RAKAN SIBER

Tuesday, August 4, 2009

Sesekali Menoleh Ke Belakang



Sesekali kita menoleh ke belakang
Menjejak tapak-tapak kaki dahulu
Yang telah diluput detik
Yang telah ditelan masa
Yang telah dihakis zaman

Marilah kita sanggupi denai itu
Kita temui onak terserak
Ranjau bertaut
Akar dan ulan meliar
kini jadi rimba kian gelap

Marilah kita hidu
Bau lumpur tepian sungai
Bau embun pada lalang
Bau rumput dan pakis di lembah
Bau kelopak bunga jambu air yang gugur di dada sungai mengalir


Bau pusar dingin di lubuk bisu
Bau percikan air dan lukisan pelangi di atas jeram
Bau harum sejarah kita sendiri.

Marilah kita dengar
Alunan simfoninya
hayati irama beralun dan bicara semesta
Yang menyanyi di lumpur itu
Pada embun bergayutan , pada rumput dan pakis di lembah
Pada kelopak bunga jambu air , pada sungai mengalirkan zaman , pada pusaran dan lubuk , pada percikan dan lukisan pelangi indah

Juga pada denai sepi
yang terbiar amat sunyi…





Wahai anak cucu pada zaman kian tua
Sejarah adalah guru !

Wahai anak cucu pada zaman kian tua yang sering lupa
Sejarah dahulu adalah guru !

Wahai anak cucu pada zaman kian tua yang sering lupa dan terkadang buta
Sejarah nenek moyang adalah guru !

Hari kita terus mengalir
Matahari bungkam Jadi kian suram
Malam datang dalam bilah-bilah gigil kedinginan
Esok matahari galak beri cahaya terang terserak
Hari kita terus datang , terus pergi
Seluruhnya membungkus sejarah lampau kita
Dalam lipatan kian dalam

Sesekali kita menoleh ke belakang
Buat meneroka masa hadapan
Berjaya hari esok dan lusa
Agar denai itu
Agar bau lumpur
Agar dingin embun
Agar rumput dan pakis
Agar kelopak bunga jambu air
Agar damai pusar dan lubuk
Agar lukisan pelangi di atas jeram
Milik nenek moyang kita
Jadi amat meriah serba indah
Dengan cerita ria anak cucu mereka
Warisan titisan peninggalan zaman…


Teratak Soit-Hakimah
19.05 ptg
22hb Disember 2007

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP