RAKAN SIBER

Monday, November 16, 2009

MENCARI TITIK KEMUAFAKATAN


Sekilas melihat dunia dengan pandangan lebar memerhati perubahan cuaca ekstrem yang kian merubah musim. Pemanasan global, glasier dan ais di kutub mencair, peningkatan paras air laut dan semuanya adalah hasil daripada apa yang manusia lakukan. Kita tanpa peduli dan tidak insaf membebaskan karbon dioksida, metana, CFC , nitrous oxide,ozon. Akibatnya, haba infra merah dari suria yang sepatutnya dipantul keluar dari atmosfera diperangkap oleh gas-gas rumah hijau, lalu kepanasan bumi kian membara. Al hasil, yang menderita adalah kita….Namun pada sudut lain, di negara kita saat ini hanya ada satu musim ekstrem yang konsisten tidak berubah-ubah; Musim bersengketa!


Semua orang ingin memanaskan persekitaran global sama ada dalam arena politik sejak PRU 12 dan tidak terkecuali juga dalam soal agama. Inilah yang meruap-ruap di saluran media ketika ini sama ada di dada-dada akhbar, televisyen dan internet lewat laman sesawang, blog atau face book. Argumentasi dan penjelasan tingkah bertingkah, berjela-jela juga berapi-api dapat disaksikan. Ramai sekali yang terlibat ( sama ada di hadapan skrin atau sebalik layar yang mengetik papan kekunci ) , tidak kira orang kebanyakan atau orang ternama turut campur tangan walaupun sebenarnya mereka tak tahu hujung pangkal dan duduk sebenar isu.



Sementara, orang ramai dan khalayak yang tidak gemar bersengketa tentunya rimas dan bertanya entah bila akan tiba musim bunga, yang mana semua sengketa akan sirna, perasaan benci bertukar sayang paling tidak pun hormat menghormati sementara konfrontasi ditransform menjadi kompromi . Mencari titik pertemuan memang sukar kerana sesorang itu terpaksa mengorbankan apa yang dia sayang. Mengorbankan sesuatu yang menjadi miliknya, mungkin bukan harta benda tetapi juga kefahaman dan nilai intelek . Hanya mereka yang benar-benar ikhlas serta melihat kepada mashlahah ummah, sanggup mencari hikmah, bersifat terbuka dalam mencari titik pertemuan.



Kita tidak perlu rasa terikat dengan mana-mana negara dalam mencari pedoman bagi mencari titik pertemuan, kerana tiada satu pun dari negara Islam lain yang boleh dijadikan contoh, apatah lagi negara-negara Arab ! Mereka selalu jadi bahan jenaka dalam soal perpaduan dan ukhwah. Berikut beberapa cadangan yang boleh difikirkan sebagai jalan tengah demi kebaikan masyarakat;



1. Semua pihak mesti bersikap terbuka kepada hujah orang lain dan menerima pihak lain sebagai saudara seagama :



Kepada golongan yang ingin menerapkan fahaman tajdid, cuba hayati minda ulama silam yang beranggapan bahawa soal khilaf adalah soal yang tidak perlu kita paksakan masyarakat untuk mengikut, di samping meninggalkan perkara yang telah sekian lama mereka amalkan. Ini adalah kerana mereka juga punya sandaran dan hujah bagi amalan mereka berpandukan kepada ulama muktabar. Biarkanlah mereka beramal dengan aman. Sebagai contoh, kita di Malaysia bukan tidak tahu bahawa dalam soal qunut itu ada mazhab yang kata boleh dan tidak boleh, tetapi mazhab yang mengatakan tiada qunut tidak pernah menuduh dan menetapkan bahawa mereka yang berqunut sebagai salah dan sia-sia. Begitu juga yang bermazhab Syafie tidak pula mendakwa yang tidak berqunut sebagai salah. Telah wujud satu bentuk toleransi yang amat baik sehingga masing-masing boleh hidup dengan harmoni. Begitu jugalah kefahaman dalam amal ibadah seperti soal niat, cara letak tangan masa qiam, sujud sahwi sehinggalah kepada soal-soal mendidik masyarakat dalam beramal perkara sunat yang lain, semuanya tidak didebatkan lagi dan tidak ada kelompok yang saling salah menyalah serta menyanggah hujah. Tetapi apabila ada golongan yang ingin menerapkan bahawa apa yang diamalkan oleh mereka adalah terbaik, yang lain salah maka akan wujudlah keresahan. Lebih malang, semakin kuat kita mendesak masyarakat untuk mengikut fahaman ‘tajdid’semakin kuat bantahan akan timbul dari mereka yang telah sekian lama beramal beserta sandaran-sandaran dan hujah mereka yang kukuh. Masalahnya adalah, setiap kali kita rasa mereka bersalah lalu memangkah dengan hujah, akan ada hujah kebenaran dari pihak lain. Kemudian saling pangkah memangkah, bilakah semua ini berakhir ? Keldai mendengus pun tidak tahu menjawabnya ! Malang sekali kerana ini bukan permainan gasing atau guli, yang akhirnya gasing akan sumbing dan guli akan pecah. Tetapi permainan ini yang pecah adalah ummah ! Ingat, semakin kuat aksi semakin keras reaksi ! Kita tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengubah perkara ini, kecuali menggunakan kekerasan seperti yang pernah digunakan di Saudi Arabia suatu masa dahulu. Tetapi sanggupkah kita mengulang sejarah dengan menumpahkan darah dan membunuh ratusan ribu nyawa saudara sendiri hanya semata-mata ingin menegakkan fahaman tajdid kita ? Kita tiada pilihan, demi mashlahah ummah melainkan berminda lapang, menerima dan menghormati bahawa setiap orang punya hujah atas apa yang mereka lakukan.

2. Semua pihak mesti memikirkan bahwa ada persoalan lebih besar yang diperlukan ummah berbanding dengan beberapa isu yang dibiarkan berpanjangan. Jangan syok sendiri, ummah jadi mangsa;
Sebagai contoh, ulama hadis seperti Al-Hafiz Ibn Hajar Al Asqalani yang mengarang kitab Fathul Bari, Bulughul Maram, Lisanul Mizan fil Hadith dan banyak lagi yang telah mencapai kedudukan Al-Hafiz dalam ilmu hadis, mempunyai kapasiti menghafal 100 000 hadis, dengan bangga mengaitkan pada namanya As- Syafie ( bermaksud : saya yang bermazhab syafie ) Kenapa dia tidak mahu membuat pendekatan baru atau mengisytiharkan mazhab ijtihadnya sendiri? Dalam Usul ada memberitahu, ‘Tahsheilul hasheil’: menghasilkan apa yang telah ada.



Mereka tidak mahu membazirkan umur yang pendek dengan membahas apa yang telah disiapkan oleh ulama terdahulu. Justeru, mereka mempunyai minda melengkapkan / syarah atas apa yang telah di sediakan oleh ulama sebelum mereka. Mereka juga meneroka ke bidang yang belum disentuh dengan meluas oleh ulama terdahulu. Alangkah rugi potensi diri apabila dihabiskan dengan menafikan usaha ulama dahulu dengan mengenengahkan gagasan baru yang belum tentu diterima. Ironinya, sekira di terima oleh orang ramai bererti kita telah memadamkan jasa dan jariah mereka hasil kerja keras ijtihad mereka. Kita perlu mencari bidang yang masih banyak ruang untuk diteroka dan ianya sangat diperlukan oleh masyarakat . Terjun dengan ijtihad segar bugar supaya masyarakat sekarang dan akan datang beroleh manfaat . Saya lihat dalam pembangunan akhlak, hiburan, kebudayaan dan bidang ekonomi ummah masih banyak ruang yang perlukan sentuhan tajdid. Silakan ke gelanggang ini dan datangkanlah sebanyak-banyaknya minda tajdid, gerakkanlah bahtera perubahan sehebat-hebatnya pasti ianya ditunggu oleh masyarakat. Inilah jariah kita pula apabila mati tanpa perlu mengorban jasa dan jariah ulama terdahulu. Seperti kita seru agar orang jangan taksub kepada pegangan tertentu maka kita perlu bersedia untuk tidak taksub dalam mengikut apa yang kita suka dan memilih gelanggang baru. !

3. Islam meminta syura, muzakarah dan berhujah dengan kebenaran ;
Kepada JAIS , memang sebagai badan yang diamanahkan untuk menjaga kesucian agama perlu menguatkuasakan peraturan , tetapi banyak jalan lain boleh digunakan bagi mencari penyelesaian. Penguatkuasaan undang-undang tidak berjaya menyelesaikan semua masalah (mungkin membuah masalah baharu !) tetapi muzakarah ilmiah boleh menyelesaikan dengan lebih berkesan. JAIS boleh mengadakan siri dialog di kalangan cerdik pandai bagi menilai kembali amalan dan fahaman yang dibawa yang dilihat memudharatkan aqidah, syariah atau akhlak Islam. Berilah ruang seluas-luasnya di dalam majlis muzakarah ahli ilmu tersebut, agar setiap pihak merasakan bahawa pandangannya telah didengar dengan saksama. Bina juga jambatan kasih sayang agar buahnya nanti adalah ukhwah. Masing-masing perlu disediakan persekitaran intelek dan emosi yang kondusif serta duduk dengan tenang tanpa tekanan untuk menjadi juara yang bermentaliti profesional ilmiah . Bina ‘suasana menang-menang’/ win-win situation . Hasilnya boleh dinikmati oleh massa dengan jalan yang lebih sihat berbanding hari ini , masing- masing menggunakan saluran sendiri, kadang-kadang tersasar jauh dari cara Islam.



Akhirnya segunung harapan agar kemelut ini berjaya diselesaikan dengan bijaksana mengikut acuan kita sendiri. Masyarakat akan mendapat hasil dari ramainya bilangan ulama yang berakhlak, berhikmah dan berukhwah….Pastinya masyarakat yang cintakan agama menunggu musim bunga agar segera tiba.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP