RAKAN SIBER

Friday, July 24, 2009

Ingat Mati Lawan Lupa Mati


Dalam sebuah program ceramah, seorang penceramah begitu bergaya melontarkan ilmu dan mengolah dengan berkesan, tajuknya adalah mengenai kematian. Alat Bantu dengan skrin besar yang dipancarkan memaparkan detik-detik tragis kematian dengan lantunan kesan bunyi sungguh menyeramkan sekali. Para khalayak terkedu, dalam aliran air mata ada sendu. Kesedaran mereka segera terapung ke permukaan. Sesi itu basah dengan air mata dan kertas tisu.
Apabila sesuatu maklumat itu menyelinap ke dalam hati ia tentunya membuahkan rasa. Saat itu apakah rasa yang sedang mengambil tempat di singgahsana hati?


Bagi menilai keberkesanan mari kita meneroka rasa itu, agar mampu menjaring manfaat dari pengalaman menghayati kuliah kematian sebentar tadi. Untuk melihat muaranya kita perlu meneredah sehingga ke hulu terlebih dahulu kerana tentang kematian, pokok pangkalnya adalah, samaada kita ini diminta agar ingat mati atau takut mati? Dua persoalan yang macam sama tetapi tidak serupa.
Apakah bezanya ? Bezanya adalah pada impak yang berlaku di alam rasa.
Hakikatnya (hulunya) adalah ; Ingat, adalah bagi sesuatu perkara tidak boleh dihindari. Takut, adalah bagi sesuatu yang boleh kita hindari.
Sebagai contoh, kita takut kepada harimau kerana kita boleh menghindarinya. Apa sahaja perkara yang perlu dihindari kita boleh merasa takut. Kejahatan makhluk, tipu daya manusia, krisis atau apa sahaja yang kita boleh lari daripadanya. Perasaan takut memberi motivasi hebat agar lari daripada perkara itu. Begitu juga kepada azab kubur kita perlu takutkannya kerana kita boleh menghindarinya. Kita takut kepada neraka kerana kita boleh menghindarinya.
Bagaimana pula tentang kita yang diminta agar takut kepada Allah? Apakah maksud sebenar dari takutkan Allah itu ? Tadi kita nyatakan bahawa takut itu bagi sesuatu perkara yang boleh di hindari, adakah kita boleh menghindari Allah swt? persoalan yang menarik untuk dibincangkan. Untuk memahami muara perlu sekali lagi kembali ke pangkal. Apabila kita diminta agar takut kepada Allah, kita sebenarnya diminta bukan takut kepada Allah tetapi takut kepada kemurkaanNya, dan kemurkaan Allah boleh dihindari. Bahkan tujuan hidup ini adalah untuk menghindari daripada kemurkaan Allah swt.
Dalam masa yang sama kita disuruh agar ingat Allah pada setiap masa. Kenapa ? Ia adalah kerana kita tidak mungkin boleh menghindarkan diri daripada Allah pada setiap masa! Oleh kerana Allah itu tidak boleh dihindari bahkan bersama kita selalu, maka ingat kepada Allah perlu selalu.
Sekali lagi, ingat adalah untuk perkara yang tidak boleh dihindari sementara takut adalah untuk perkara yang boleh dihindari.
Inilah dua rasa dari dua perkara yang mewakili daerah berbeza. Kita bicarakan persoalan ini agar masuk ke dalam hati sesuatu yang betul, nanti akan lahir rasa yang betul kemudian terserlah perlakuan yang betul.
Berbalik tentang persoalan mati, apabila merujukkepada hadis-hadis dari Rasulullah tentang kematian, ianya meminta agar ingat mati bukan takut mati. Kematian adalah sebuah kepastian, kita tidak boleh menghindarinya, justeru kita perlu mengingatinya. Dengan ingatan, ia menyentap dari kelalaian dan kealpaan hidup serta nikmat duniawi ini. Natijahnya, kita bangun mempersiapkan diri bagi menghadapinya dengan melakukan perkara-perkara yang wajar dan patut. Seseorang yang lupa akan sesuatu perkara pasti akan tersalah dalam menyusun keutamaan, kelak akan mempengaruhi tingkah laku hidupnya.
Sebaliknya perasaan takutkan mati itu tidak wajar kerana sudah semestinya kita tidak dapat lari daripada kematian. Motivasi takut mati itu berupayakah menghindarkan diri dari kematian itu sendiri ?
Sekiranya kita mengambil pendekatan takutkan mati ia akan mendatangkan suatu rasa lain di dalam hati dan tidak mustahil tipu daya syaitan boleh terheret sama kemudian. Saya pernah bertemu ramai orang( terutama warga emas) yang mengadu begitu tertekan apabila berfikir tentang kematian. Ia benar-benar takut mati. Perasaan itu menggumpali dirinya dan mengekori setiap saat serta membayangi rasa hatinya dengan teduhan yang sangat merimaskan! Natijahnya dia tidak dapat tidur malam dan perasaan takut ini sangat menyeksakan dirinya. Setiap saat terfikir bagaimana dahsyatnya kematian kemudian terbayang wajah-wajah orang tersayang yang terpaksa ditinggalkan dan segala-gala yang diceritakan dalam kuliah kematian mundar mandir dalam ruang minda. Di hujung hari dia jadi murung dan tertekan dengan seluruh bayangan ini. Adakah rasa ini yang patut hadir di dalam hati ? Saidina Usman Affan berkata : ”Ingatan terhadap perkara Akhirat akan mendatangkan ketenangan akhirnya, sementara ingatan terhadap dunia mendatangkan kegelisahan akhirnya...” Jadi, sekiranya takutkan kematian bertukar kepada sesuatu yang mendatangkan kegelisahan dan menghilangkan ketenangan maka ianya adalah perkara duniawi. Ia tentu sekali tidak akan mendekatkan seseorang kepada menghampiri Allah swt.
Ingat mati bererti kita tahu bahawa kematian itu pasti, termasuk tawaran hebat yang menunggu orang yang beramal soleh sudah matinya. Ini kita fahami daripada doa yang dibacakan kepada si mati ; ”Ya Allah jadikanlah rumahnya nanti lebih baik dari rumahnya di dunia, keluarga yang lebih baik dari keluarganya di dunia.. Ya Allah jadikanlah kuburnya sebagai sebuah taman dari taman-taman syurga...” Ertinya di sana sebuah kehidupan hebat menunggu sesudah kematian. Ingatan kepada kematian seperti ini tidak menghadirkan kegelisahan tetapi lebih kepada dorongan untuk beramal bagi mendapat tawaran yang dijanjikan Allah kepada si mati. Bukankah ini yang di maksudkan oleh saidina Usman Affan tadi?
Kematian adalah gerbang ahkirat . Justeru itu, kita perlu sentiasa ingat mati tetapi jangan selitkan rasa takut terhadapnya. Di sana akan ada keseimbangan di antara persediaan dengan beramal soleh dan perasaan tenteram di dalam jiwa, sesuai golongan yang dipanggil oleh Allah swt :
”Wahai jiwa-jiwa yang tenang kembalilah kamu kepada Tuhanmu dalam keadaan redha meredhai, masuklah dalam golongan hambaKu dan masuklah dalam syurgaKu...”

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP