Seputar isu Dr. Asri Zainal Abidin dan JAIS
Setelah mendapat panggilan telefon daripada Zuraimi Galeri Ilmu pada pagi itu yang menawarkan untuk menulis buku tentang kemelut yang sedang beronggeng di dada-dada akhbar tentang persoalan Dr. Asri Zainal Abidin bekas mufti Perlis dan JAIS, pemikiran saya mengeksplorasi mencari sumber dan maklumat yang perlu. Sebelum itu pun ramai juga yang bertanya dan berbincang atas topik sama.
Saya berfikir, apa yang paling penting ( Bekerjasama !...Jawaban dalam rancangan Wonder Pet ) adalah, masyarakat perlu dijernihkan minda daripada memadati perkara negatif ; Bersengketa atas nama agama ! Alangkah rugi potensi umat ini apabila mindanya disogok-sogokkan dengan permasalahan untuk bersengketa, berkelahi dan berkrisis dalam semua aspek hidup!
Dalam senarai nama-nama sahabat yang ramai, saya teringatkan sahabat baik saya ustaz Syamsul Mohd Nor seorang penulis buku, penceramah dan perunding motivasi. Panggilan telefon kepadanya membawa saya ke pejabatnya. Dekorasi pejabatnya menarik, ruang tengah persis sebuah ruang tamu khemah Arab yang boleh duduk bertelekan. Kesegaran ruang menyediakan gelanggang halaqah ilmu yang nyaman sekali. Singgah sebentar di sana, saya berdoa agar jarum jam bergerak perlahan-lahan. Di dalam ruang dingin itu kesempatan berta’ammuk selama dua hari memberi peluang bermunaqashah kitab Nuzhatul Nazhor Fi Syarhi Nukhbatul Fikar Fi Mustolahi Ahlil Athar karangan Ibn Hajar Al Asqolani dan At-Takrif karangan Dr Saad Said Mamduh dan beberapa kitab usul fiqh yang lain bersama Ustaz Mohd Husni al Langkati al Azhari murid kepada Dr Saad Said Mamduh dan Syeikh Husni Tamrin al Banjari yang kebetulan transit beberapa hari di sana sebelum berangkat kembali ke Mesir. Mujalasah dengan beliau, dapat menikmati detik-detik pengajian, bertadabbur dan berbincang serta mencari mutiara atas persoalan ilmu yang diwariskan oleh para ulama sejak zaman berzaman.
Untuk membuat satu kesimpulan tentang konflik Dr Asri Zainal Abidin dan JAIS masih berliku dan terbuku tetapi yang pasti, masyarakat perlu melihat dengan jelas kepada disiplin ilmu dan mengenali tokoh-tokoh ulama muktabar silam itu sendiri.
1. Bagaimana garapan sangat teliti dan kemas mereka membuahkan hasil untuk umat sehingga kini.
Bagaimana mereka memelihara sumber ilmu dengan disiplin ilmu alat dan kaedah- kaedah yang mantap bagi menatijahkan panduan mantap ( ‘mantop’ cara sebut ustaz Zamri tv9 ) dan sangat berguna.
Tanpa displin dan proses ini, semua orang akan berijtihad dan semakin luas gelanggang ijtihad semakin celaru jadinya hukum. Celaru kerana tidak mantapnya golongan yang berijtihad itu dan keilmuan mereka sendiri. Celaru kerana tidak cukupnya ilmu alat dan tidak menguasai kaedah tuntas di dalam berijtihad itu.
Analoginya: Saya ingin petrol sendiri ! Silakanlah ! Dengan segala modal serta peralatan yang perlu bagi menggali telaga minyak di dasar lautan. Sediakan alat-alat sebesar gergasi berat bertan-tan, penggerudi dan pelantar besi serta hos-hos besar, kalau semua ini kita ada silakanlah ke lautan buat meneroka dan menggalinya untuk mendapatkan petrol buat diisi ke dalam tangki motor kita . Tetapi kalau sempat ke almari solek dan menatap wajah sendiri di cermin, yang ada hanya sebilah cangkul dan pongkis lebih baiklah pergi sahaja ke station petrol terdekat kerana kita boleh mendapatkannya. Ada orang yang telah buat semua kerja untuk kita menikmati petrol Ron 97!
Yang penting adalah petrol tulen bagi menggerakkan enjin motor kita. ( Jangan beli petrol di station yang tidak terkenal jenamanya, takut nanti minyak bercampur dengan minyak gas ! )
Para ulama muktabar di zaman silam mempunyai upaya dan modal besar sekali buat berijtihad bagi membuahkan hasil bagi kita beramal dengan betul.
Amat menyedihkan, hasil kecelaruan tentang keupayaan berijtihad ini menjelmakan pertelingkahan dalam masyarakat bagi golongan awam untuk beramal. Paling tidak daripada kalangan masyarakat akan berkata dalam kebingungan ; “Nak amal mana satu ni, konfius yang ni tak betul yang itu tak betul… ?” Atau lebih parah akan berkata ; “Aku paling betul engkau tidak tepat dan batal !”
Untuk mudah faham tentang persoalan disiplin ilmu apabila kita melihat dalam soal kepakaran seseorang dalam ilmu duniawi ; Seorang pakar (Doktor Falsafah) dalam sesuatu bidang itu tahu had batasan, mereka tentu sekali tahu bahwa mereka bukan pakar dalam semua perkara. Sebagai contoh, pakar dalam bidang akar pokok koko itu akan digelar seorang Doktor tetapi adakah dengan title itu dia boleh melangkaui had kepakarannya sehingga ia merasakan bahawa kepakarannya mencakupi seluruh bidang ilmu pertanian ? Inilah yang perlu disedari oleh anggota masyarakat agar tidak terkeliru di dalam menetapkan kedudukan kepakaran ulama dan ruang perbahasan ilmu mereka itu. Masyarakat lazimnya akan ingat bahawa seorang doktor itu pakar segala-galanya dalam soal ilma agama yang luas. Lebih parah apabila tersalah membuat keutamaan sehingga menjangka bahawa ulama semasa mengatasi had Mujtahid Mutlaq, yang mana ilmunya telah disuluh oleh ulama-ulama lain sejak berabad lamanya.
Apatah lagi dengan sistem pengajian zaman ini yang berbeza dengan paten pengajian zaman lampau yang menitik beratkan persoalan memperhalusi sesuatu kajian dan talaqi.
Sebagai contoh, kita biasa terdedah samaada di dalam kitab atau ceramah dengan huijah dan ambilan ( naqal ) dari kitab sana dan sini ( disediakan nota kaki untuk rujukan) tetapi ianya diambil secara bertebuk-tebuk kemudian copy and paste. Keadaan ini menjadikan kita tidak tahu apa maksud sebenar ambilan (naqal) asal itu. Lebih malang lagi kalau ada pengarang yang berniat jahat, akan mengambil naqal secara berpilih yang bersesuaian dengan pandangannya sahaja sedangkan keseluruhan ambilan itu tidak diambil, kemudian dengan tegas berkata saya tidak ada menjumpai sebarang pandangan lain selain daripada ini (naqal itu), apabila dipersembahkan kepada masyarakat , orang ramai tidak merujuk kepada sumber itu dan menjangkakan petikan naqal itulah pendapat terashoh daripada sumber ambilan tadi sebagai menguatkan hujahnya yang paling ‘ashohhul ashoh’!
2. Apa yang berlaku kini juga suatu bentuk kekeliruan masyarakat dalam soal kekaguman dengan keilmuan tokoh ilmu semasa berbanding ketokohan ulama silam. Apabila kita bandingkan dengan ulama silam atas timbangan keilmuan, bagaimanakah untuk dipadankan antara keduanya ? Sebagai contoh dalam bidang ilmu hadis, bagaimana untuk mencapai kedudukan muhaddis tanpa seseorang itu melalui tingkatan tollab / muhtamal yang mana ia memperolehi dan mendalami hadis-hadis dengan bersanad ? Bagaimana ini dapat disamakan dengan keupayaan sedikit ulama sezaman yang hanya memetik-metik kajian dan memperolehi gelar seorang pakar bagi kajian untuk satu juzuk ilmu hadis dalam tempoh pengajiannya hanya sekitar dua tahun ?!
Bolehkah seorang yang mendakwa pakar ilmu hadis / muhaddis itu diserahkan kepadanya matan dan sanad yang dicelarukan dapat menyusunnya semula dengan aturan yang betul?
Kita di zaman ini mungkin tidak dapat lagi menyertai majlis Imlak Hadis dari ulama-ulama hadis semasa, para ulama hadis mengeluarkan dari gedung ingatan mereka jalan-jalan sanad sehingga sampai kepada Rasulullah dan diperjelaskan setiap rijal-rijal hadis satu persatu dan seorang-seorang dengan jelas. Itulah contoh kelayakan ulama dahulu sehingga mereka layak digelar seorang muhaddis !
Kalau ada yang mendakwa telah sampai ke tahap ini, ia perlu bersedia untuk diuji di hadapan ulama hadis dengan majlis imla’ hadis ini. Duduk dan kita celarukan sanad dan matan cukup 80 hadis serta rijal-rijal dan mintakan penjelasan setiap tabaqat, sanad dan matan satu persatu. Kemudian baru tahu bagaimana keupayaan ulama silam yang kadang-kadang kita rendahkan tahap ilmu mereka. Metod pengajian dengan berambilan ini mengekalkan tradisi ilmu hadis dan memelihara adab dan akhlak dalam membahaskan persoalan hadis dan mustolahul hadis.
Apatah lagi taraf Al Hafiz setaraf Ibn Hajr al Asqolani, Syarafuddin Ad Dimyathyi , Ibn Daqiqi’l ‘Id dan ulama lain ?
Amat malang sekali sekiranya seseorang itu gagal menguasai ilmu ushul untuk mengistinbath hukum dengan segala ilmu alat, sebagai contoh mendalami ilmu nahu ( tatabahasa arab), sorof , balaghah mantiq atau bayan dengan betul tetapi kemudiannya mentafsirkan ayat al Quran atau hadis.bagaimana kita akan harapkan yang ia akan dapat menghidangkan kepada sesuatu kesimpulan yang tepat ?
3. Dr Asri dan JAIS perlu berbaik-baik dan saling hormat menghormati. Hindarkanlah konflik dari mata masyarakat tetapi buahkan hasil dengan jalan bermuzakarah, bermunakasyah dan berhujjah bil haq. Jangan jadi seperti ayam sabung yang dilagakan di gelanggan media. Dengan sorak dan derai kita taji menaji tetapi yang untung bukan si galak dan si ayam sabung yang berdarah lagi terluka itu tetapi si penyedia gelanggang. Penonton pula menghamburkan pujian atau sumpah seranah sesama sendiri. Yang datang berkawan pulang bermusuhan, yang datang bergandingan tangan pulang berpancaan. Jangan biarkan diri yang mulia, institusi yang dihormati serta masyarakat yang dicintai menjadi mangsa sehingga melahirkan perasaan benci dan sengketa yang tak tahu apa dan bila kesudahannya.
4. Apabila kita melihat dengan jujur, apa yang saling kita debat dan persoalkan selama ini adalah berkaitan Aqidah, ibadah dan solat. Apa tujuan solat itu pada asalnya ? Apa tujuan ibadah itu pada asasnya? Apa tujuan Aqidah pada pertama kalinya ?
Adakah solat untuk berbalah ?
Apakah ibadah untuk berpecah ?
Adakah aqidah untuk saling salah menyalah ?
Dengan kembali kepada soalan asas ( back to basic question) kita dapat mencari jalan tengah dan membuang rasa ingin bersengketa, kita adalah adik beradik yang dipersaudarakan oleh Allah di dalam agamanya yang aman, selamat dan sejahtera…
Salam bersalam ukhwah yang berkekalan.
1 comments:
Salam Ustaz,
ana bersetuju dengan pandangan ustaz. Agamawan zaman kini tidak takut untuk mengeluarkan fatwa dan berijtihad sedangkan ulama dan para sahabat dahulu amat takut untuk berijtihad. Imam Malik sendiri pernah mengaku tak pandai untuk elak daripada berijtihad perkara yang bukan bidangnya.
Ilmu bukan untuk tamak dan kelihatan pandai tetapi ilmu untuk memperbaiki lagi diri dan masyarakat.
Post a Comment