RAKAN SIBER

Friday, May 8, 2009

Sebelum Kuliah di Masjid TAR


Suasana damai di Masjid TAR Ampang begitu menggamit rasa, amat benar kata Rasulullah: "Sesungguhnya tempat terbaik di bumi adalah masjid-masjid dan sebaik-baik ahlinya adalah yang paling awal masuk dan paling akhir keluar."


Saya selalu menganjurkan bagi memuncak ketenangan, pergilah ke masjid ketika keadaannya sunyi dan lakukan solat tahiyyah masjid lalu bertafakurlah dalam keheningan suasana dan dengar detik waktu berlalu dalam getar bibir yang bertasbih atau istighfar..di sana ada damai yang sukar digambarkan.


Kita sedang berada di pusat rahmat Allah sebenarnya. Di pintu masjid kita berdoa : "Ya Allah ampunkanlah dosaku dan bukalah pintu rahmatMu." Sekiranya kita menggantung hati di dalamnya dan menjalin rasa kasih padanya, Rasulullah menjanjikan orang itu bakal duduk di bawah lindungan Arasy Allah pada hari tiada lindungan melainkan lindunganNya. Kemudian apabila melangkah keluar kita mengungkap doa: " Ya Allah bukakanlah bagiku pintu-pintu kelebihan ( Fadhla) dariMu."
Dalam doa ada ilmu yang sangat berharga (kata Rasulullah, doa adalah otak ibadah) :

Di dalam masjid kita pohon rahmat di luar kita pohon kelebihan.
Di sini manusia sering terkeliru tentang perkara asas dalam hidup, memahami mana satu asas mana satu lebihan. Ibarat makan tengahari kita yang dihidangkan, ada makanan utama atau asas ada pula makanan pencuci mulut atau lebihan (fadhla). Yang berlaku kepada manusia kini adalah mengutamakan makanan pencuci mulut tetapi tak menjamah makan utama. Apa jadi pada manusia ? Terpaksa terus terusan mengambil makanan pencuci mulut berlebihan tetapi tidak kenyang-kenyang!

Urusan luar masjid itu perlu tetapi kedudukannya adalah lebihan, ianya tidak sama dengan asas. Hubungan dengan Allah adalah asas dalam hidup tanpanya jiwa kita akan kebuluran walaupun kita melahap pelbagai warna lebihan dari perhiasan dunia ini.. kita tidak akan puas, merasa kosong dan terbiar.
Dalam surah Jumaah Allah menyebut apabila kamu sudah melakukan solat maka bertebaranlah di muka bumi dan tuntutlah dari kelebihan Allah (Fadhla) dan ingat Allah banyak-banyak.


Jadi bagi umat Islam tidak keliru kerana gelanggang sebenar untuk mendapat keredhaan Allah ada di luar masjid tetapi hatinya tergantung di masjid sebagai meneguh kekuatan dalam mengurus dunia ini..

Permisi , jamaah sedang menuggu untuk mulakan kuliah.. salam kasih sayang

2 comments:

ady May 8, 2009 at 2:19 PM  

salam Ustaz,

Terima kasih atas untaian ayat-ayat tazkirah Ustaz.Ya...dunia ini memang penuh dengan tipu daya.Semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa bersama kita.

zulramli May 9, 2009 at 10:00 AM  

ady yang budiman,
Ameen..semoga kita damai dalam kasihNya, tenggelam dalam redhaNya.

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP