ada yang ingin membayar balik petrol itu menangis terharu apabila diberitahu bahawa saya hanya ingin membantu...” Sambungnya untuk berkongsi, nadanya begitu mendidik.

”Apalah sangat nilai seringgit dua yang hanya boleh membeli secawan teh tarik, sedangkan nilai melepaskan kesusahan itu tidak ternilai di sisi Allah...”

Dia menutup ceritanya, saya menikmati tarbiahnya dan menarik nafas panjang dengan selaut azam untuk cuba meneladani akhlak mulianya itu.

Alangkah mulianya hari itu sekiranya kita dapat menolong, melepaskan kesusahan dan menutup keaiban saudara muslim.

Mari kita sempurnakan hadis Rasulullah ini :
” Barangsiapa yang melepaskan satu kesusahan saudara muslimnya daripada kesusahan dunia Allah akan melepaskan baginya kesusahan di hari Akhirat, barangsiapa yang memudahkan urusan saudaranya Allah akan memudahkan urusan dunia dan akhiratnya, barangsiapa yang menutup satu keaiban saudaranya di dunia Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Allah membantu hambaNya selama mana hamba itu menolong saudaranya.” Hadis riwayat Muslim .

Salam kasih sayang.

Jom sayangi umat Rasulullah!

0 comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP