PERSAINGAN YANG TERUS MERUGIKAN
PERSAINGAN YANG TERUS MERUGIKAN.
Pertembungan antara emosi dan akal… yang menang adalah emosi !
Dalam setiap isu yang melingkari masyarakat kita akan melihat sekurang-kurangnya ada dua pandangan. Kemudian biasanya persoalan itu kian mendalam lalu jadi kian meruncing sehingga kedua-duanya jadi seperti blok hitam dan blok putih, terpisah dan tercaing-caing ! Ia kemudiannya membelah blok pengaruh sehingga tidak menemui titik temu lagi...berkerat rotan berpatah arang! Kenapa sentiasa ada dua pandangan dalam hidup ini ?
Pandangan, nama pun pandangan...ia berkaitan dengan sudut yang dipilih oleh seseorang untuk melihat sesuatu. Daripadanya dipanjang-panjangkan menjadi keputusan fikiran lalu membuah tingkah laku seseorang.
Cerita dahulu kala tentang beberapa orang buta yang teruja ingin mengetahui tentang gajah boleh dijadikan analogi. Bila mereka berkesempatan semua mereka pergi kepada gajah dari sudut masing-masing. Seorang dari mereka yang memegang bahagian kaki berkata, ”Oh... gajah tu rupanya sama macam tiang sahaja.” Yang memegang bahagian badan berkata, ”Oh... gajah tu rupanya sama macam dinding sahaja.” Yang memegang bahagian belalai berkata, ”Oh... gajah tu sama macam pemancut air.” Yang pegang bahagian ekor berkata, ” Oh... gajah tu rupanya sama macam tali sahaja.” Setiap mereka tidak akan menemui titik kesepakatan apabila makin sempit sudut masing-masing yang dipertahankan. Begitulah dalam masyarakat orang celik biji mata, kesepakatan tidak akan ditemui selagi mana semuanya buta dan memerhati dalam ruang sempit masing-masing. Sudut pandang yang digempitakan oleh emosi menjadikan jurang pandangan makin berkecamuk. Dua orang tahu benda yang sama memiliki kelayakan ilmu yang setara akan berbalah mempertahankan pandangan masing-masing lalu jadi mencapah sejauh utara dan selatan kemudiannya kerana hasutan emosi masing-masing. Emosi lebih dominan di dalam membuat keputusan dalam diri berbanding output minda!
Persoalan lebih besar setelah persaingan pandangan itu, seluruh upaya umat terjebak sama sehingga tidak nampak perkara lain. Tiada hadiah istimewa daripada fenomena ini melainkan perpecahan, persengketaan dan rasa benci yang membuak-buak. Perpecahan akhirnya menjadi barah yang membunuh keseluruhan jasad umat. Tetapi amat malang kerana perpecahan itu sendiri seperti madat yang bisa membuat semua ketagih. Kita sering melihat penagih tegar terbaring di bawah jambatan seperti bangkai yang punyai sedikit nyawa ikan, tubuh kekejangan, mata terbeliak, melalui mulut mengalir air liur busuk, kulit membalut tulang dan sendi seperti akan terbarai. Begitulah gambaran kekuatan yang masih tersisa pada umat yang ketagih perpecahan seperti penagih tegar yang sedang merenung gerbang nazak.
Lihat kepada penguasaan ekonomi. Kuatkah kita ?
Lihat kepada pemilikan harta. Banyakkah ?
Lihat kepada tanah ladang dan bendang terhampar . Berapa relongkah milik kita ?
Lihat pula tanah komersial di bandar raya ? Berapa kaki persegi tinggal milik kita ?
Lihat senarai orang kaya raya. Berapa jumlah orang kita ?
Lihatlah kepada kek kekayaan untuk diagihkan. Juring sebesar mana yang hendak dikongsi oleh enam puluh peratus (60%) daripada 23 juta umat ini ? Apa yang boleh kita banggakan setelah 53 tahun tanah merdeka ini dikongsi oleh ramai orang?
Jawablah dengan jujur semua soalan di atas. Tolak campur matemetik umat ini memperlihatkan tinggal berapa jemput sahaja saki baki hak milik yang masih ada dalam genggaman...kasihan.
Sekira begitulah saki baki kekuatan yang ada, hakikatnya kita sedang bergantung hayat kepada orang lain untuk hidup. Pihak lain mengambil peranan sebagai mesin hayat bagi kita yang sedang nazak. Suis sedang berada ditangan mereka!
Struktur asas masyarakat Islam adalah hukum fardhu kifayah di samping soal fadhu ain. Fardhu kifayah menghantar kefahaman bahawa nasib umat mesti berada di dalam genggaman umat itu sendiri. Sekiranya struktur pincang bangunan ini bakal roboh, itu realitinya ! Dalam Feqah Awlawiyat Dr Yusuf Al Qardawi mengenengahkan betapa Hujjatul Islam Imam Ghazali menggesa umat di zamannya agar menghantar anak-anak mereka kebidang kedoktoran agar umat tidak menyerahkan nasib kepada kafir zimmi dalam urusan hidup. Kita terbayang si tokoh sufi ini tentunya hanya menekankan soal kejiwaan tetapi kepadanya struktur masyarakat perlu jadi keutamaan, itulah induk persoalan kejiwaan yang perlu jadi keutamaan umat!
Tidak pincangkah lagi umat dengan segala gejala yang sedang menghantui ?
Tidak sengetkah struktur dengan jumlah penagih, jumlah mat rempit, jumlah bohsia dan jumlah mereka yang terkinja-kinja kemabukan hiburan setiap hari? Semua fenomena ini adalah cerita ruang lingkup generasi lapis paling bawah yang menderitai penyakit paling murah! Beberapa detik nanti bangunan umat ini sedang berdetak-detak menunggu roboh !
Muhasabah ikhlas perlu dilakukan bagi mencari jawapan. Roh fardhu kifayah itu jalannya berliku-liku (multi layed), sekali lagi, racun persengketaan yang didasari emosi melulu dengan mudah memamah upaya minda bagi penyelesaian setiap perkara rumit. Ramai yang akan hanya memandang sepi tentang realiti ini selagi di dalam dada bersarang dengan kebencian dan bibir berdecip-decip sering menyalahkan.
Dalam kalut bergempita dan suara bersimpang siur, mari melihat akar fenomena ini agar kita tidak sama menghabiskan masa atas suatu perkara yang sia-sia, hampas! Sekira jujur, kita mungkin terfikir sesuatu yang lain selain dari mengasak minda dengan cerita persengketaan yang tiada horizon ini.
Mengutamakan stuktur fardhu kifayah dan hukum sebagai pakej kesyumulan Islam perlu kembali kepada persoalan adab dan akhlak Islamiah yang merupakan partikal bagi komponan agama yang tidak boleh dipisah asingkan. Melalui adab dan akhlak seseorang itu mempunyai panduan berhadapan saat tenang dan gawat. Saat berpakat dan saat berselisih. Adab dan akhlak bertindak sebagai sendi yang menyelaras pandangan agar jangan menghumban semua orang ke neraka perpecahan. Inilah yang terkandung dalam maksud firman, ”apabila kalian berselisih maka kembalikanlah ianya kepada Allah dan rasulNya...” Bukan emosi lalu bala tentera syaitan bakal menunggang kita !
Bermuhasabahlah...dan salam kasih sayang buat semua
0 comments:
Post a Comment