RAKAN SIBER

Thursday, April 29, 2010

ANAK KECIL DI DALAM BUAIAN



ANAK KECIL DI DALAM BUAIAN

Dalam gigil subuh engkau lahir
Bersama derai tangis manjamu
Memberi warna, meletak erti kesempurnaan,
engkau pelengkap kisah cinta ayah dan ibu…alangkah bangganya.

Anak kecil di dalam buaian…
ayah tidak dapat berlama-lama mendukungmu
tidak punya waktu untuk menggomolmu
kerana terpaksa keluar daerah
membanting tulang mencari rezeki
buat kita sekeluarga.
Ada klien perlu dilayan
Ada mesyuarat perlu dihadiri.
Maaf..
Ayah sangat sibuk

Anak kecil di dalam buaian…
tubuhmu sudah montok
Keletahmu manja sekali
Nampak seperti pada gusi akan tumbuh gigi susu
Namun ayah tidak dapat lama memerhati...
kerana terpaksa pergi
Ada kontrak harus dituruti
Ada projek perlu diawasi.
Maaf..
Ayah sangat sibuk

Anak kecil dalam buaian...
Rupanya kamu telah ke tadika
Berlari menderu-deru dengan rakan-rakan
Beratur, melompat dan bermain dengan girang
Kadang-kadang menangis hiba...
Namun ayah tidak dapat bersama untuk ambil peduli
kerana terpaksa pergi
Banyak dead line yang menanti
Banyak tugasan yang tersenarai.
Maaf..
Ayah sangat sibuk

Anak kecil dalam buaian….
Kamu telah ke sekolah rendah rupanya
Memikul beg berat
Memakai unifom baru putih melepak
Ayah nampak kamu mengangis kerana takut...
Namun ayah tidak dapat menemani di hari itu
Untuk mengesat air matamu
kerana terpaksa pergi
Banyak tanggung jawab perlu diselesai
Banyak beban perlu digalas.
Maaf..
Ayah sangat sibuk

Anak kecil dalam buaian...
Pada harijadi ke sepuluh
Ayah belikan basikal buatmu.
Petang minggu itu bila engkau meminta ayah mengajar
Kamu mengadu tidak pandai dan sentiasa terjatuh
Ayah kata tidak boleh... kerana telah berjanji dengan rakan-rakan
Di kelab dan persatuan ada majlis perlu diraikan.
Engkau mengangguk-angguk faham
Walau dalam hatimu... tergaut selaut hiba
Maaf..
Ayah sangat sibuk

(Kemudian ayah baru tahu basikal itu hanya
lapuk di dalam garaj, engkau tidak berani mencuba
dan tiada siapa punya masa membimbingmu...)

Anak kecil di dalam buaian...
Pantasnya waktu berlalu
Engkau telah di bangku sekolah menengah
pergi dengan rakan-rakan seusiamu
pagi di kelas
petang di gelanggang futsal
malam tuisyen..tidak mengapalah engkau sudah cukup matang
ayah tidak sempat bersama dihari sukan sekolah
atau mesyuarat persatuan anjuran sekolah...
walau engkau memberi tahu
dalam harapan menggunung
bahawa ramai ibu bapa lain datang.
kerana komitmen, tugasan dan kerja yang masih berjela-jela.
Maaf..
Ayah sangat sibuk

Anak kecil dalam buaian...
engkau sekarang di universiti
menyambung belajar dalam rutin harian yang padat
tetapi tidak mengapalah ..
ayah pun tidak dapat menjenguk ketika sukan atau sakitmu
sesekali kita berhubung juga lewat telefon...namun
tugas masih banyak menanti
kerja masih belum selesai.
Maaf..
Ayah sangat sibuk

Anak kecil dalam buaian...
Engkau sudah dapat pekerjaan
Dan ayah pula telah bersara pada usia kian tua
Rehat dari tugasan yang banyak
Rehat dari kerja yang bertimbun.
Bolehlah kita bersama menghabis masa
Buat membayar apa yang kurang suatu masa dahulu....
Alangkah sunyinya kini tinggal keseorangan..
di rumah penuh kesepian
Dan sesekala apabila teringatkan si anak
Telefon dicapai.. mengajak anak menghabis masa bersama
Mengisi hari yang kosong dihujung-hujung minggu berdua
Jawabanmu ....
”Maafkan saya ayah ..
Saya sangat sibuk..”

Kalimat yang biasa dituturkan dahulu...
Kini amat perit mendengarnya.

1 comments:

tukangkata May 1, 2010 at 4:33 PM  

kitaran hidup seorang insan..indah sajak ini..

:)

salam singgah dari tukang kata..

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP