RAKAN SIBER

Saturday, May 16, 2009

Hari-Hari, Hari Ibu.


Dalam buku U-Turn Ke jalan Lurus ketika menceritakan mengenai ‘kuasa fitrah’saya kongsikan kisah seorang pemilik dusun durian yang menembak seekor ibu monyet. Diceritakan bagaimana monyet itu ketika meraung kesakitan, darah sedang mencucur deras, kesakitan merayap di segenap saraf dan sendi, pada luka yang dalam dari bekas peluru pula berbuih terbaur darah pekat bercampur lendir kesakitan yang tidak mampu dibayangkan, namun pada saat itu ketika anaknya yang bergayut pada tengkoknya meruang katakutan si ibu telah menarik anaknya dan diberikan susuan, Hanyir darah dan gempita kesakitan tidak dapat memisahkan antara kasih ibu dan anaknya.. Sungguh tragis itu yang datang dalam sebak rasa saya bila mula-mula mendengar kisah ini.



Saya ingin kongsikan pula pengalaman seorang anggota bomba yang sering berhadapan dengan keadaan gawat lewat kemalangan ngeri dan bunyi geruh nafas akhir serta wajah-wajah kematian. Saya kongsikan cerita beliau.

Pada sebuah kemalangan dahsyat di satu lebuh raya yang melibatkan sebuah kereta dan sepasang suami isteri dan seorang bayi, kereta hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi jalan dengan hentaman maksima. Kereta remuk sepenuhnya, di tempat duduk pemandu, si suami telah terkulai, badannya pada stering terlungkup dia mati dengan kecederaan teruk pada tubuh dan kepalanya.

Di sebelahnya pula si isteri sedang bergelut dengan kematian, tubuhnya yang tersepit di situ terkapit antara tempat duduknya dan keluli pejal kemek seperti ragum maut yang menggigit rapat. Alangkah sukarnya saat itu, pada pipinya tercucuk-cucuk dalam kaca cermin hadapan yang pecah, sedang kulit dahinya terkoyak sehingga menampakkan putih tulang tengkoraknya kesan tujahan keras dan hantukan kuat semasa titik hentaman berlaku. Tulang bahunya pula patah , tulang itu tercungkil keluar mengoyakkan daging dan kulit bahunya.

Pada saat ini ketika darah merah pekat mencucur keluar dari tubuhnya dan kesakitan tidak mampu dibayangkan dengan kata-kata, dengan isyarat longlai dia meminta pada bomba untuk diberikan padanya anaknya yang terselamat, bayi itu masih dalam bedungan sedang menangis kuat . Si Ibu dengan lelehan air mata bercampur darah, dalam tangisan pilu penuh sayu mendakap anaknya seakan tidak mahu berpisah dengan jantung hatinya . Dalam seribu kepayahan si ibu pada saat itu menyingkap bajunya dan menyusukan anaknya.. Dalam saki baki nafasnya itu ia memeluk anaknya, merangkul erat dan diberikan lautan kasih sayang dalam aliran air susunya. Kasihnya seputih sasu seorang ibu dan dalam nafas samar dan dada berombak si ibu berangkat pergi buat selama-lamanya…meninggalkan anaknya bersama secebis kisah ajaib tentang kasih seorang ibu pada anaknya. Tragisnya kisah ini. Ia begitu menyayat rasa, dalam nafas yang dalam saya berfikir tentang harga kasih seorang ibu.

Begitulah seorang ibu, Allah memberikan mereka ‘rahim’ kerana mereka kaya dengan kasih sayang . Dalam belaian mereka kita bernafas , dalam kasih mereka kita bernadi dan dalam pengorbanan mereka kita ada pada hari ini.

Namun hukum alam mewartakan, ketika kita sedang berada di puncak putaran hidup sedang mereka pula meratah usia kian merangkak tua. Mereka tidak lagi bernafsu untuk makan seperti kita dan kegembiraan begitu tercatu buat mereka pada usia begini.

Namun mereka punya memori indah dengan kita. Kita yang digomol sewaktu kecil sehingga dengannya kita tidak merasa kesunyian. Ketika demam mereka juga tidak tidur sepanjang malam menjaga. Ketika ketakutan mereka memeluk erat menenangkan kita sehingga boleh melelapkan mata. Ketika membesar, kita meminta itu dan ini, kita mungkin mendapat semua atau sebahagiannya, tetapi kita tidak pernah tahu cerita di sebalik semua itu mungkin ada kesukaran yang tak diceritakan . ( Saya pernah terjumpa seorang ibu yang saya kenal sedang menangis tersesak-esak di sebuah masjid kerana tidak punya wang yang cukup untuk membayar yuran yang diminta oleh anaknya sedang dia tidak punyai jumlah wang itu dan dia tidak memberitahukan ini kepada anaknya...) Itulah yang mereka ada , memori dengan kita.

Tetapi malangnya memori itu hanya di pihak mereka sedangkan kita tidak mengingatinya lagi kerana kita sedang sibuk dengan urusan semasa yang tak pernah habis habis.

Di titik perselisihan inilah menjadikan mereka terabai. Mereka melalui hari-hari yang kosong tanpa ingatan anak-anak, melalui malam-malam sepi tanpa sinar belaian cahaya mata dan mereka berada di penjuru terasing dunia yang tidak meriah membilang baki-baki hari dengan butir tasbih sunyi sebelum berangkat pergi ke daerah barzakh di alam lain pula buat selama-lamanya.

Peritnya mereka di penghujung hidup sedang warna hidup kita meriah sekali, dengan tawa ria rakan-rakan dan limpahan kesenangan yang gemerlapan.Marilah bertanya, bilakah kali terakhir kita menghubungi mereka?

Bilakah kali akhir kita mendoakan mereka setulus hati?
Bilakah kali akhir kita menuturkan sayang dan rindu pada mereka ?
Bilakah kali akhir kita ambil berat tentang masalah mereka ?
Bilakah kali akhir kita berjenaka dan mereka ketawa ?
Bilakah kali akhir mereka bercerita sedang kita mendengar dengan tekun dan mereka seperti tidak mahu mengakhirinya kerana pendengar itu sangat berminat untuk mendengar ?
Bilakah kali terakhir kita bersalaman untuk pulang dan mereka memeluk dan di dalam hati mereka ada getar begitu sukar melepaskan kita pergi?
Carilah jawaban dalam selaut rasa, bukan sesiapa memaksa semoga kita menghargai sesuatu yang paling bernilai...hati seorang ibu!

Apakata... Selepas membaca artikel ini kita hubungi mereka dan tuturkan sayang dan rindu, ketika kita masih punya peluang untuk itu....

Salam kasih sayang.

1 comments:

Mohd Asri May 30, 2009 at 8:17 AM  

Terima kasih ustaz atas ingatan, pastinya ana akan jadi followers laman ini, insyaallah.
Asri Ubaidullah

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP