RAKAN SIBER

Tuesday, July 28, 2009

BICARA REJAB ( Bahagian 1)


Rejab datang lagi, mengheret sama kisah Isra dan Mikraj serta menalun kembali tentang solat. Ceramah tentangnya bergema di masjid dan surau, mendetail pengembaraan ajaib Rasulullah itu. Banyak sekali yang boleh dikutip daripadanya seluas rahmat dan izin Allah. Marilah kita meneroka sirah, merasai sedikit badai perjuangan Rasulullah agar dapat menghayati erti solat, dari sudut pandang Rasulullah.
Mungkin dalam keghairahan untuk mendirikan solat seperti solat Rasulullah, ada perkara asas yang kita terlepas pandang. Mari kita ke Mekah...


Sebelum terjadinya peristiwa Isra’ dan Mikraj, kita sedar betapa gawatnya peristiwa pemulauan terhadap Rasulullah dan ahli kelurganya yang memakan masa selama tiga puluh bulan oleh puak Quraisy. Seluruh perhubungan dunia luar disekat sehingga tiada pedagang yang boleh berdagang dengan Bani Hashim dan Bani Muthallib.Kesan pemulauan itu mengheret Siti Khadijah ke lembah sengsara dan kesihatan diri merosot dengan teruk. Masakan tidak, isteri yang menjadi benteng kepada Rasulullah ini pada saat-saat akhir pemulauan itu terpaksa memetik pucuk tamar juga daun-daun kayu muda buat santapan sekelurga demi menyambung hidup mereka !
Alangkah perit derita ini, alangkah dalam tersayat sembilu bila melihat Siti Khadijah terlantar dalam selimut duka, dengan wajah dan pipi yang cengkung dia terbaring di riba Rasulullah. Sedang Rasulullah menahan sebak, bergoncang dada menghimbau peristiwa, ada air mata bertakung, mengalir di pipi kekasih Allah lalu menitis atas pipi Siti Khadijah. Dalam seribu kepayahan bersalut resah, Siti Khadijah menggagahi dirinya untuk bangun sambil bibirnya bergetar dan bertanya,
“ Kenapakah engkau menangis wahai kekasih Allah...”
Rasulullah memangku kembali isterinya, dalam bisikan perlahan Rasulullah menuturkan,
“ Wahai Khadijah dulu engkau seorang bangsawan, dulu engkau seorang kaya, dulu engkau seorang ternama dan engkau memiliki segala-galanya...”
Patah bicara nabi bergetar, dalam sedu mengalir air mata sambil menatap wajah isteri tersayang ada lukisan derita dan kesakitan yang panjang.
“Alangkah banyak apa yang telah engkau berikan buat aku dan agama ini wahai kekasihku...”
Rasulullah mengusap ubun kepala Siti Khadijah dalam rengek tangis meninggi.
Khadijah dalam keadaan sukar memegang mulut Rasulullah lalu berkata,
“ Ya Rasulullah, jangan disebut apa yang aku telah berikan kerana ia tersangat sedikit ...”
“ Nanti, seandainya kesakitan ini membawa kepada kematianku dan golongan Quraisy masih menyakitimu, sedang engkau tidak punya apa-apa untuk mempertahankan dirimu...”
“Saat itu ya Rasulullah, cungkillah tulang rusukku ini dan engkau ambillah, jadikanlah ia pedang buat mempertahankan dirimu dan agama ini ya Rasulullah .”
Inilah Khadijah yang sedang berada dalam dekapan nabi pada detik-detik terakhir kehidupannya, dia yang telah menghabiskan segala-galanya untuk kekasihnya dan kekasih Allah . Dia mempersiapkan seluruh yang ada pada diri buat suami tercinta...Tidak lama kemudian dia berangkat pergi buat selama-lamanya mengadap Tuhan... meninggalkan Rasulullah di bumi terasing, dalam karangan perjuangan yang masih belum selesai.
Rasulullah menamakan tahun itu ‘tahun dukacita’... Sebagai luahan betapa dalamnya cinta serta gawatnya badai perjuangan ini, buat tatapan umat tersayang agar mengetahui nilai dan erti Islam yang diperjuangkanya juga erti Solat yang diwariskan!

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP