Harga Sebuah Ruang dan Peluang
Program petang di Glory Beach bersama tenaga penggerak Sekolah Agama Al Furqan membangkit semangat saya untuk belajar tentang harga ruang dan peluang dalam tugas perguruan. Tajuk untuk saya adalah ' Budaya kerja Cemerlang'. Saya gabungkan menjadi ' From Zero to Hero : Muhasabah Struggle Rasulullah '.
Tidak dinafikan dalam seribu kekurangan kita boleh beralasan bahawa semua itu adalah penghalang bagi kita untuk buat yang terbaik dalam melaksanakan tugas.
Tetapi bila kita toleh sejarah Rasulullah yang bermula dengan lebih seribu kekurangan tetapi beliau berjaya mengatasinya sehingga berjaya mencipta sebuah kecemerlangan ianya tentu mengheret cemburu kita untuk jadi sepertinya. Sedikit kita telusuri..
1. Rasulullah berjaya membawa para sahabat melihat nasib perjuangannya dalam gambaran masa hadapan. Sejak dari awal perjuangan, Rasulullah menggambarkan bagaimana Islam nantinya, sebagai contoh kita lihat dalam dalam dialog antara rasulullah dengan Habbab bin Araat RA bila dia mengadu kepada Rasulullah tentang penderitaan yang ditanggung kerana siksaan yang berterusan dari kafir Quraisy sedang mereka ketika itu baru memeluk Islam, Rasulullah minta mereka bersabar kepada pertolongan Allah, kemudian Rasulullah membawa cerita bagaimana nasib pejuang dahulu lalu Rasulullah menceritakan pula bagaimana suatu hari nanti keadaan Islam yang melimpahkan keamanan sehingga orang boleh berjalan dengan selamat dari Sham ke Yaman tanpa rasa takut.
Ini juga yang didengar oleh Saidina Umar al Khattab ketika menggali khandak bersama Rasulullah yang membayangkan bagaimana nanti akan runtuhnya kuasa besar Parsi dan Rom di tangan Islam. Saat ini ditunggu-tunggu sehinga ditangannya ketika dia menjadi amirul mukminin 'telahan' Rasulullah menjadi kenyataan !
Melihat masa depan yang positif amat perlu. Sekira tidak kita akan terus sebal dan kabur dengan setiap masalah semasa yang menggeluti kita.
2. Setelah gambaran masa depan itu dapat dilihat dengan jelas maka perlu kepada susun atur hidup yang rapi selari dengan apa yang kita ingin jadi pada masa hadapan;
a. Memperkukuhkan soal niat. Niat membezakan amalan seseorang dengan seseorang yang lain di sisi Allah. Orang yang berjaya memandu niatnya kerana Allah, menjadikan ia mulia kerana ia telah bertindak selari dengan peranan asasnya: Hidup Kerana & Untuk Allah ! Sekiranya tergelincir perkara asas ini dan menjadikan seorang manusia itu hidup untuk hidup, ia adalah berprinsipkan prinsip hidup binatang ( agak kasar..) samada binatang buas atau binatang ternak. Namun inilah yang digambarkan oleh Allah sebagai ingatan kepada kita :
"Sesungguhnya kami penuhkan neraka jahanam ramai dari golongan jin dan manusia, bagi mereka hati tetapi tidak faham dengannya, punya mata tetapi tidak melihat dengannya dan punya telinga tetapi tidak mendengar dengannya mereka itu seperti binatang ternak bahkan lebih sesat lagi..."
Melaksanakan tugas hanya kerana untuk hidup meletakkan taraf kita seperti kumpulan binatang ternak yang hidup hanya untuk hidup. Manusia hidup kerana dan untuk Allah, manusia hidup bukan hanya untuk hidup tetapi untuk matinya juga !
b. Apabila berazam maka bertawakal kepada Allah. Setengah orang berkata berikhtiarlah sehabis baik kemudian baru bertawakkal kepada Allah. Pada saya tiada masalah dari sudut usaha dan dorongan untuk berikhtiar semaksima mungkin tetapi ianya tiada kaitan tentang meletakkan di mana kita bertawakkal. Allah dengan jelas menyatakan apabila kamu telah berazam maka bertawakkallah kepadaNya. Azam bererti usaha tersebut belum dibuat. Allah meminta agar sesuatu perkara itu disandarkan kepada Allah sejak awal dan di sepanjang usaha ikhtiarnya, bukan apabila telah selesai usaha ikhtiar itu.
c. Berkerja dalam kumpulan. (Amal Jama'ie) Rahmat Allah ada dalam jemaah. Daripadanya terbit kuasa sinergi luar biasa sehingga Allah menisbahkah : " Sekiranya kamu mempunyai dua puluh orang sabar akan berupaya menumpaskan dua ratus orang.."
3. Muhasabah. Seluruh perlakuan dalam hidup perlu dihitung sendiri sebelum nanti dihitung oleh Allah di hari Akhirat .
Begitulah di antara perkara yang telah dibangunkan oleh junjungan rasul pilihan sehingga berjaya membentuk keajaiban dalam membina tamadun gemilang.
Pada guru-guru, dibahu anda Rasulullah menaruh harapan agar lahir generasi Khaira ummah kali kedua.
Petang itu hujan turun dengan lebat di PD, semuanya nampak bagus belaka. Bumi ini milik Dia, lautan dan pantai adalah karyaNya yang Maha Agung. Awal paginya saya perlu segera berangkat ada program di Kuala Pilah pula...
0 comments:
Post a Comment