ALLAH…ALLAH….ALLAH
Bacalah dengan Nama Allah....
Seputar menjengah isu yang sedang hangat diperkatakan. Ia sesuatu yang benar-benar menguji keimanan seorang muslim tentang hubungannya dengan Allah. Dia sedang memerhati kepada setiap geri serta tingkah laku hambaNya.
Apakah hakNya dipelihara? Mana lebih utama saat ini ? Kita mudah bingkas apabila hak kita dirampas, tetapi adakah perkara yang sama kita lakukan apabila ianya mengaitkan hak Allah? Adakah kemarahan sama meledak seperti saat kepentingan kita tergugat ?
Dalam ilmu Tauhid, kita mengenali Allah melalui sifat-sifat dan nama-namaNya. Allah adalah nama yang paling Agong lagi Mulia ( Ismul A’zhom). Ia adalah lafzhul Jalalah, nama bagi zat yang wajibal wujud. Namanya sahaja telah berupaya mendatangkan ketenangan ( taaIlaha) bagi hamba yang benar-benar meletak sifat yang layak bagi pemilik nama itu. Kita berulang-ulang kali diminta menuturkan kalimah subhanallah
( Maha Suci Allah ) sebagai kerendahan hati bagi mensucikan Allah, nama bagi zat Maha Mulia daripada sebarang perkara yang kotor dan cemar yang tidak layak berbanding ketinggianNya.
Setelah kita mengenali Allah melalui perjuangan Rasulullah yang memartabatkan Kalimah Allah, mari kita lihat rumpai permasalahan ini dengan jujur dan tenang....lillah, kerana Allah.
Orang Kristian seluruh dunia sebenarnya tidak mengakui pun Allah sebagai Tuhan mereka.
Sekiranya mereka mengakuinya nescaya kita menjumpainya bukan di dalam terjemahan tetapi di dalam teks yang asal. Dalam teks mereka yang asal tidak wujud sama sekali kalimah Allah. Mereka tidak mengatakan Allah itu sebagi tuhan bagi diqiaskan dengan ayat daripada surah Az Zumar; ” Sekiranya kamu bertanya kepada mereka (Musyrik) siapakah yang menciptakan langit dan bumi, nescaya mereka menjawab ; Allah !”
Menurut Al Muhaddith Syeikh Yusuf Ad Dijwi ( Wafat 1365H) seorang ulama’ al Azhar as Syarif dalam majalah Nurul Islam yang merupakan lidah resmi al Azhar ketika itu, pengakuan golongan musyrik ini adalah kerana kehilangan hujah apabila disanggah dengan persoalan ketuhanan. Mereka tidak pun mengi’tikadkan Allah itu sebagai tuhan , sama ada untuk disembah ataupun untuk mengakuinya sebagai penguasa alam. Mereka terdedah maklumat tentang Allah itu dari warisan turun temurun sejak datuk bagi qabilah Quraisy yang masyhur, nabi Ibrahim dan nabi Ismail. Namun kesyirikan telah mengambil tempat di benak-benak mereka sehingga mereka mengangkat berhala-berhala yang mereka ukir sebagai yang berkuasa penuh terhadap hidup dan alam mereka.
Langkah pertama dan induk bagi Islam adalah persoalan mengenali Allah di dalam kalimah syahadah ; Tiada Tuhan melainkan Allah. Kalimah ini menafikan seluruh yang dianggap tuhan itu bukan tuhan sebenarnya, hanya Allah yang esa sahaja sebagai tuhan .
Bagi golongan musyrik Allah menggambarkan betapa kepercayaan berbedanya tuhan-tuhan mereka dan Allah seperti dalam surah Hud Ayat 54; ”Kami hanya berkata bahawa setengah daripada tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu suatu penyakit gila.”
Kata Abu Sufyan ketika perang Uhud; ” Tambahkan ketinggian wahai Hubal !” Maka dijawab Saidina Umar, ”Allah Maha Tinggi maha Agung !”
Begitu banyak ayat al Quran yang menjelaskan bahawa mereka tidak memperakui pun Allah itu sebagai tuhan mereka. Kerana itu apabila memeluk agama Islam, mereka faham bahawa syahadah itu menafikan tuhan-tuhan mereka dan hanya mengakui Allahlah sahaja sebagai tuhan !
Ayat- ayat Allah di dalam al Quran menjelaskan bagaimana titik tolak penyelewengan yang dilakukan dan tuduhan terhadap Allah oleh dua agama samawi ( Yahudi dan Nashara) sehingga akhirnya mereka beransur-ansur menyengutukan Allah. Allah berlepas tangan dari mereka dan mereka juga berlepas tangan daripada menyembah Allah yang sebenar. Kedatangan dakwah Islam melalui perjuangan perit Rasulullah adalah bukti jelas betapa tercemarnya kefahaman mereka terhadap Allah yang menyimpang dan usaha Rasulullah memurnikan kembali Nama Allah kepada kedudukan yang sebenar.
Berbalik isu semasa, orang-orang Kristian tidak mendakwapun bahawa Allah adalah Tuhan mereka. Inilah hakikat yang sangat jelas. Jangan sesaatpun kita terlupa !
( Psst! Ada yang mendakwa orang Arab Kristian menggunakan kalimah Allah di dalam Bible terjemahan bahasa Arab! Sebenarnya inilah kaedah dalam dakyah yang telah digunakan mereka sejak beberapa ratus tahun dahulu apabila mereka ingin mengembangkan ajaran mereka kepada orang-orang Arab...Isunya sama dan kaedahnya diulang. Yang malangnya adalah kita menghujahkan kewajaran menggunakan kalimah Allah di atas kesilapan sejarah yang telah berlaku kepada orang Arab dan yang sedang berlaku di Indonesia kini! Pada kita, yang salah tetap salah walaupun dahulunya telah dilakukan oleh orang lain. Sebagai contoh;
”Kenapa kamu datang lewat ?”
”Sebab semalam sipolan itu lambat !”
Bolehkah kita berhujah menegakkan salah di atas salah orang lain? )
Kalaulah Allah itu bukan tuhan mereka sepertimana terkandung dalam teks Bible yang asal ,kenapa mereka begitu berkeras sehingga sanggup mencabar larangan KDN ini sehingga ke mahkamah tinggi ? Apakah udang di sebalik seluruh batu ini ?
Untuk memudahkan kita melihat ke sebalik sana batu itu, mari kita bertanya, kepada siapakah terjemahan bahasa Melayu ini akan diedarkan ? Orang Inggeris akan membaca naskhah Inggeris, orang Cina membaca naskhah Cina, orang India membaca naskhah India begitulah bagi semua bangsa yang lain . Jadi terjemahan ini untuk siapa ?
Sih, jadi terjemahan ini untuk siapa dong ?! Bilang warga Indonesia, terjemahan Bible banjir di mana- mana di sana berjumlah jutaan naskhah.
Nah, kita dah nampak !!! Jawaban di sebalik batunya adalah, terjemahan itu adalah untuk orang Melayu...Orang Melayu adalah sasaran dakyah sebenarnya!
Jadi isu sebenarnya bukan soal menggunakan nama Allah yang sesetengahnya bermati-matian mencarikan hujah bagi mewajarkannya, tetapi ada perkara lain yang perlu difahami oleh umat Islam.
Terima kasih pada sensitiviti orang dulu-dulu atas jasa mereka yang menetapkan di dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu bahawa hanya agama Islam sebagai agama resmi boleh disebarkan. Orang dulu-dulu khuatir anak cucu mereka didakyah dan kemudianya tersesat, maka mereka menyediakan imuniti / plan pencegahan ( Sadduzzara’i ) dalam perlembagaan agar anak cucu mereka selamat. Orang dulu mungkin tidak sepandai kita pada hari ini kerana jumlah yang belajar sehingga ke peringkat universiti sangat sedikit, tetapi mereka pandai bersatu dan berpakat dalam soal agama sehingga super power British pun tidak mampu memaksakan perkara ini.
Ia adalah darjah sensitif tahap maksima!
Ia jauh lebih sensitif daripada memberikan hak kerakyatan dan kewarganegaraan kepada warga asing pada ketika itu. Ini boleh disilatkan oleh British tetapi tidak dalam soal agama Islam!!!
Bagi Kristian Khatolik, persoalan ini tidak penting dari sudut kepercayaan / theology kerana sememangnya Allah bukan dianggap tuhan oleh mereka sejak awal lagi, tetapi persoalan ini amat penting bagi usaha dakyah mereka. Lebih jauh lagi, ia sebagai percubaan berani lewat kamar mahkamah bagi mendapat hak sama rata, agar mereka juga dapat apa yang dimiliki oleh orang Islam.
Berdasarkan asas dan cabang persoalan inilah saya kira Ustaz Dr Harun Din dengan berani mengaitkan semua ini dengan; Keredhaan terhadap kekufuran itu adalah kufur. Redha kepada perkara ini boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur. ( Wal’iazubillah)
Adakah kita akan menerima ini ? Keikhlasan hati atau kepentingan kitalah yang akan menjawab ....
Apa sepatutnya kita lakukan ?
1. Yang terpenting adalah seluruh umat Islam menyatakan pendirian dengan tegas tetapi berhikmah. Sampaikan dengan suara yang jelas mengenai hak yang sepatutnya menjadi milik Islam tanpa menggangu hak agama lain. Terlampau berkelok-kelok menjadikan mereka tidak faham hak – hak Islam dan ini akan merugikan kedua belah pihak. Allah berfirman, “Rasul dan mereka yang bersamanya amat tegas dengan golongan kuffar dan saling berkasih sayang sesama mereka.”
Tegas di sini adalah tegas menyatakan pendirian, golongan bukan Islam tidak akan tahu apa hak dan milik umat Islam sehingga ianya dinyatakan dengan jelas. Ini penting supaya nanti tidak wujud salah faham terhadap hak dan batas – batas Islam yang perlu dinyatakan agar kemudian tidak menjadi duri yang menusuk-nusuk sewaktu menjalin hubungan erat untuk jangka masa panjang. Kaedah asas dalam ingin bersahabat atau bekerjasama dengan golongan bukan Islam adalah dengan menyatakan pendirian dengan jelas terhadap hak Allah dan hukumNya . Gagal kita melakukannya akan mengundang sesuatu yang buruk berlaku di kemudian hari atas ketamakan pengaruh, estetika kemabukan rasa dan keahmakan diri sendiri sekarang !
2. Hikmah adalah bahasa terbaik menggambarkan panduan syariat Islam yang melarang sesiapapun termasuk orang Islam daripada mencabul hak beragama penganut lain. Islam melarang tenteranya menebas dahan pohon yang boleh digunakan sebagai tempat berteduh oleh masyarakat. Soal yang sebegitu halus ini diperhatikan oleh syarak. Sekiranya soal bayangpun ( yang sekejap ada, sekejap tiada ) dijaga oleh syarak apatah lagi soal rumah ibadat dan nyawa manusia, ianya lebih wajib dijaga. Bertindak berpandukan hikmah memastikan kita tidak rugi di kemudian hari kerana dungu menurut emosi melulu!
Dalam bersilat, tersilap langkah bererti membuka ruang musuh menjatuhkan kita. Ingat kadang-kadang sekali pukulan tepat kita tidak bisa bangkit lagi. Oleh itu syariat adalah panduan agar jangan tersalah langkah dan tersilap tingkah.
3. Terus perkuatkan ilmu, iman, amal dan akhlak islami agar bila isu berakhir semangat Islam tidak berakhir sama. Islam tidak boleh diperjuangkan lewat ’isu datang isu pergi’ tetapi dengan karamah istiqamah dan gelombang berterusan. Jangan hanya menjadi juara dengan pembesar suara gantung dan sepanduk semata-mata kemudian jadi sejuk senyaman setor tempat sepanduk disimpan. Isu, kelihatan panas bergejolak seperti api merah membara, nanti yang tinggal dan kekal nanti hanyalah abu hitam yang sejuk gedi. Istiqamah, seperti air dingin yang terus menerus mengalir tanpa henti, diempang ia menyelinap ke dalam bumi atau mencari ruang baru lantas menyebak. Bila cukup kuat ia melimpah ke sebelah sana dan terus mengalir tanpa henti. Jika ditanak ia menggelegak, gejolaknya menukar menjadi wap ia terapung mencapai langit tinggi bergabung kembali dalam gumpal awan , cukup berat kemudian terjun sebagai hujan menerjah bumi kemudian mengalir dan terus mengalir tanpa henti. Kerana prinsip perjuangan air yang sangat kuat itulah maka seluruh kehidupan ini bergantung kepadanya. Sepatutnya begitulah umat Islam ini !
4. Umat Islam perlu mendalami soal perbandingan kebenaran. Panggil Brother Shahkirit dari Saba Islamic Media dan rakan-rakannya. Kita belajar dengan mereka dalam mendalami ilmu perbandingan ini. Bagi mereka semakin meneliti Bible semakin bertambah keyakinan mereka kepada kebenaran al Quran . Saat itu kalau baca Biblepun langsung tidak jadi masalah dari sudut gugatan aqidah. Bahkan boleh pula kita berkongsi maklumat berguna itu dengan majalah Herald!
Akhirnya, bagi pihak Kristian Katholik bergeraklah dengan aman dalam ruang yang dibenarkan, sentiasa jaga batasan. Bagi umat Islam bergerak juga dalam ruang yang dibenarkan dan jaga syariat...semoga wujud keharmonian dalam hidup bermasyarakat dan mari kita saling berkasih sayang...seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah.
Untuk seluruh manusia hayatilah firman ini,
”Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa Allah itu Esa.
Allah tempat meminta. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan.
Dan tiada sesuatu yang setara denganNya.”
Setidaknya bersyukurlah kerana kita tidak hidup berjiran dengan Zionis...sekira tidak, remang penyelesaiannya jauh lebih berliku serta sakitnya seribu kaca sejuta luka !
Salam ukhwah dan kasih sayang....
2 comments:
salam ustaz,
saya pernah mengemukakan fakta seperti yang di utarakan oleh ustaz berkenaan penggunaan bahasa melayu di dalam bible. Jawapan yang diberikan oleh sesetengah orang yang tidak bertamadun, bukankah kita adalah satu malaysia. Jadi penggunaan bahasa Malaysia adalah wajar bagi mereka walaupun sebenarnya ada agenda sebaliknya...
Diharap agar ustaz dapat membuat sedikit ulasan agar saya dapat menangkis usul tidak bertamadun mereka ini.. Wasalam - maslynomar@yahoo.com
alhamdulillah.terima kasih Allah.
ustaz doakanlah kami.smg Allah tunjukkan kami jalan yang lurus, tidak ter"redha" dengan kekufuran dek kerana ceteknya kefahaman dlm agama.km berlindung kpd Allah drp fitnah akhir zaman.
Post a Comment