Rejab, Syaaban, Ramadhan!
Ke garisan, sedia, pecut !
Rejab, Syakban, Ramadhan !
Sama seperti acara balapan, untuk memecut perlu maju ke garisan kemudian bersedia dan barulah pecut. Cuba bayangkan bagai mana semuanya perlu dibuat serentak ? Tiada pecutan tanpa sedia terlebih dahulu apatah lagi tidak tampil ke garisan. Tiadalah pemenang !
Demikianlah halnya orang yang ingin berjaya di dalam bulan Ramadhan, ia perlu terlebih dahulu bersedia dan mampir ke garisan. Inilah sebenarnya kedudukan bulan Rejab dan Syakban di sisi Ramadhan.
Kita tinjau dan mendapati orang yang berjaya di bulan Ramadhan adalah mereka yang menghayati falsafah puasa, mensyukuri peluang bertemu bulan Ramadhan serta menjadikannya sebagai gelanggang memulun amal dan mendidik hawa nafsu. Mereka menggilap cemeni fitrah murni dengan membuang jelaga dosa di hati dengan latihan amal yang bersungguh-sungguh. Sekiranya begitu besar daerah Ramadhan bagaimana mungkin sesorang itu mendapat hasil daripadanya tanpa membuat persiapan rapi?
Bagaimana halnya Ramadhan yang merupakan perkakas melepaskan diri dari azab neraka disambut dingin? Buktinya, tiada persiapan untuknya sama sekali.
Kita menghayati persediaan ini dengan mengulang-ulang doa seperti yang dianjur dalam sunnah : ” Ya Allah berkatilah aku pada bulan Rejab dan Syakban dan sampaikanlah aku ke bulan Ramadhan.” ~ riwayat Al Baihaqi.
Bulan yang mana Rasulullah memperbanyakkan berpuasa dan berlebih di dalam menekuni ibadah berbanding bulan-bulan lain selain Ramadhan, semuanya adalah persediaan bagi menyambut Ramadhan yang penuh bermakna.
Sebaliknya bagi sesiapa yang hanya sedar akan kehadiran Ramadhan tika saat hadirnya sahaja pada satu Ramadhan, tentu sekali tiada persediaan awal. Ia seperti tetamu yang dingin, datang dalam sepi berangkat tiada yang peduli...Begitukah nasib Ramadhan kita ? Bagaimana tetamu dingin itu boleh jadi penyelamat kita ketika saat gawat di hari Pembalasan nanti, seperti yang dijanjikan oleh Allah? Dinyatakan di dalam Hadis Qudsi Allah berfirman: ”Semua amal anak Adam baginya kaffarah ( penebus dosa) kecuali puasa, ia adalah untukKu dan Akulah yang mengganjarinya.” ~ Riwayat Ahmad
Justeru itu Ramadhan perlu di sambut sejak dari bulan Rejab ini dengan mula melipat ganda amal soleh dan mula mendidik hawa nafsu dari melakukan perkara kedosaan, nanti ketika anak bulan Ramadhan menjelma kita telah benar-benar bersedia lahir dan batin untuk menadah keberkatannya yang sangat agung.
Jadi sedarlah, sekarang kita telah ke garisan....
1 comments:
Saya setuju sekali! Sememangnya masih ramai yg tidak menyedarinya... atau mungkin alpa akan kedatangannya.... Selalu, perkataan 'insan biasa' dijadikan alasan hanya untuk menutupi kesalahan! Dan akhirnya dibiarkan berlalu sepi tanpa sebarang penyesalan....
Post a Comment